[Perjanjian Antarabangsa] Definisi Perjanjian, Dalil-Dalil Pensyariatannya dan Pelaksanaannya (Bahagian 1/5)
Penulis: Iyad Hilal
Definisi Perjanjian
Al-Mu‘ahadah (perjanjian) merupakan kata terbitan daripada ‘ahada. Dari sudut bahasa, al-‘ahd membawa maksud segala bentuk perjanjian antara hamba (manusia), setiap perintah Allah SWT, pemeliharaan, penjagaan kehormatan dan keamanan. Al-mu‘ahid ialah orang yang mempunyai perjanjian denganmu. Adapun al-mu‘ahadah, al-i‘tihad, al-ta‘ahud dan al-ta‘ahhud bermaksud peristiwa berlakunya perjanjian yang engkau persetujui.
Perkataan al-‘ahd digunakan dengan beberapa makna. Antaranya ialah kesepakatan antara dua individu atau dua pihak mengenai sesuatu perkara yang mengikat mereka demi kepentingan kedua-dua pihak atau salah satu daripadanya. Al-mu‘ahadah pula ialah peristiwa berlakunya kesepakatan tersebut.
Oleh itu, bentuk-bentuk perjanjian adalah berbeza-beza bergantung kepada pihak-pihak yang memeterainya. Kadangkala perjanjian itu dilakukan antara dua individu atau antara dua negara. Ia juga boleh berlaku antara dua kelompok negara, atau antara individu dengan suatu jemaah. Dengan kata lain, tidak semestinya perjanjian itu berlaku antara negara dengan negara sahaja. Kesemua atau sebahagian bentuk kesepakatan tersebut termasuk dalam makna perkataan al-mu‘ahadah dari sudut bahasa.
Berdasarkan makna yang telah disebutkan, terdapat beberapa perkataan yang berkaitan dengan al-mu‘ahadah, antaranya al-il, al-mithaq dan al-yamin. Kesemua perkataan ini merupakan sinonim yang menunjukkan suatu perjanjian atau kesepakatan antara kaum Muslimin dan orang-orang kafir, kerana perkataan-perkataan tersebut digunakan dalam al-Quran dengan makna sedemikian.
Al-il bermaksud al-hilf (persekutuan atau pakatan) dan al-‘ahd (perjanjian), sebagaimana firman Allah SWT: “Mereka tidak memelihara hubungan kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula memelihara) perjanjian.” [TMQ al-Tawbah: 10]
Al-mithaq bermaksud al-‘ahd (perjanjian), manakala al-muwathaqah bermaksud al-mu‘ahadah (perjanjian). Adapun al-yamin bermaksud al-hilf (sumpah setia atau pakatan) dan al-qasam (sumpah). Hal ini sebagaimana terdapat dalam firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (kamu) setelah kamu menguatkannya.” [TMQ al-Nahl: 91]
Al-‘ahd dinamakan juga sebagai al-yamin kerana sesuatu perjanjian itu diperkukuhkan dengan sumpah.
Berdasarkan definisi dari sudut bahasa ini, kita dapat melihat bahawa al-mu‘ahadah (perjanjian) membawa maksud pemeteraian suatu kesepakatan antara dua individu atau dua kelompok. Namun, yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah perjanjian antara negara-negara sahaja. Kesepakatan yang dimeterai oleh dua buah negara atau dua kelompok negara inilah yang dinamakan sebagai perjanjian-perjanjian antarabangsa.
Adapun kesepakatan-kesepakatan lain yang dibuat antara individu-individu, meskipun dari sudut bahasa ia juga boleh disebut sebagai al-mu‘ahadah (perjanjian), namun perkara tersebut berada di luar skop perbahasan kita.
Definisi Al-Mu‘ahadah (Perjanjian) Menurut Istilah
Para fuqaha telah mendefinisikan al-mu‘ahadah (perjanjian) dengan beberapa definisi. Mereka juga menamakannya dengan istilah-istilah lain seperti al-muhadanah, al-muwada‘ah dan al-musalamah. Berikut adalah sebahagian daripada definisi tersebut.
Al-Syarbini mendefinisikan al-mu‘ahadah sebagai perjanjian antara dua pihak yang berperang untuk menghentikan peperangan dalam tempoh tertentu, sama ada dengan pemberian imbuhan (kompensasi) atau selainnya.
Al-Kharasyi mendefinisikan perjanjian sebagai kesepakatan antara kaum Muslimin dengan Kafir Harbi untuk menghentikan peperangan dalam jangka masa tertentu di bawah hukum Islam.
Al-Bahuti mendefinisikannya sebagai suatu perjanjian untuk menghentikan peperangan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Al-Kasani mendefinisikannya sebagai perjanjian untuk menghentikan peperangan.
Al-Syaibani mendefinisikannya sebagai perjanjian antara kaum Muslimin dengan kaum musyrikin dalam tempoh masa tertentu.
Ibnu Qudamah mendefinisikannya sebagai kesepakatan dengan pihak Harbi untuk menghentikan peperangan dalam tempoh yang telah ditentukan, sama ada dengan pemberian imbuhan atau tanpa imbuhan.
Sementara itu, al-Qalqasyandi mendefinisikan al-mu‘ahadah (perjanjian) sebagai al-sulh (perjanjian damai) yang dimeterai oleh dua pemimpin untuk suatu tempoh tertentu dengan syarat-syarat yang khusus. Dengan meneliti definisi-definisi tersebut, maka jelaslah kepada kita beberapa perkara berikut:
- Kesemua definisi ini tidak bersifat jāmi‘ (menyeluruh) kerana hanya sesuai digunakan untuk al-hudnah (gencatan senjata). Ia tidak merangkumi bentuk-bentuk perjanjian yang lain dan tidak membataskannya kepada gencatan senjata semata-mata, kecuali definisi yang dikemukakan oleh al-Syaibani. Ini kerana beliau tidak membataskan perjanjian kepada gencatan senjata sahaja, sebaliknya menyatakan bahawa perjanjian ialah kesepakatan yang dimeterai antara kaum Muslimin dan kaum musyrikin untuk suatu tempoh tertentu.
- Sebahagian definisi tersebut tidak bersifat māni‘ (menghalang kemasukan unsur yang tidak berkaitan) kerana kurang teliti, seperti definisi al-Kharasyi yang memasukkan kesepakatan antara seorang Muslim dengan pihak Harbi ke dalam definisi al-mu‘ahadah (perjanjian). Sedangkan seorang Muslim hanyalah individu perseorangan dan tidak berhak memeterai akad mu‘ahadah, kerana perkara tersebut disandarkan kepada umat.
- Sebahagian definisi tersebut tidak mensyaratkan penetapan tempoh masa perjanjian, sedangkan sesuatu perjanjian mestilah ditentukan jangka masanya.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
(Bersambung ke “Definisi Perjanjian” Bahagian 2/5.)
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur