Dr Huda: Jadilah ‘Game Changer’, Bukan Sekadar ‘Main Character’
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Muslimah HTM, Dr Huda Anas menegaskan bahawa generasi muda perlu menjadi game changer yang membawa manfaat kepada kebangkitan umat, bukan sekadar menjadi main character dalam kehidupan sendiri.
“Jangan kita asyik menjadi main character dalam kisah hidup sendiri. Jadilah game changer yang membawa manfaat dan menjadi sebahagian daripada kebangkitan umat,” ujarnya dalam Talkshow ‘Be An Amazing Ummah’ di Putrajaya, Sabtu (4/7/2026).
Menurut beliau, cara fikir yang meletakkan diri sebagai watak utama (main character) dalam kehidupan lahir daripada sikap individualistik yang menyebabkan seseorang lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding orang lain.
“Cara fikir ini lahir daripada sikap individualistik sehingga mereka terlupa bahawa mereka juga sebahagian daripada masyarakat. Akibatnya, generasi muda mengelak daripada memikirkan masalah orang lain, malah menganggap isu umat sebagai beban tambahan,” jelasnya.
Tambah beliau, tekanan hidup seperti tuntutan pekerjaan, masalah kewangan, krisis keluarga dan cabaran pembelajaran menyebabkan ramai anak muda memilih untuk hanya mengurus kehidupan sendiri.
“Mereka beranggapan, ‘aku urus hidup aku, kau urus hidup kau’. Mereka tidak lagi mahu mengambil tahu urusan orang lain,” katanya.
Dr Huda berkata, sejarah membuktikan bahawa golongan muda memainkan peranan besar dalam kebangkitan Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
“Ramai sahabat yang terawal memeluk Islam ketika berusia 8, 10, 15 dan 18 tahun. Mereka menerima Islam ketika masih muda dan akhirnya menjadi penyumbang utama kepada kebangkitan umat,” katanya.
Beliau berkata, para sahabat menerima Islam pada usia muda kerana mereka peka terhadap kerosakan sosial yang berlaku dalam masyarakat Quraisy.
“Kepekaan terhadap keadaan sekeliling itulah yang mendorong mereka memikul tanggungjawab dakwah dan turun di tengah-tengah masyarakat sekaligus menjadi penggerak perubahan, bukannya hanya memikirkan kepentingan diri sendiri,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan teknologi digital hari ini seharusnya dimanfaatkan oleh generasi muda untuk mendidik masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan umat.
“Umat Islam perlu merebut peluang yang ada untuk menjadi influencer (pempengaruh) yang memberi kesedaran dan membentuk cara fikir masyarakat bukan sekadar menjadikan platfom media sosial untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat,” tegasnya.
Beliau menyimpulkan bahawa individu bukanlah entiti yang terpisah daripada masyarakat, sebaliknya merupakan sebahagian daripada umat yang mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
“Amazing ummah tidak akan terbina melalui individu yang hanya mengejar kejayaan peribadi, sebaliknya lahir daripada generasi yang memiliki cita-cita tinggi (himmah ‘aliyah) untuk menyumbang idea, tenaga dan kepakaran demi kemaslahatan umat,” simpulnya. []
#MasyarakatMuslimIdeal #AmazingUmmah #KesedaranIslam #AgentofChange #AyuhUmatBangkit #GenerasiMuslimIdeal