Talkshow “Be An Amazing Ummah” Suntik Kesedaran Membina Masyarakat Muslim Ideal
Putrajaya, 4 Julai 2026 – Seramai 250 peserta telah menghadiri program Talk Show: Be An Amazing Ummah yang berlangsung di Putrajaya, menghimpunkan para mahasiswa, aktivis masyarakat dan masyarakat umum dalam usaha memperkukuh kefahaman mengenai pembinaan masyarakat Muslim yang seimbang dan berdaya saing.
Program ini bertujuan membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghayati Islam secara menyeluruh, merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak dan tanggungjawab sosial, di samping menggalakkan penglibatan aktif setiap individu dalam pembangunan ummah.
Forum yang dikendalikan oleh Puan Fateyn Aimi menampilkan tiga panel jemputan, iaitu Puan Siti Zaidah Mohammad, Dr. Huda Anas dan Dr. Fika Komara, penyelidik Geopolitik Islam serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Muslimah Negarawan (IMuNe), Indonesia.
Dalam perkongsiannya, Puan Siti Zaidah Mohammad menekankan bahawa wanita merupakan penggerak kepada pembinaan Amazing Ummah dengan mengembalikan semula identiti mulia sebagai Ummun wa Rabbatul Bait, iaitu ibu dan pengurus rumah tangga yang berperanan sebagai arkitek pemikiran dalam membentuk generasi baharu.
Sementara itu, Dr. Huda Anas mengajak masyarakat meninggalkan budaya individualistik yang lahir daripada pemikiran sekular Barat dan beralih kepada semangat kebersamaan atau konsep “kita”. Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat cemerlang hanya mampu dibangunkan oleh generasi yang memiliki himmah ‘aliyah (cita-cita yang tinggi), semangat perjuangan serta rasa tanggungjawab terhadap ummah.
Panel khas dari Indonesia, Dr. Fika Komara, pula mengupas peranan wanita Muslim sebagai Ummu Ajyal (ibu generasi) yang berfungsi membina masyarakat melalui pengukuhan tsaqafah Islam, kesedaran politik dan geopolitik serta penguasaan ilmu. Menurut beliau, pembinaan individu yang berkeperibadian Islam merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang kukuh dan mampu menghadapi cabaran semasa.
Secara keseluruhannya, program Talkshow Being An Amazing Ummah Today berjaya memberikan suntikan kesedaran kepada para peserta tentang pentingnya peranan setiap individu, khususnya wanita, dalam membina keluarga, memperkukuh masyarakat dan menyumbang kepada kebangkitan ummah melalui ilmu, dakwah dan pembinaan generasi.
#AmazingUmmah #Talkshow #BinaUmmah #MasyarakatMuslimIdeal #Dakwah #AyuhUmatBangkit






























