Sekular-Kapitalisme Kosongkan Nilai Spiritual Masyarakat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah HTM, Zuraidah Razali menyatakan bahawa penerapan sistem sekular-kapitalisme memberi kesan besar terhadap nilai spiritual dalam kehidupan masyarakat.
“Kesan yang besar, kita tengok, ialah kekosongan nilai spiritual. Benda yang simple, yang negara sepatutnya boleh jaga. Tapi akhirnya merosakkan, mengosongkan nilai spiritual dalam diri. Bagaimana masyarakat, individu itu telah mengukur kehidupan dan menilai sesuatu perkara serta perbuatan melalui keuntungan, manfaat material semata-mata. Itulah sistem sekular yang turut berjalan bersama konsep kapitalisme,” katanya dalam Open Circle Muslimah Online bertajuk Khilafah: Antara Sejarah, Syariat dan Persepsi, pada 10/10/2026 (Sabtu).
Zuraidah berpendapat bahawa apabila perkara yang telah diketahui haram masih dilakukan kerana dianggap bermanfaat, maka cara pandang tersebut akan menyebabkan hubungan antara kehidupan dengan keredhaan Allah semakin menjauh.
“Hubungan kehidupan dengan redha Allah menjadi terpisah sepenuhnya. Hidup ini nak mencari redha Allah, tapi walaupun perkara itu haram tetap buat, kan? Masyarakat hari ini, walaupun benda tu haram, dah tahu haram, tetap mencari-cari jalan supaya benda tu jadi halal. Contohnya hukum mengambil riba itu haram, tapi mencari-cari juga mana ulama yang membolehkan,” jelasnya.
Beliau turut mengaitkan tindakan pemisahan agama daripada kehidupan sebagai pemicu pelbagai krisis dalam masyarakat.
“Kerosakan sosial dan juga moral dalam masyarakat semakin berleluasa, begitu juga keruntuhan akhlak, berlakunya penindasan, ekonomi berasaskan riba dan eksploitasi. Akhirnya melahirkan masyarakat yang dilanda krisis jiwa,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan seperti kempen pencegahan atau penyediaan pusat kebajikan bukanlah solusi tuntas bagi masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat dan ia sama sekali tidak mencukupi.
“Perubahan-perubahan ini hanya ditampal-tampal saja tanpa diubati daripada akarnya. Sistem perundangan dan struktur asas masyarakat perlu dirungkai dan diganti secara keseluruhan. Agar secara akar umbi ia (punca masalah) diselesaikan, barulah permasalahan itu (benar-benar) selesai,” tegasnya.
Selain kesan sosial, Zuraidah turut menyentuh penjajahan dan pengusiran terhadap umat Islam di beberapa wilayah, sambil mengingatkan bahawa penjajahan bukan sahaja berlaku secara fizikal, tetapi juga dalam bentuk pemikiran.
“Kita lihat hari ini impak dan kesannya yang besar kepada umat adalah berlaku penjajahan dan pengusiran di dalam wilayah Muslim itu sendiri. Masyarakat Islam hilang kuasa walaupun berada di wilayah sendiri.” katanya selepas menghuraikan realiti umat Islam masakini di Palestin, Rohingya dan Uyghur.
Dalam aspek ekonomi pula, beliau menyatakan bahawa sistem kapitalisme telah membuka ruang kepada pemilik modal untuk menguasai ekonomi. Keadaan itu telah memberikan pemilik modal kelebihan besar dalam mempengaruhi dasar negara.
“Sistem kapitalisme, sistem modal, pemilik modal akan memonopoli ekonomi negara itu dan mencetuskan macam-macam masalah. Kuasa beli semakin merosot, harga barang pula naik,” kritiknya.
Sambungnya lagi dengan menjadikan isu jerebu sebagai contoh, sebagai realiti bagaimana polisi yang menguntungkan pemodal telah menyebabkan kezaliman pada rakyat.
“Pemilik modal yang menguasai ekonomi. Siapa yang merasai penderitaan, kezaliman itu? Kitalah masyarakat yang akhirnya merasai kerosakan yang mereka buat,” tegasnya.
#sekularisme #kapitalisme #bahayaideologi