[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Pengertian Politik dalam Perspektif Islam (Bahagian 2/3)
Penulis: MR Kurnia, dkk
Politik dalam Perspektif Islam
Politik di dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah siyāsah. Oleh sebab itu, di dalam buku-buku para ulama salaf al-soleh dikenali dengan istilah siyâsah syar’iyyah, contohnya. Dalam kamus-kamus bahasa Arab, siyâsah berakar daripada kata sâsa-yasûsu. Dalam kalimat såsa addawabba yasûsuha siyāsatan, ia membawa maksud bererti mengurus, melatih dan mendidiknya.
Apabila disebut såsa al amra, maksudnya dabbarahu (mengurus/mengatur perkara). Begitu juga apabila disebutkan sistu ar ra’yyata siyasatan, maksudnya adalah amartuhá wa nahaituhá, iaitu ra’aitu syu-uniha bil awamiri wan nawahi. Dalam bahasa, ia bermaksud, saya menguruskan, memerintah dan melarang ternakan, iaitu saya menguruskan urusan-urusannya dengan perintah dan larangan. (Lihat: Kamus Al Muhith dan Al Munawwir tentang såsa).
Jadi, asal makna siyasah (politik) tersebut diterapkan pada pengurusan dan latihan terhadap ternakan. Perkataan tersebut kemudian digunakan dalam pengaturan urusan-urusan manusia. Individu yang menguruskan urusan-urusan manusia tersebut dinamakan ahli politik (siyasiyun). Dalam realiti bahasa Arab dikatakan bahawa ulil amri menguruskan (yasûsu) rakyatnya ketika mengurus, mengatur dan menjaga urusan rakyatnya.
Begitu juga dalam perkataan orang Arab dikatakan, “Bagaimana mungkin rakyatnya terpelihara (masüsah) apabila pemeliharanya adalah anai-anai (súsah).” Maksudnya, bagaimana mungkin keadaan rakyat akan baik apabila pemimpinnya rosak seperti anai-anai yang menghancurkan kayu. Dengan demikian, politik merupakan pemeliharaan (ri’ayah), pembaikan (ishlah), pembetulan (taqwim), pemberian arah petunjuk (irsyad) dan pembentukan adab (ta’dib).
Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya, “Adalah Bani Israil, urusan mereka diuruskan oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, tetapi akan ada banyak khalifah.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Jelaslah bahawa politik atau siyāsah itu makna awalnya adalah menguruskan urusan masyarakat. Berkecimpung dalam politik bermaksud mengambil berat terhadap keadaan kaum muslim dengan cara menghilangkan kezaliman pemimpin kepada kaum muslim dan melenyapkan kejahatan musuh kafir daripada mereka.
Untuk itu, kita perlu mengetahui apa yang dilakukan pemimpin dalam rangka menguruskan urusan kaum muslim, mengingkari keburukannya, menasihati pemimpin yang menderhakai rakyatnya, serta memeranginya ketika terjadi kekufuran yang nyata (kufran bawahan) seperti yang ditegaskan dalam banyak hadis terkenal.
Ini adalah perintah Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Terkait perkara ini, Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang bangun pagi sedangkan tujuannya bukan Allah maka dia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi tetapi tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka dia bukan daripada golongan mereka.” (HR. Al Hakim).
Pada kesempatan lain, Rasulullah SAW ditanya tentang jihad apa yang paling utama. Baginda menjawab, “Kalimat hak yang disampaikan kepada pemimpin derhaka.” (HR. Ahmad).
Sayangnya, realiti politik demikian menjadi pudar ketika ini. Kebiasaan umum masyarakat dewasa ini, baik perkataan mahupun perbuatannya, menyimpang daripada kebenaran Islam. Ini dilakukan oleh mereka yang berakidah sekularisme, baik daripada kalangan non-muslim mahupun daripada kalangan umat Islam.
Akibatnya, politik disifatkan dengan kedustaan, tipu daya dan penyesatan yang dilakukan oleh ahli politik mahupun pemimpin. Penyimpangan ahli politik daripada kebenaran Islam, kezaliman mereka kepada masyarakat, sikap dan tindakan tidak bertanggungjawab mereka dalam menguruskan masyarakat telah memalingkan makna politik yang sebenar. Bahkan, dengan pandangan demikian, pemimpin memusuhi rakyatnya, bukan sebagai pemerintahan yang soleh dan berbuat baik.
