Bedah Buku “Menantikan Sang Pembebas” Kupas Cabaran Umat dan Peranan Muslimah
Bangi, 5 Julai 2026 – Program Bedah Buku: Menantikan Sang Pembebas telah berlangsung dengan jayanya di EzyDurian Café, Bangi, menghimpunkan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada aktivis dakwah, mahasiswa dan pencinta ilmu.
Program yang dikendalikan oleh Dr. Aslam Diyana Selamat selaku moderator menampilkan Dr. Fika Komara sebagai panel jemputan. Beliau merupakan seorang penulis, penyelidik geopolitik Islam dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Geopolitik Maritim. Dr. Fika turut dikenali menerusi karya-karya yang mengangkat tema pembinaan umat dan peranan strategik wanita, antaranya Muslimah Negarawan, Geopolitik Ibu, Geopolitik Ummah, Labirin Kaum Urban dan Menantikan Sang Pembebas.
Sepanjang sesi bedah buku, Dr. Fika mengupas dua karya beliau, iaitu Labirin Kaum Urban dan Menantikan Sang Pembebas, yang saling melengkapi dalam memahami realiti masyarakat Islam masa kini. Buku Labirin Kaum Urban menghuraikan cabaran yang dihadapi masyarakat muslim moden yang mengalami fenomena kolonisabiliti di mana kelemahan intelektualiti dan spiritualiti yang melanda membuatkan umat Islam hilang daya respons ke atas isu pencerobohan ruang kehidupan muslim.
Sementara itu, melalui buku Menantikan Sang Pembebas, beliau mengajak para peserta melihat isu-isu umat dari perspektif yang lebih luas dengan menekankan kesedaran geopolitik serta persediaan generasi untuk menyumbang kepada kebangkitan ummah dengan menjadi muslih di tengah ekosistem yang sedang rosak. Inilah cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh kelompok dai yang berkualiti.
Program turut berlangsung secara interaktif di mana para peserta berpeluang mengemukakan persoalan serta saling bertukar pandangan mengenai isu geopolitik, pembinaan masyarakat dan peranan wanita dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya membuka ruang wacana ilmiah yang memperkayakan kefahaman peserta terhadap hubungan antara pembinaan individu, keluarga dan masyarakat dengan realiti geopolitik semasa. Diharapkan pengisian yang dikongsikan dapat menjadi inspirasi kepada para peserta untuk terus menimba ilmu, memperkukuh kefahaman Islam dan memainkan peranan aktif dalam usaha membina masyarakat yang lebih berilmu, berdaya tahan dan berpandukan syariat.
#BedahBuku #Bookish #BeyondPages #KesedaranGeopolitikIslam #MenantikanSangPembebas #CaknaUmat #AyuhUmatBangkit

























