[Perjanjian Antarabangsa] Perjanjian Sempadan Negara yang Bersifat Tetap serta Sempadan Wilayah Negara di Darat, Laut dan Udara
Penulis: Iyad Hilal
Setiap negara semestinya mempunyai wilayah yang menjadi tempat untuk melaksanakan kedaulatannya. Wilayah ialah suatu kawasan di muka bumi yang dimiliki oleh sesebuah negara untuk menjalankan segala aktiviti serta kedaulatannya secara berterusan.
Pembentukan sempadan-sempadan negara berlaku akibat pelbagai faktor yang sangat kompleks. Namun, faktor yang paling utama ialah faktor politik dan sejarah, selain peperangan dan geografi. Wilayah yang kita diami pada masa ini dahulunya merupakan sebuah negara yang bersatu kerana perpecahan adalah dilarang dalam Islam. Negara yang satu ini kemudiannya telah dibahagikan kepada pelbagai negara.
Wilayah Syam pada asalnya merupakan sebuah wilayah yang bersatu, meliputi negara-negara yang kini dikenali sebagai Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin. Namun demikian, kemenangan kuasa Bersekutu dalam Perang Dunia Pertama telah mengakibatkan wilayah tersebut dipecahkan. Kemudian, diwujudkan sempadan-sempadan politik yang bersifat buatan dan imaginatif dalam kalangan umat Islam.
Seiring dengan perjalanan waktu, sempadan wilayah yang bersifat buatan dan imaginatif ini akhirnya berubah menjadi sempadan wilayah yang dianggap nyata, sehingga umat Islam hampir-hampir meyakini kesahihannya dan menganggapnya penting. Malah, mereka sanggup berperang dan akan terus berperang demi mempertahankannya.
Berkaitan dengan isu sempadan-sempadan negara dalam kalangan umat Islam, Islam mengharamkan perpecahan dan mewajibkan kesatuan. Ini bermakna Islam tidak membenarkan kewujudan sempadan-sempadan negara yang memecahbelahkan umat Islam. Islam mewajibkan usaha untuk menghapuskan dan meruntuhkan sempadan-sempadan tersebut serta mengembalikan Darul Islam sebagai satu kesatuan yang utuh dan tidak terpisahkan.
Pemikiran mengenai kewujudan sempadan negara dalam kalangan umat Islam pada masa lalu tidak pernah wujud dan tidak pernah timbul, sehinggalah wilayah kita tunduk kepada pelbagai faktor yang mempengaruhinya serta memberikan kesan yang besar terhadap kewujudan dan pengukuhannya.
Berkenaan sempadan Dar al‑Islam dan Dar al‑Kufur, menjadikannya sebagai garis pemisah yang tetap sehingga wilayah negara terhenti di situ dan tidak boleh berganjak walaupun sedikit adalah tidak dibenarkan oleh syarak. Ini kerana keluasan wilayah Negara Islam, sama ada meliputi daratan, perairan atau ruang udara, tidak boleh diikat dengan sempadan yang bersifat kekal.
Oleh itu, tidak boleh terikat dengan perjanjian-perjanjian yang menetapkan sempadan negara secara tetap. Perjanjian seperti ini tidak dibenarkan untuk dilaksanakan. Islam tidak menetapkan had wilayah tertentu kerana Islam telah mewajibkan umat Islam untuk mengemban risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Ini bererti wilayah Negara Islam akan sentiasa berkembang dan tidak dibatasi oleh sempadan-sempadan tertentu. Terikat dengan sempadan yang tetap sama ertinya dengan berdiam diri dan mengabaikan kewajipan aktiviti jihad.
Perkara ini tidak dibenarkan menurut syarak. Perintah jihad tidak terbatas kepada tempoh tertentu dan tidak terhenti pada sempadan tertentu. Umat Islam masih dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan jihad sebagai satu kaedah dalam mengemban dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia sehingga Hari Kiamat.
Islam ialah sebuah mabda’ yang mempunyai akidah, hadharah dan pandangan hidup yang tersendiri, iaitu melihat kepada perkembangan dan keluasan institusinya, bukan kepada penyempitan serta pembatasan perluasan Negara Islam. Apabila sesebuah negara berhenti membawa risalah yang diperjuangkannya ke seluruh dunia, negara tersebut akan mula merosot, semakin mengecil pengaruhnya dan akhirnya menghilang.
Berdasarkan hal ini, kami berpendapat bahawa perjanjian-perjanjian sempadan yang mengikat sesebuah negara kepada had-had tertentu yang tidak boleh berganjak daripada garis yang telah ditetapkan hanyalah suatu khurafat (pembohongan) di hadapan para pengemban mabda’ (ideologi-ideologi) antarabangsa yang berusaha menyebarluaskan idea dan pemikiran mereka ke seluruh dunia. Islam tidak mengenal, dan tidak akan pernah mengenal, sempadan-sempadan negara yang ditakrifkan oleh pemikiran manusia.
Tidak terdapat sebarang perbezaan antara penetapan wilayah negara yang berada di laut, darat mahupun udara. Kesemuanya tidak dibenarkan. Negara Islam tidak mengiktiraf perairan wilayah (territorial waters) kerana hal tersebut membataskan wilayah negara. Saya tidak sependapat dengan pandangan Abdul Qadir Audah yang menyatakan bahawa dalam syarak tidak terdapat perkara yang menghalang penerimaan konsep perairan wilayah, sedangkan pada masa yang sama beliau mengharamkan kewujudan sempadan negara di daratan. Oleh itu, tidak ada alasan untuk membezakan antara wilayah daratan dan wilayah perairan.
Sekiranya Negara Islam mengadakan perjanjian hubungan baik atau perjanjian saling tidak menceroboh dengan negara lain, maka Negara Islam wajib mematuhi perjanjian tersebut dan menghormati sempadan negara yang menjadi pihak kepada perjanjian itu.
Perkara ini tidak bercanggah dengan pengharaman menetapkan sempadan negara, kerana perjanjian seperti itu tidak mengikat negara secara kekal dan berterusan. Oleh itu, penghormatan Negara Islam terhadap sempadan negara lain hanyalah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui. Syarak membenarkan perkara tersebut. Adapun yang dilarang ialah keterikatan yang berterusan terhadap sempadan (negara) yang bersifat kekal.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Internasional dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur