[Perjanjian Antarabangsa] Perjanjian tentang Larangan Penyebaran Senjata Nuklear dan Pelucutan Senjata
Penulis: Iyad Hilal
Perjanjian tentang larangan penyebaran senjata nuklear dan pelucutan senjata ialah perjanjian yang mengikat semua negara yang menandatanganinya supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan penyebaran senjata nuklear. Negara-negara yang memiliki senjata nuklear dilarang membekalkan atau mempersenjatai negara-negara yang tidak memiliki senjata nuklear dengan senjata tersebut.
Begitu juga, negara-negara yang tidak memiliki senjata nuklear telah bersetuju untuk tidak memiliki atau berusaha mendapatkan senjata nuklear dalam apa-apa bentuk sekalipun. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 1 dan 2 Perjanjian Larangan Penyebaran Senjata Nuklear (Nuclear Non-Proliferation Treaty).
Adapun perjanjian pelucutan senjata, ia merupakan kesepakatan untuk menetapkan had terhadap pengeluaran atau pembangunan senjata nuklear, pemilikan dan penyimpanannya pada skala tertentu, mengurangkan jenis senjata tertentu, mengurangkan peruntukan kewangan untuk aktiviti tersebut, mengurangkan jumlah anggota tentera atau menjadikan kawasan tertentu bebas daripada persenjataan.
Perjanjian-perjanjian seperti ini tidak dibenarkan. Negara Islam tidak boleh memeterai atau menyepakati perjanjian-perjanjian tersebut. Sekiranya sesebuah negara telah menandatanganinya, perjanjian tersebut tidak boleh dilaksanakan. Kaum Muslimin tidak terikat dengan perjanjian sedemikian kerana perjanjian tersebut menghalang Negara Islam daripada memiliki jenis persenjataan tertentu dan menyebabkan senjata-senjata tersebut dimonopoli oleh kelompok atau negara tertentu sahaja.
Dalil-Dalil Pengharaman Perjanjian-Perjanjian Ini
Allah SWT berfirman:
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu, termasuk pasukan berkuda yang disiapkan untuk berperang, supaya dengan persiapan itu kamu dapat menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu serta pihak-pihak lain yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya.”
[TMQ al-Anfal (8): 60]
Ibnu Abbas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan al-quwwah ialah as-silah (senjata) dan al-qasiy. Cukuplah dengan firman Allah SWT:
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu.”
[TMQ al-Anfal (8): 60]
Perintah persiapan ini merangkumi semua jenis persenjataan, termasuk kuda. Allah SWT menyebut kuda kerana dalam peperangan pada zaman dahulu, kuda merupakan antara bentuk kekuatan ketenteraan yang paling tinggi dan penting.
Allah SWT memerintahkan kaum Muslimin supaya mempersiapkan segala bentuk kekuatan yang mampu mereka miliki agar dengan kekuatan tersebut mereka dapat menggentarkan musuh-musuh Allah SWT, sama ada musuh yang diketahui mahupun yang tidak diketahui.
Perintah ini merangkumi semua jenis persenjataan yang mampu diperoleh oleh kaum Muslimin dan yang mempunyai kemampuan untuk menggentarkan musuh. Kaum Muslimin tidak boleh berdiam diri dalam usaha mendapatkannya selagi perkara tersebut berada dalam kemampuan mereka. Hal ini merangkumi semua jenis persenjataan, sama ada senjata nuklear ataupun senjata-senjata yang lain. Kaum Muslimin diperintahkan untuk memilikinya serta berusaha mendapatkannya.
Perjanjian yang melarang percambahan senjata nuklear atau perjanjian pelucutan senjata pula menghalang kaum Muslimin daripada memiliki jenis persenjataan yang mempunyai kemampuan untuk menggentarkan musuh. Oleh itu, kaum Muslimin tidak boleh terikat dengan perjanjian tersebut kerana ia bertentangan dengan tuntutan Allah SWT agar kita mempersiapkan dan memiliki segala kekuatan yang mampu kita miliki.
Dengan demikian, perjanjian-perjanjian seperti ini merupakan perjanjian yang diharamkan. Oleh itu, tidak dibenarkan menyepakati mahupun melaksanakannya.
Jika kita melihat hubungan antarabangsa pada masa kini, dapat dilihat bahawa perjanjian mengenai pembatasan senjata dan pelucutan senjata masih banyak kekal sebagai perjanjian di atas kertas. Lihatlah Rusia dan Amerika Syarikat. Kedua-dua negara tersebut telah mencapai kemajuan yang sangat jauh dalam pelbagai rundingan berkaitan pembatasan senjata strategik.
Bahkan, kedua-dua negara tersebut telah menandatangani perjanjian SALT-I dan SALT-III, selepas kedua-duanya membekukan SALT-II. Negara-negara tersebut telah mencapai kemajuan yang sangat besar dalam perkara ini, disertai pelbagai bentuk pembohongan dan penipuan. Pelaksanaan perjanjian-perjanjian tersebut secara praktikal merupakan perkara yang sangat jauh daripada kenyataan. Perjanjian-perjanjian tersebut akhirnya hanya wujud di atas kertas.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat telah membangunkan peluru berpandu nuklear antara benua MX dan memutuskan untuk meningkatkan lagi pengeluarannya. Begitu juga, Amerika Syarikat telah memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran pesawat pengebom strategik B-1, sedangkan perjanjian SALT-I menetapkan had terhadap pengeluaran dan pembangunan senjata-senjata tersebut.
Mengapa perlu berbohong dan berdusta dalam politik? Mengapa tidak diumumkan sahaja kelemahan dan kecacatan perjanjian-perjanjian tersebut?
Walau bagaimanapun, perlu dibezakan antara pemilikan senjata dengan penggunaannya. Pemilikan senjata nuklear tidak semestinya bermakna ia boleh digunakan secara bebas. Penggunaan senjata tersebut mempunyai hukum yang tersendiri kerana senjata nuklear merupakan senjata yang mampu memusnahkan, membunuh dan menyebabkan kerosakan yang besar.
Dalam keadaan biasa, senjata tersebut tidak boleh digunakan kecuali apabila politik peperangan menuntut penggunaannya, seperti apabila terdapat kebimbangan bahawa musuh akan menggunakannya terlebih dahulu atau apabila sesuatu peperangan tidak dapat ditamatkan melainkan dengan penggunaan senjata tersebut.
Oleh itu, dalam keadaan-keadaan tertentu yang dituntut oleh politik peperangan, penggunaan senjata nuklear dibenarkan.
Di luar keadaan-keadaan tersebut, senjata nuklear tidak boleh digunakan. Walau bagaimanapun, ia boleh digunakan sebagai sarana ancaman yang berkesan. Keadaan semasa menunjukkan perkara tersebut. Sesungguhnya, kebanyakan negara yang memiliki senjata nuklear menjadikannya sebagai alat pencegahan dan ancaman terhadap musuh. Selain itu, senjata nuklear hanya pernah digunakan sebanyak dua kali sejak kewujudannya, iaitu dalam Perang Dunia Kedua.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa