[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Pengertian Politik dalam Perspektif Islam (Bahagian 3/3)
Penulis: MR Kurnia, dkk
Politik dalam Daulah Islam
Dalam konteks negara, politik Negara (daulah) Islam diwujudkan melalui pelaksanaan hukum-hukum Islam. Negara juga menguatkuasakan peraturan-peraturan Islam di pelbagai wilayah yang tunduk di bawah kekuasaannya. Negara mengatur muamalat, menegakkan hudud, uqubat, memelihara akhlak, menjamin tegaknya syiar-syiar ibadah dan mengatur urusan rakyat sesuai dengan syariat Islam.
Islam telah menjelaskan tatacara (thariqah) untuk melaksanakan hukum Islam bagi rakyat yang tunduk pada kekuasaan Islam dan menyakini Islam, mahupun rakyat yang tidak menyakini Islam. Daulah Islam menegakkan hukum-hukum Islam sesuai dengan tatacara tersebut. Tatacara (thariqah) pelaksanaan hukum Islam oleh Daulah Islam, sebagaimana halnya dengan pelbagai pemecahan atas berbagai masalah kehidupan manusia adalah bahagian daripada syariat Islam.
Ulama usul fikih menyatakan bahawa yang diseru oleh hukum Islam adalah semua orang berakal yang memahami khithab (perintah), baik muslim mahupun non-muslim. Imam al-Ghazali menyatakan pendapatnya di dalam kitab Al-Mustashfa fi Ushul, “Mahkum ‘alayh (orang yang dikenai beban hukum) adalah mukalaf. Syaratnya, dia perlu berakal dan memahami khithab. Bagi ahli zimi, kelayakan penetapan hukumnya bersandarkan pada sifat kemanusiaannya, iaitu mampu menggunakan kekuatan akalnya untuk memahami taklif hukum.”
Oleh kerana itu, mukhathab (yang diseru) dalam Islam adalah seluruh manusia, baik berhubungan dengan khithab dakwah mahupun taklif. Khithab dakwah adalah seruan yang berisi ajakan kepada seluruh manusia untuk meyakini Islam. Adapun khithab taklif adalah seruan berupa perintah kepada seluruh manusia agar beramal sesuai dengan hukum Islam.
Islam memandang masyarakat yang di dalamnya diterapkan pelbagai peraturan, sebagai entiti manusia, tanpa dilihat kelompok dan jenisnya. Di dalam masyarakat Islam tidak terdapat syarat apa pun, kecuali kewajipan untuk tunduk kepada negara dan sistemnya. Dalam negara Islam, tidak terdapat istilah kelompok minoriti kerana seluruh masyarakat dipandang sebagai manusia yang menjadi rakyat selagi mana mereka melaksanakan kewajipan-kewajipannya.
Oleh kerana itu, politik dalam Daulah Islam secara praktikalnya terzahir melalui penerapan syariat Islam atas seluruh individu masyarakat, baik muslim mahupun non-muslim.
Politik Luar Negara Daulah Islam
Sementara itu, dalam konteks luar negara, politik Negara (daulah) Islam dimanifestasikan melalui usaha menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara, bangsa dan umat-umat lain. Hubungan luar negara ini merupakan satu bentuk pengaturan urusan rakyat secara luaran. Politik luar negara Negara Islam dibangun di atas sebuah pemikiran yang tetap dan konsisten, iaitu penyebaran Islam kepada seluruh umat dan bangsa di dunia.
Inilah asas yang membangun politik luar negara Negara Islam. Asas ini tidak akan berubah selamanya walaupun orang yang menjalankan pemerintahan berbeza-beza. Asas ini ada dan bertahan sejak masa Rasulullah SAW sehingga runtuhnya Daulah Uthmaniyah sebagai Daulah Islam terakhir. Asas ini tetap dan tidak berubah secara mutlak.
Sejak berada di Madinah, Rasulullah SAW mula membina hubungan Negara Islam dengan negara lain berdasarkan asas penyebaran Islam ini. Baginda membuat perjanjian dengan Yahudi untuk memfokuskan penyebaran dakwah di Hijaz. Baginda menandatangani Perjanjian Hudaibiyah dengan Quraisy untuk memperkuatkan penyebaran dakwah di Jazirah Arab. Baginda juga mengirim surat ke pelbagai negara yang berada di luar Jazirah Arab untuk membina hubungan dengan mereka berdasarkan asas nasyr al-Islam (penyebaran Islam) dengan menyeru mereka agar masuk Islam.
Setelah Rasulullah SAW, mucul para khalifah Rasul. Mereka juga membina hubungan luar negara dengan seluruh negara yang ada berdasarkan asas penyebaran Islam ke seluruh penjuru dunia.
Kewujudan negara tidak lain adalah untuk menegakkan Islam di dalam negara dan mengemban dakwah Islam di luar negara. Ini bermaksud bahawa kepentingan negara dalam konteks hubungan luar negara adalah untuk menyampaikan dan menyebarkan dakwah Islam. Penyebaran Islam sebagai asas bagi politik luar negara ini bersandarkan pada alasan bahawa Rasulullah Muhammad SAW diutus untuk seluruh manusia. Allah SWT berfirman, “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” [TMQ Saba’ (34): 28]
Rasulullah SAW bertugas menyampaikan risalah kepada seluruh manusia. Setelah baginda wafat, risalahnya terus disebarkan kepada seluruh manusia oleh para khalifahnya dan kaum muslim. Menyebarkan dakwah Islam ke penjuru alam merupakan kesinambungan daripada perbuatan Rasul. Oleh kerana itu, menyebarkan dakwah Islam adalah asas bagi hubungan Daulah Islam dengan pelbagai negara, bangsa dan umat lain.
Realiti seperti ini merupakan ketetapan syariat Islam yang memang telah ditegaskan di dalam Al-Quran, sunnah dan ijmak sahabat. Walhasil, asas politik luar negara Negara Islam adalah menyebarkan dakwah Islam ke seluruh penjuru alam.
Politik luar negara tersebut ditempuh dengan suatu kaedah yang tetap dan tidak pernah berubah. Kaedah itu adalah jihad. Kaedah ini tidak pernah berubah, walaupun orang yang memegang tampuk pemerintahan telah bersilih ganti. Kaedah ini tetap bertahan pada setiap masa, sejak masa Rasulullah SAW sehingga berakhimya Daulah Islam.
Kaedah seperti ini tidak pernah mengalami perubahan secara mutlak. Sejak menegakkan Daulah Islam di Madinah, Rasulullah SAW segera menyiapkan pasukan dan mula berjihad untuk menghancurkan halangan-halangan fizikal yang menghalang gerakan dakwah. Quraisy adalah halangan fizikal yang menghalang laju dakwah Islam. Rasulullah SAW berkeinginan untuk menghancurkan halangan ini. Akhirnya, baginda berjaya menghancurkan Quraisy sebagai kekuatan yang menghadang laju dakwah Islam, sebagaimana baginda berjaya menghancurkan kekuatan-kekuatan lain yang menghalang dakwah Islam, sehingga Islam tersebar ke seluruh Jazirah Arab.
Daulah Islam mula mengetuk pintu-pintu umat lain untuk menyebarkan Islam kepada mereka. Akan tetapi, kemudian muncul kekuatan-kekuatan yang berbentuk pemerintahan yang berdiri di tengah umat-umat tersebut sebagai penghalang fizikal yang berusaha menghentikan dakwah Islam. Oleh kerana itu, kekuatan-kekuatan tersebut perlu dihilangkan daripada muka dakwah agar dakwah Islam dapat mencapai umat dan mereka tunduk di bawah kekuasaan Islam.
Dengan begitu, mereka dapat melihat dan merasakan keadilan, kebahagiaan, dan kesejahteraan hidup di bawah bendera Islam. Kemudian, mereka ikut serta menyebarkan Islam dengan cara terbaik, iaitu tanpa paksaan dan ketakutan.
Dengan demikian, jihad untuk menyebarkan Islam serta menaklukkan pelbagai negara dan wilayah tertentu akan terus berlangsung. Dengan jihad, seluruh kerajaan dan negara lain akan lenyap. Negara Islamlah yang akan mengatur seluruh bangsa dan umat, kemudian menyebarkan Islam. Dengan demikian, ratusan juta manusia akan menyakini Islam setelah terlebih dahulu dikuasai oleh Islam. Walhasil, kaedah yang menyertai politik luar negara Negara Islam adalah jihad yang bersifat tetap dan tidak akan pernah berubah.
#MenjadiAhliPolitikTransformatif #AgentofChange #PolitikIslam #IslamPolitik