[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Mengenali Potensi: Memahami Hakikat Diri (Bahagian 6/6)
Penulis: MR Kurnia, dkk
(Sambungan dari “Mengenali Potensi” Bahagian 5/6.)
Adapun jawapan fahaman sekular atau sekularisme terhadap al-‘Uqdah al-Kubra merupakan jawapan yang sangat spekulatif. Hal ini demikian kerana jawapan tersebut berasal daripada manusia yang lemah dan terbatas, serta tidak mampu mencapai pengetahuan yang berada di luar batas keupayaan pancaindera mereka. Bahkan, mereka sendiri tidak benar-benar yakin sama ada jawapan tersebut benar ataupun tidak. Apabila terdapat jawapan yang pasti benar, iaitu yang bersumberkan wahyu, maka jawapan spekulatif tersebut pastilah salah.
Oleh sebab itu, setiap Muslim wajib meyakini jawapan tentang al-‘Uqdah al-Kubra yang diberikan oleh Islam kerana jawapan tersebut berasaskan wahyu yang pasti benar. Allah SWT menjelaskan bahawa setiap Muslim wajib mengikuti segala yang telah diturunkan-Nya dan haram mengambil petunjuk daripada selain-Nya.
“Ikutilah apa yang diturunkan kepada kalian dari Tuhan kalian dan janganlah kalian mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya.” (TMQ Al-A’raf: 3).
Jawapan Islam tentang Al-Uqdatu al-Kubra yang bersumber dari wahyu Allah SWT adalah jawapan yang sahih, memuaskan akal, dan sesuai dengan fitrah manusia.
“Alif laam miim. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah: 1—2).
Islam telah memberikan jawapan yang tuntas terhadap tiga persoalan asas, iaitu “Dari manakah manusia berasal?”, “Apakah tujuan manusia hidup?” dan “Ke manakah manusia selepas mati?” Dengan demikian, simpulan besar tentang hakikat kehidupan seorang Muslim tersingkap dengan jelas, iaitu manusia diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepada-Nya. Selepas mati, manusia akan kembali kepada Allah SWT untuk mempertanggungjawabkan segala yang telah dilakukannya di dunia pada Hari Perhitungan (Yaum al-Hisab). Setelah itu, akan ditentukan sama ada manusia menjadi penghuni syurga atau neraka.
Sesungguhnya, kehidupan seorang Muslim ialah kehidupan yang membawa misi agung, terarah dan teguh, serta bermutu tinggi dengan keyakinan terhadap kegemilangan kehidupan hakiki yang kekal abadi di akhirat kelak.
Oleh sebab itu, fasa kehidupan dunia dengan fasa kehidupan sebelumnya terikat melalui hubungan penciptaan (silat al-khalq). Sementara itu, fasa kehidupan dunia dengan fasa kehidupan selepasnya terikat melalui hubungan perhitungan amal atau hisab.
Allah SWT menciptakan manusia dan melengkapinya dengan potensi-potensi kehidupan (thaqatun hayawiyyatun). Potensi-potensi ini secara fitrah mendorong manusia untuk melakukan pelbagai aktiviti bagi merealisasikan tujuan penciptaannya, iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah. Menurut Syeikh Muhammad Muhammad Ismail dalam kitab al-Fikr al-Islami, potensi kehidupan tersebut terdiri daripada hajah al-‘udhawiyyah atau keperluan jasmani dan gharizah atau naluri.
Hajah al-‘udhawiyyah merangkumi rasa lapar, dahaga serta keperluan untuk membuang air besar dan kecil. Sementara itu, gharizah merangkumi naluri beragama (gharizah al-tadayyun), yang antara bentuk penzahirannya ialah kecenderungan manusia untuk beribadah atau menyucikan sesuatu yang dianggap agung.
Naluri untuk meneruskan keturunan (gharizah al-naw‘) pula antara lain terzahir melalui ketertarikan manusia terhadap lawan jenis. Adapun naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’), salah satu bentuknya ialah keinginan manusia untuk menjadi pemimpin.
Keperluan jasmani dan naluri tersebut menuntut pemenuhan. Persoalannya bukan sahaja berkaitan dengan kemampuan menyediakan sarana atau alat material untuk memenuhinya, tetapi juga cara manusia memenuhi segala keperluan jasmani dan naluri tersebut.
Dalam hal ini, selaras dengan tujuan penciptaan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya, usaha untuk memenuhi serta menyalurkan seluruh potensi kehidupan hendaklah sentiasa berlandaskan hukum-hukum syariat Allah. Oleh itu, usaha memenuhi keperluan jasmani dan naluri dengan cara yang tidak selaras dengan ketetapan Allah SWT bererti bertentangan dengan hakikat tujuan penciptaan manusia.
Sumber: MR Kurnia, dkk., Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.
#MenjadiAhliPolitikTransformatif #PolitikIslam #PotensiManusia #HakikatManusia #UqdatulKubra