Perkara ini mendorong propaganda golongan sekularis bahawa politik itu perlu dijauhkan daripada agama (Islam). Sebabnya, orang yang faham agama akan takut kepada Allah SWT sehingga tidak sesuai berkecimpung dalam politik yang merupakan dusta, kezaliman, pengkhianatan dan tipu daya. Cara pandang demikian, sayangnya, sedar atau tidak, mempengaruhi sebahagian kaum muslim yang juga sebenarnya ikhlas dalam memperjuangkan Islam. Sedangkan propaganda tadi merupakan kebenaran yang digunakan untuk kebatilan (Lihat: Az Zain, As Siyasah wa As Siyasah Ad Dauliyyah, hal. 31–33).
Ibarat pisau bermata dua, propaganda tersebut mempunyai maksud yang bercampur antara yang benar dan yang salah. Benar, ini kerana seorang muslim mutlak mesti menjadi muslim yang melaksanakan Islam secara sempurna dan menyeluruh, jauh daripada segala perkara yang bertentangan dengan hukum-hukumnya, baik di dalam urusan peribadinya mahupun dalam interaksi-interaksi umum dengan sesama manusia. Sungguh, Islam tidak membolehkan setiap muslim berdusta, melakukan kezaliman, berkhianat, menipu rakyat, serta menyerukan akidah dan syariat selain Islam seperti yang dilakukan oleh golongan sekularis.
Ini juga batil kerana propaganda tersebut melarang muslim yang terikat dengan hukum syarak dan faham akan agamanya untuk berperanan dalam memperbaiki masyarakat dengan dasar hukum-hukum Islam. Sedangkan, seperti yang disebut dalam hadis-hadis terdahulu, hal ini merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Begitu juga propaganda itu digunakan untuk menutupi kesesatan dan penyesatan mereka daripada mata masyarakat umum.
Oleh kerana itu, mereka yang masih menyeru supaya Islam dijauhkan daripada urusan politik wajib bersandar pada hujah tadi. Sepatutnya mereka menyeru kepada pembetulan terhadap penyelewengan dalam amalan dan pemahaman politik, serta memperbaiki penyimpangan yang dilakukan oleh para ahli politik masa kini. Selain itu, politik hendaklah dikembalikan kepada prinsip-prinsip Islam agar ia kembali kepada maknanya yang mulia, iaitu mengatur, memperbaiki, mengurus dan memberikan petunjuk kepada masyarakat.
Dengan demikian, seorang muslim yang berkecimpung dalam dunia politik bermaksud muslim yang perlu mengatur, memperbaiki dan menguruskan urusan masyarakat dengan hukum-hukum Islam, serta memberi petunjuk Islam kepada masyarakat.
Dalam kata lain, politiknya seorang muslim adalah menerapkan dan menegakkan ajaran Islam dalam segala aspeknya. Apabila tidak demikian dan tetap menjauhkan Islam daripada politik bermaksud mereka telah menyimpang daripada perintah Allah SWT untuk menguruskan dan memperhatikan urusan kaum muslim. Mereka membenarkan bahawa politik itu seperti yang digambarkan oleh ideologi kapitalisme dan sosialisme. Sedangkan, politik demikian adalah politik yang bertentangan dengan politik Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ini juga bermaksud mereka melarang sesuatu yang merupakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Jadi, sikap yang sepatutnya diambil bukanlah mengasingkan Islam daripada politik atau politik tidak diatur oleh ajaran Islam, melainkan justeru menggunakan Islam untuk mengatur dan memelihara urusan masyarakat. Islamlah satu-satunya sumber politik bagi seorang muslim seperti teladan daripada baginda Nabi Muhammad SAW. Singkatnya, politik atas dasar ajaran Islam adalah menerapkan seluruh hukum Islam dalam setiap aspek kehidupan. Politik dalam perpektif Islam ini kemudian diterapkan dalam perbincangan politik dalam negara dan politik luar negara.
#PolitikIslam #IslamPolitik