[Tafsir] Pengajaran Hanya Bermanfaat Bagi Orang yang Berakal
Penulis: Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ
“Sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa saja yang ada antara keduanya dalam enam masa.” [TMQ Qaf (50): 38].
Dalam ayat sebelumnya Allah SWT telah mengingatkan kepada manusia, terutama orang-orang kafir, tentang kaum sebelum mereka yang memiliki kekuatan lebih besar dari mereka. Mereka kemudian dibinasakan kerana kekufuran mereka. Kemudian ditegaskan bahawa semua kejadian ini seharusnya menjadi peringatan kepada mereka.
Ayat ini mengingatkan kembali kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan alam semesta.
Tafsir Ayat
Kemudian Allah SWT:
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ
“Sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi.” [TMQ Qaf (50): 38]
Huruf al-wâwu pada awal ayat ini adalah isti’nâfiyyah (kata sambung penanda permulaan kalimat baru). Dengan demikian kalimat ini merupakan kalimat baru yang disampaikan sebagai bantahan terhadap orang-orang Yahudi yang mengatakan bahawa Allah SWT menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian beristirahat dan bersandar di atas ‘Arsy pada Hari Sabtu, sehingga mereka meninggalkan pekerjaan pada hari itu.[1]
Huruf al-lâm yang disebutkan berikutnya adalah jawâb al-qasam mahzhûf (jawapan atas sumpah yang dihilangkan). Adapun huruf « قَدْ » bermakna tahqîq (sungguh-sungguh, berfungsi sebagai penegas atau kepastian).[2]
Dengan demikian ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT benar-benar menciptakan langit dan bumi berserta semua isinya « فِي سِتَّةِ أَيّامٍ » (dalam enam hari). Kata « أَيّامٍ » merupakan bentuk jamak dari kata « يَوْمٌ » (hari).
Ibnu Jarir ath-Thabari mengatakan bahawa Allah SWT berfirman seraya mengingatkan, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan tujuh lapis langit dan bumi, juga semua ciptaan yang berada di antara langit dan bumi, dalam waktu enam hari. Kami tidak merasakan lelah sedikit pun.”[3]
Menurut Ibnu Asyur, ayat ini merupakan penyempurnaan terhadap apa yang telah Allah gambarkan mengenai penciptaan langit dalam firmanNya:
﴿أَفَلَمۡ يَنظُرُوٓاْ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَوۡقَهُمۡ كَيۡفَ بَنَيۡنَٰهَا [ق: 6], إِلَى قَوْلِهِ: مِن كُلِّ زَوۡجٍ بَهِيجٍ [ق: 7], لِيَتَوَصَّلَ بِهِ إِلَى قَوْلِهِ: وَمَا مَسَّنَا مِن لُّغُوبٍ [ق: 38], إِبْطَالًا لِمَقَالَةِ الْيَهُودِ, وَالْجُمْلَةُ مَعْطُوفَةٌ عَلَى الْجُمْلَةِ الَّتِي قَبْلَهَا عَطْفَ الْقِصَّةِ عَلَى الْقِصَّةِ وَقَعَتْ مُعْتَرِضَةً بَيْنَ الْكَلَامِ السَّابِقِ وَبَيْنَ مَا فُرِّعَ عَنْهُ مِنْ قَوْلِهِ: فَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ [طه: 130]
“Apakah mereka tidak melihat langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami membangunnya” hingga firmanNya: “dari setiap pasangan yang indah [TMQ Qaff (50): 6-7].” Hal ini untuk menghubungkannya dengan firmanNya: “Kami sedikit pun tidak ditimpa keletihan [TMQ Qaff (50): 38].” Ini sebagai penyanggahan terhadap perkataan orang Yahudi. Kalimat ini di-‘athf-kan (dihubungkan) dengan kalimat sebelumnya, dengan penyambungan satu kisah kepada kisah lain. Kehadirannya bersifat menyela di antara pembicaraan sebelumnya dengan kelanjutan hasil darinya, iaitu firman-Nya: “Bersabarlah engkau terhadap apa yang mereka katakan.” [TMQ Thaha (20): 130].[4]
Penjelasan tersebut berkaitan dengan ayat sebelumnya tentang kepastian kedatangan Hari Kiamat bahawa hal itu sesuatu yang mustahil berlaku sebagaimana anggapan orang-orang kafir. Ini kerana, apabila Allah SWT menghendaki, tiada sesuatu pun yang mustahil. Bagi Allah, semuanya mudah. Penciptaan langit dan bumi menjadi bukti nyata kekuasaanNya.
Ibnu Katsir berkata, “Di dalam ayat ini terkandung pengertian yang menyatakan adanya Hari Kiamat. Oleh sebab Allah yang berkuasa menciptakan langit dan bumi tanpa sedikit pun mengalami keletihan, tentulah Dia juga berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati..”[5]
Tentang penciptaan langit dan bumi dalam tempoh enam hari ini juga diberitakan dalam banyak ayat lain. Antaranya:
وَهُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ٧
“Dialah Yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa” [TMQ Hud (11): 7].
