Pentingnya Mengetahui Peranan dan Tanggungjawab Penegakan Syariat
Memahami siapa yang memikul tanggungjawab atas penerapan setiap hukum syariat adalah hal yang sangat penting. Tanpa pemahaman ini, umat Islam—baik secara individu mahupun gerakan—boleh kehilangan arah dan keliru dalam menjalankan syariat. Pemahaman yang keliru ini akan melahirkan penerapan yang juga keliru dalam amalan.
Kekeliruan peranan ini juga boleh memberi kesan kepada keutamaan. Seseorang boleh saja lalai terhadap kewajipan dirinya sendiri, tetapi malah sibuk mengejar amalan sunnah. Di peringkat komuniti atau gerakan, mereka kerap hanya fokus mengkaji hukum-hukum individual dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai sebuah kelompok, atau bahkan bertindak melampaui batas dengan mengambil alih kekuasaan negara kerana gagal memahami batasan peranan yang telah diatur oleh syariat.
Hal serupa juga boleh menjangkiti para ulama. Banyak yang akhirnya hanya menyampaikan sebahagian fardhu ain, tetapi lalai mendidik umat terkait kewajipan lainnya. Belum lagi fardhu kifayah yang penting, seperti usaha penegakan institusi kepimpinan Islam. Akhirnya, ulama hanya menjadi sekadar penasihat kerohanian, bukan intelektual yang peka terhadap politik, figura yang sepatutnya bijak melihat masalah umat, merumuskan penyelesaian dan bertindak untuk menanganinya.
Setiap pihak wajib menjalankan syariat yang dibebankan kepada bahunya masing-masing. Mereka perlu diluruskan jika lalai terhadap tugasan tersebut, dan tidak dituntut atas hal yang memang berada di luar batas kekuasaannya. Syariat tidak meletakkan seluruh beban pelaksanaan kepada satu pihak, tetapi sebaliknya mengagihkannya secara berkadar antara individu, kumpulan, dan negara. Ketika individu menunaikan perananya, kelompok menjalankan fungsinya, dan pemimpin negara memenuhi kewajipannya, di situlah Islam ditegakkan secara menyeluruh.
Kejelasan batas tugas ini perlu difahami agar umat dapat bersikap adil dan tepat sasaran ketika melakukan penilaian (muhâsabah). Jangan sampai rakyat biasa dituntut memikul tugas negara, sebuah gerakan dituntut di luar kapasitinya, atau seorang pemimpin dituntut atas hal yang bukan menjadi bidang tanggungjawabnya.
Sumber: “Ad-Da’wah ila al-Islam” (Ahmad al-Mahmud)
#tanggungjawab #dakwahislamkaffah #tegakkhilafah #muhasabah