Haji Tercemar Rasuah: Belajar daripada Quraisy Jahiliah
Oleh: Maman Abdulla
Haji adalah ibadah agung. Setiap Muslim yang menunaikan ibadah haji berharap dapat pulang dalam keadaan bersih, seperti bayi yang baru lahir. Namun, adanya dakwaan rasuah dan pelaburan simpanan haji berasaskan riba serta lain-lain transaksi tidak syarie, sungguh mencoreng kesucian ibadah ini. Ironinya, ibadah yang sepatutnya menjadi puncak kesolehan justeru dinodai kerakusan duniawi.
Sejarah mencatatkan, kaum Quraisy pernah mengubahsuai Ka’bah sebelum Nabi Muhammad SAW diutus. Mereka sepakat hanya memakai dana halal. Harta dari riba, zina atau kezaliman ditolak. Kerana kekurangan dana, sebahagian daripada asas Ka’bah—Hijr Ismail—tidak ditutup. Namun, prinsip mereka jelas: lebih baik bangunan sederhana daripada ternoda oleh harta haram. Inilah pengajaran berharga: bahkan Quraisy jahiliah menjaga kehormatan rumah Allah.
Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya ” [TMQ al-Mulk (67): 2]
Imam Fudhail bin ‘Iyadh mentafsirkan: amal terbaik adalah yang ikhlas dan benar. Ikhlas bermaksud kerana Allah. Benar bermaksud sesuai dengan Sunnah Rasulullah. Pada zaman kini, kita perlu menambahkan syarat ketiga: halal. Bagaimana amal dapat menjadi ahsanu ‘amala jika tumbuh dari rasuah dan riba?
Allah SWT juga mengingatkan (yang bermaksud): “Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [TMQ al-Isra’ (17): 36]
Setiap wang yang dirasuah, setiap akad ribawi yang dipaksakan dalam ibadah, akan menjadi saksi di hadapan Allah. Amal besar seperti haji juga boleh tercemar jika asasnya kotor.
Hari ini, ironi itu nyata. Quraisy jahiliah menolak dana haram, sementara ada orang-orang dari umat Islam rela merasuah haji dan menjerat jemaah dengan talangan ribawi. Adakah kita tidak malu?
Pertanyaan penting muncul: sudahkah amal kita ikhlas, benar dan halal? Tanpa tiga syarat ini, haji hanya meninggalkan catatan hitam, bukan jalan menuju redha Allah.
#Haji #Ibadah #KesucianIbadah #HalalHaram