[Kenyataan Media] Kanak-Kanak Dunia antara Angka Statistik dan Realiti Penderitaan
(Terjemahan)
Sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata menunjukkan bahawa tahun 2025 mencatatkan jumlah korban kanak-kanak tertinggi dalam konflik bersenjata sepanjang tiga puluh tahun lalu, dengan sebanyak 38,558 pelanggaran berat terhadap kanak-kanak didokumentasikan. Jumlah kanak-kanak yang terjejas akibat pelanggaran tersebut mencecah 24,174 orang, dengan sebahagian besar daripada mereka ialah kanak-kanak perempuan.
Pelanggaran tersebut merangkumi pembunuhan dan kecederaan, keganasan seksual, perekrutan dan penculikan, penafian bantuan kemanusiaan, serta serangan terhadap sekolah dan hospital. Menurut laporan itu, pelanggaran tersebut tertumpu di Palestin, Somalia, Nigeria, Republik Demokratik Congo dan Myanmar. Angka-angka ini menggambarkan besarnya penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak di kawasan konflik serta menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan terhadap mereka dan memastikan hak-hak asasi mereka dihormati.
Statistik dan laporan antarabangsa terus memantau keadaan kanak-kanak di kawasan konflik dan krisis kemanusiaan, dengan mendedahkan angka-angka mengejutkan yang sebenarnya hanya mewakili sebahagian kecil daripada tragedi sebenar yang dialami oleh jutaan kanak-kanak di seluruh dunia. Jutaan kanak-kanak menderita akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan. Jutaan yang lain dinafikan hak terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan dan kestabilan, manakala jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan dan genosid yang sistematik terus meningkat.
Setiap kali laporan baharu diterbitkan, persoalan yang sama kembali timbul: Siapakah yang bertanggungjawab terhadap tragedi-tragedi ini? Dan siapakah yang mendapat manfaat daripada penerusannya?
Konvensyen-konvensyen antarabangsa telah menegaskan pelbagai hak asasi kanak-kanak, terutama hak untuk hidup, terus hidup dan berkembang, serta hak terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, pemeliharaan dan perlindungan daripada keganasan, eksploitasi dan diskriminasi. Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak yang diterima pakai pada tahun 1989 merupakan antara instrumen antarabangsa paling utama yang menegaskan hak-hak tersebut. Konvensyen itu turut mewajibkan negara-negara yang meratifikasinya untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi menjamin kepentingan terbaik kanak-kanak dan melindungi mereka dalam keadaan aman mahupun perang.
Namun begitu, dokumen-dokumen tersebut tidak lebih daripada dakwat di atas kertas apabila berhadapan dengan kepentingan kuasa-kuasa besar. Realiti tragis yang dihadapi kanak-kanak memperlihatkan jurang yang luas antara teks undang-undang dengan pelaksanaan sebenar, apabila hak-hak yang termaktub dalam konvensyen dan perjanjian hanya menjadi slogan palsu dan mengelirukan yang tidak disertai keadilan dan pertanggungjawaban.
Ketika sumber kekayaan negara-negara dikuras, peperangan dicetuskan, sekatan dikenakan, serta rejim penindasan dan penjajahan disokong, laporan statistik dan hak asasi manusia terus diterbitkan bagi mendokumentasikan kesan jenayah tersebut tanpa menangani punca sebenarnya. Seolah-olah dunia diharapkan membiasakan diri menyaksikan para korban dan berpuas hati sekadar menghitung jumlah mereka, bukannya menyelamatkan mereka.
Tragedi sebenar bukan terletak pada ketiadaan undang-undang dan perjanjian, tetapi pada penguasaan sebuah sistem antarabangsa yang bersifat selektif, yang menerapkan undang-undang terhadap pihak yang lemah, tetapi mengabaikannya apabila bertentangan dengan kepentingan pihak yang berkuasa.
