Tiga Syarat Menjadi Khaira Ummah
Oleh: Syamsiyah Jamil
Mantan Edupreneur Pendidikan Awal Kanak-kanak, Puan Siti Zaidah Mohammad mengatakan ada tiga syarat untuk menjadi khaira ummah (umat terbaik).
“Daripada ayat ini tadi, kita melihat macam mana Allah telah menetapkan syarat-syarat untuk menjadi khairu ummah. Dalam tafsir Imam al-Qurtubi menyebut, untuk menjadi khaira ummah atau umat terbaik itu tadi ada tiga syarat,” katanya dalam Talkshow ‘Be An Amazing Ummah’ di Putrajaya pada Sabtu (4/7/2026).
“Apa tiga syarat tersebut? Yang pertama, beriman kepada Allah SWT. Yang kedua, amar ma’ruf iaitu mengajak kepada kebaikan. Yang ketiga, mencegah kepada kemungkaran,” sambungnya setelah membaca ayat 110 daripada Surah Ali-Imran.
Untuk memenuhi syarat pertama iaitu beriman kepada Allah SWT, beliau menunjukkan cara untuk menambahkan keimanan dalam diri.
“Kita kena pastikan bahawa kewajipan kita yang utama atau pun fardhu ain, kita kena laksanakan. Dan kalau pun kita dah laksanakan yang itu, ada juga kewajipan-kewajipan lain,” ungkapnya.
Walaupun Muslimah selalu keletihan atau pun burn out setelah melakukan pelbagai kewajipan sebagai isteri, ibu dan pengurus rumahtangga, beliau menegaskan bahawa Muslimah tetap perlu melakukan amar ma’ruf.
“Kita cari maklumat-maklumat yang bermanfaat khususnya berkaitan dengan Islam. Kita share maklumat yang berkaitan dengan isu-isu semasa,” jelasnya.
“Walaupun sedikit, tetapi kalau ia berterusan, tetap ia mendapat pahala daripada Allah SWT,” tambahnya.
Menurutnya, Muslimah juga tidak boleh ketinggalan dalam melakukan nahi mungkar (mencegah kemungkaran).
“Ada hadis yang menyebutkan, kalau ada kemungkaran, kita hendaklah mencegahnya dengan tangan. Kalau tak boleh, dengan lisan. Kalau tak boleh juga, dalam hati. Itulah selemah-lemah iman,” tuturnya.
Beliau berkongsi kisah sahabiyah di zaman Rasulullah SAW yang boleh dijadikan contoh oleh para Muslimah.
“Contohnya kisah Asma binti Abu Bakar yang ketika dia tengah mengandung, dia buat apa? Dia memanjat Gua Thur untuk menghantar bekalan kepada ayahandanya Abu Bakar dan Rasulullah SAW ketika hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah,” ujarnya.
“Pada waktu itu, dia menjadi apa? Penghantar bekalan dan penyampai maklumat berkenaan situasi yang berlaku di Mekah pada waktu itu,” lanjutnya.
Beliau menunjukkan kisah Asma sebagai wanita yang mempunyai keazaman yang kuat demi kejayaan Islam dan untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
“Jadi, kalau kita buat sesuatu itu kerana Allah SWT, InsyaAllah ganjarannya pahala dan itu membuatkan kerohanian kita semakin meningkat, menguatkan lagi kerohanian kita,’ tegasnya.
Beliau berpesan, untuk membentuk khaira ummah, Muslimah tidak perlu menjadi sempurna atau serba boleh.
“Nak menjadi Muslimah ideal itu tadi, dia bukannya menjadi supermom seperti dalam kaca mata kapitalis. Tetapi kita mengikut fitrah kita iaitu sebagai ummu wa rabbatul bait itu tadi,” simpulnya.
#MasyarakatMuslimIdeal #AmazingUmmah #KesedaranIslam #KhairaUmmah #AyuhUmatBangkit