Bagaimana Sultan Mehmed IV Menguji Messiah Palsu
Semasa pemerintahan Sultan Mehmed IV, Sultan Uthmaniyyah ke-19, seorang lelaki Yahudi bernama Sabbatai Zevi muncul di bandar Izmir. Dia mendakwa dirinya sebagai Messiah (al-Masih) yang dinanti-nantikan oleh orang Yahudi. Sebahagian besar orang Yahudi mempercayainya. Mereka berpusu-pusu datang kepadanya untuk meminta restu atau berkah, serta menyebarkan khabar angin bahawa dia mampu melakukan pelbagai keajaiban dan mukjizat.
Sebaik sahaja Sultan mengetahui perkara ini, dia ingin bertemu dengan lelaki Yahudi tersebut secara langsung dan menyoal siasat dirinya. Ketika lelaki tersebut dibawa menghadap Sultan, dia pun bertutur dalam bahasa Turki dengan terbata-bata kerana tidak menguasainya. Sultan pun berkata kepadanya, “Pertuturanmu dalam bahasa Turki menunjukkan bahawa engkau tidak memahami bahasa ini, padahal seorang Messiah sepertimu sepatutnya fasih berbicara dalam seluruh bahasa.”
Sultan menyambung, “Adakah kamu boleh melakukan keajaiban?” Dia menjawab, “Ya, tetapi hanya pada waktu-waktu tertentu.” Sultan berkata, “Aku ingin menguji keajaibanmu itu.”
Sultan lalu memerintahkan agar pakaian Zevi ditanggalkan dan dia diminta berdiri di tengah kawasan lapang, untuk dipanah oleh para perajurit. Jika anak panah tidak mencederakannya sedikit pun, maka dakwaannya itu benar. Namun jika sebaliknya, maka dia hanyalah seorang penipu.
Mendengar itu, lelaki tersebut terus rebah ke tanah dan merayu kepada Sultan untuk mendapatkan belas kasihan. Sultan kemudian memerintahkan agar lelaki tersebut dihukum mati, tetapi pada saat itu, lelaki tersebut terus sujud di kaki Sultan dan meminta untuk memeluk Islam. Sultan menerima pengislamannya. Sejak itu, lelaki itu telah berubah kepada menyeru orang Yahudi agar memeluk Islam, sehingga ramai di antara mereka akhirnya memeluk Islam.
Pada tahun yang sama, muncul seorang lelaki dari kalangan suku Kurdi yang mengaku sebagai Imam Mahdi, dan dia berjaya mengumpulkan banyak pengikut di sekelilingnya. Gabenor Mosul kemudian menangkapnya dan menghantarnya ke Konstantinopel. Ketika dihadapkan di hadapan Sultan, beliau memerintahkan agar lelaki tersebut diuji dengan cara yang sama seperti yang beliau terapkan pada Messiah palsu sebelum itu. Lelaki Kurdi tersebut menerimanya, hingga dia akhirnya tewas akibat dihujani anak panah.
Sumber: “Târîkh Salâthîn Banî ‘Utsmân” – Izzetlu Yusuf Bey Asaf
#muhasabah #pengajaran #khilafahuthmaniyyah