Sesungguhnya, apa yang dialami oleh kanak-kanak dunia pada hari ini bukan sekadar kerosakan sementara dalam sistem antarabangsa. Sebaliknya, ia merupakan kesan langsung daripada struktur global yang dibina berasaskan dominasi politik, eksploitasi ekonomi dan penundukan bangsa-bangsa kepada kepentingan kuasa-kuasa besar.
Sejak awal kewujudannya, sistem kapitalisme global telah melahirkan struktur penjajahan, pendudukan, peperangan dan perampasan kekayaan, sedangkan pada masa yang sama sistem tersebut menampilkan dirinya sebagai pelindung kemanusiaan dan penjaga hak asasi manusia!
Kanak-kanak merupakan golongan yang paling rentan dan paling teruk terjejas akibat peperangan dan konflik yang terus berkecamuk di pelbagai bahagian dunia. Peperangan ini tidak tercetus secara terpisah daripada dasar kuasa-kuasa besar dan rejim penjajah, yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada pencetusan dan penerusan konflik, sambil memperoleh manfaat politik atau ekonomi daripada kelangsungannya.
Oleh itu, ketika jenayah didokumentasikan dan jumlah mangsa dihitung, kanak-kanak terus berada di bawah pengeboman, kelaparan, kepungan dan pengusiran. Keadaan ini mendedahkan ketidakupayaan sistem antarabangsa untuk menyediakan perlindungan berkesan yang didakwa diperjuangkannya.
Setiap tahun, institusi dan pertubuhan antarabangsa menerbitkan puluhan laporan yang mendokumentasikan skala bencana kemanusiaan, sedangkan punca sebenar bencana tersebut terus berlanjutan tanpa sebarang penyelesaian yang mendasar.
Oleh itu, angka korban bukan sahaja mencerminkan kegagalan institusi kemanusiaan—yang dalam banyak keadaan telah menjadi pelindung moral yang memberikan sistem antarabangsa imej kemanusiaan, sedangkan di sebaliknya tersembunyi realiti yang jauh lebih keras dan kejam—tetapi turut mendedahkan kerosakan tatanan antarabangsa ini serta kebankrapan model politik yang mentadbir dunia pada hari ini.
Model tersebut meletakkan keuntungan mengatasi manusia, kekuasaan mengatasi keadilan dan kepentingan mengatasi maruah manusia.
Kanak-kanak dunia tidak begitu memerlukan lebih banyak statistik, sebaliknya mereka memerlukan penamatan terhadap punca-punca yang menghasilkan statistik tersebut. Mereka tidak memerlukan lebih banyak slogan, tetapi keadilan sebenar yang menamatkan peperangan, eksploitasi, penjajahan, kebuluran dan peminggiran.
Sebagai kesimpulan, kami menegaskan bahawa penyelamatan kanak-kanak tidak dapat dicapai melalui sistem kapitalisme yang telah menyumbang kepada terciptanya tragedi mereka. Sebaliknya, hal itu hanya dapat dicapai melalui penegakan keadilan sebenar yang memelihara maruah dan hak manusia atas dasar kemanusiaan itu sendiri, sebelum sebarang pertimbangan lain.
Cara hidup yang dipilih oleh Allah SWT untuk manusia sahaja yang mampu menegakkan sebuah sistem berasaskan keadilan, rahmat dan pemeliharaan hak, jauh daripada logik dominasi dan eksploitasi.
Kanak-kanak bukan sekadar angka dalam laporan antarabangsa. Mereka merupakan bahagian yang tidak terpisahkan daripada seluruh umat manusia, dan kesejahteraan masa hadapan mereka bergantung pada perubahan terhadap realiti kemanusiaan yang penuh bencana ini serta penegakan sebuah sistem yang adil, yang memelihara hak dan maruah setiap insan.
Sistem tersebut ialah sistem Islam yang telah dipilih oleh Allah untuk kita, agar kita menikmati ketenangan dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.
﴿الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا﴾
“ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [Al-Ma’idah:3]
Bahagian Muslimah
Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#HakKanakKanak #SejahteradenganIslam #AyuhUmatBangkit #PerubahanHakikidenganIslam