Juga firmanNya:
ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ٤
“Allahlah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa” [TMQ as-Sajdah (32): 4].
Kata « الأَيّام » adalah bentuk jamak dari kata « الْيَوْمَ » (hari). Dalam konteks ayat ini tidak mungkin difahami sebagaimana dalam makna bahasa. Secara bahasa, kata al-yawm digunakan untuk menyebut masa keberadaan matahari di atas bumi, dari terbit hingga terbenam, sehingga kata al-yawm di sini digunakan untuk menyebut « الْوَقْتُ » (waktu, masa). Dikatakan: « يَوْمَ يُولَدُ لِلْمَلِكِ ابْنٌ يَكُونُ سُرُورٌ عَظِيمٌ » (pada hari ketika raja dikurniakan anak, akan ada kegembiraan besar); atau dikatakan: « وَيَوْمَ يَمُوتُ فُلَانٌ يَكُونُ حَزْنٌ شَدِيدٌ » (pada hari ketika si Fulan meninggal, akan ada kesedihan yang mendalam). Dalam kalimat itu digunakan kata yawm (hari), meskipun kelahiran atau kematian itu terjadi pada malam hari. Hal itu juga tidak dipastikan secara khusus (terikat siang), dan termasuk dalam maksud orang yang berakal, kerana yang ia kehendaki dengan kata yawm hanyalah semata-mata « الْحِينِ وَالْوَقْتِ » (masa dan waktu). “Apabila engkau telah memahami keadaan ini dari hubungan kata al-yawm (hari) dengan perbuatan-perbuatan, fahami pula makna kata al-yawm ketika ia digunakan secara mutlak dalam firmanNya: « سِتَّةِ أَيَّامٍ ».”[6]
Tentang keyakinan terhadap penciptaan langit dan bumi, terdapat persamaan dengan pegangan dalam kalangan Ahli Kitab. Cuma, pegangan tersebut dicemari dengan anggapan yang sesat, iaitu bahawa setelah Allah SWT menciptakan langit dan bumi berserta segala isinya selama enam hari, pada hari ketujuh Dia berasa letih.
Qatadah berkata: Orang-orang Yahudi semoga laknat Allah menimpa mereka berkata, “Allah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian beristirahat pada hari ketujuh, iaitu Hari Sabtu.” Mereka menyebut hari itu sebagai yawm al-istirâhah (hari peristirahatan). Lalu Allah SWT menurunkan (ayat ini) untuk mendustakan apa yang mereka katakan dan mereka tafsirkan.[7]
Kemudian Allah SWT berfirman:
وَمَا مَسَّنَا مِن لُّغُوبٖ ٣٨
“Kami sedikit pun tidak ditimpa keletihan.” [TMQ Qaf (50): 38]
Huruf al-wâwu adalah hâliyyah (menunjukkan keadaan). Adapun « ما » adalah nafiyah (untuk menafikan, menegaskan).
Secara bahasa, kata « المَسُّ » bererti« اللَّمْسُ بِالْيَدِ » (menyentuh dengan tangan).[8] Ertinya, meletakkan tangan pada sesuatu dengan tekanan yang tidak kuat. Ini berbeza dengan « الدَّفْعِ » (dorongan) atau « اللَّطْمِ » (pukulan). Penggunaan kata tersebut memberikan makna bahawa Allah SWT sama sekali tidak tersentuh oleh kelelahan.[9]
Kata « اللُّغُوبُ », menurut al-Qurthubi bermakna « التَّعَبِ وَالْإِعْيَاءِ » (sangat kelelahan dan kepayahan)10. Menurut Ibnu ‘Asyur maknanya lebih spesifik: al-lughûb adalah « الْإِعْيَاءُ مِنَ الْجَرْيِ وَالْعَمَلِ الشَّدِيدِ » (keletihan dari perjalanan dan pekerjaan yang berat).[11]
Menurut Ibnu Katsir, ertinya tiada keletihan atau kepenatan yang dialamiNya dalam penciptaan tersebut. Semakna dengan ayat ini adalah firmanNya:
أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَلَمۡ يَعۡيَ بِخَلۡقِهِنَّ بِقَٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يُحۡـِۧيَ ٱلۡمَوۡتَىٰۚ بَلَىٰٓۚ إِنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٣٣
“Apakah mereka tidak memperhatikan bahawa Allah, Yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah karena penciptaannya, kuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya (bahkan) sesungguhnya Dia Mahakuasa atas segala sesuatu” [TMQ al-Ahqaf (46): 33].
لَخَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ أَكۡبَرُ مِنۡ خَلۡقِ ٱلنَّاسِ ٥٧
“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia” [TMQ al-Mu’min (40): 57].
Juga dalam firmanNya:
ءَأَنتُمۡ أَشَدُّ خَلۡقًا أَمِ ٱلسَّمَآءُۚ بَنَىٰهَا ٢٧
“Apakah kalian yang lebih sulit penciptaannya ataukah langit 7 yang telah Allah bangun?” [TMQ al-Nazi’at (79): 27].[12]
Mungkin ada yang bertanya mengapa penciptaan langit dan bumi harus mengambil masa enam tempoh? Benar, Allah SWT boleh menciptakan segala sesuatu dalam sekelip mata apabila Dia berkehendak. Banyak ayat yang menjelaskan perkara ini, seperti dalam firmanNya:
بَدِيعُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمۡرٗا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ١١٧
“Allah Pencipta langit dan bumi. Jika Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya, “Jadilah!” Lalu jadilah ia.” [TMQ al-Baqarah (2): 117].
Meskipun demikian, telah menjadi kehendak Allah SWT bahawa dalam menciptakan langit dan bumi serta isinya ditetapkan berlaku selama enam masa. Terdapat sebahagian ulama yang berusaha mencari hikmah di sebalik penciptaan langit dan bumi selama enam hari. Antaranya ialah al-Qurtubi.
Mufassir tersebut berkata, “Allah menyebutkan al-muddah (jangka waktu) penciptaan ini. Padahal seandainya Allah menghendaki untuk menciptakan itu dalam sekejap, niscaya Allah melakukan itu kerana Allah Mahakuasa untuk berkata kepada sesuatu, ‘Jadilah!’ Lalu jadilah ia. Akan tetapi, Dia menghendaki untuk mengajarkan kepada hamba-hamba-Nya sifat lemah lembut dan ketelitian dalam segala urusan, serta agar kekuasaanNya tampak jelas bagi para malaikat secara bertahap. Ini menurut pendapat yang mengatakan bahawa Allah menciptakan para malaikat sebelum menciptakan langit dan bumi. Terdapat hikmah lain: Dia menciptakan itu dalam enam hari kerana segala sesuatu di sisiNya memiliki batas waktu. Dengan ini, Dia menjelaskan tentang hukuman bagi para pelaku maksiat yang tidak disegerakan kerana segala sesuatu di sisiNya memiliki batas waktu.”[13]
Akan tetapi, perlu dicatat bahawa pengetahuan kita tentang hikmah ketetapan Allah SWT dan hukum-hukumNya bergantung pada pemberitahuanNya. Oleh itu, selagi tidak ada dalil yang memberitahukan perkara tersebut, maka kita tidak akan mengetahuinya, apatah lagi untuk memastikannya.
Jika dikaitkan dengan pembahasan ayat-ayat sebelumnya, maka ayat ini semakin mengukuhkan keyakinan dan keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT. Ayat ini juga menjadi dalil bagi keberadaan Hari Kiamat dan kehidupan akhirat. Jika ada manusia yang meragukan Hari Kebangkitan dan Hari Kiamat, adanya syurga dan neraka, hanya kerana belum pernah sebelumnya, maka ayat ini memastikan keberadaannya. Tidakkah dia melihat langit dan bumi beserta isinya, bahawa semuanya diciptakan Allah SWT. Tatkala Allah SWT mampu dan berkuasa menciptakan semua itu, maka sangat mudah bagi Dia untuk menghidupkan seluruh manusia kembali setelah kematiannya dan menciptakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi dengan segala kenikmatannya; juga menciptakan neraka dengan pelbagai seksanya yang sangat dahsyat.
Wallâhu a’lam bissawab.
Catatan kaki:
- Muhyiddin Darwisy, I’râb al-Qur‘ân wa Bayânuhu, 9 (Beirut: Dar al-Yamamah, 1995), 299. Lihat juga Mahmud Shafi, al-Jadwal fî I’râb al-Qur‘ân, 26 (Damaskus: Dar al-Rasyid, 1998), 318
- Lihat Mahmud Shafi, al-Jadwal fî I’râb al-Qur‘ân, 26 (Damaskus: Dar al-Rasyid, 1998), 318
- al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 375
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , 30 (Tunisia: Dar al-Tunisiyah, 1984), 325
- Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 409; al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 375
- al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 127 (Bierut: Dar Ihya‘ al-Turats al-‘Arabi, 1420 H), 151
- Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 409
- Lihat: Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah, 3 (tt: ‘Alam al-Kutub, 2008), 2097
- Lihat Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr, 30, 326-327
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17 (Kaherah: Dar al-Maktabh al-Mishriyyah, 1964), 23
- Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr, 30, 326
- Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 409
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 7 (Kaherah: Dar al-Maktabah al-Mishriyyah, 1964), 219
#TafsirSurahQaf #PangajarandaripadaAlQuran #HariKiamat #Iman