Ayuh Wanita, Bersama Selamatkan Pemikiran Umat Islam
Oleh: Ustazah Husna (Aktivis MHTM)
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita),dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)” [TMQ an-Nisa (4):34].
Ayat di atas jelas menyatakan bahawa salah satu ciri wanita solehah adalah yang mentaati Allah SWT. Seorang Muslimah yang telah meyakini akidah Islam, ia pasti memiliki kesedaran penuh bahawa keberadaan dan kewujudan dirinya, alam semesta serta kehidupan yang dijalani di dunia ini merupakan ciptaan Allah SWT. Seterusnya, wanita solehah juga semestinya meyakini bahawa hanya Allah SWT yang wajib ditaati dan disembah. Malah, hanya redha Allah sahaja yang menjadi matlamat akhir yang mesti dicapai dalam kehidupan di dunia ini.
Rasulullah SAW juga bersabda,
“Islam itu dibangun atas lima perkara, syahadat bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan (ibadah) haji dan berpuasa (shaum di bulan) Ramadan” [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Turmidzi dan Nasa’i].
Lima perkara di atas merupakan arkanul Islam (dasar Islam). Statusnya sebagai asas Islam adalah kerana lima perkara tersebut meliputi aspek akidah dan amal soleh yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ini bukan bererti bahawa Islam hanya terbatas pada lima dasar tersebut, iaitu pada masalah-masalah akidah dan ibadah sahaja, melainkan meliputi seluruh aspek kehidupan, seperti mu’amalaat (hubungan antara sesama masyarakat dan antara negara dan rakyat), math’umaat (makanan dan minuman), malbusaat (pakaian dan perhiasan), ‘uqubaat (hukuman terhadap pelanggaran dan kejahatan), bayyinaat (pembuktian perkara dalam pengadilan) dan akhlak. Akidah Islam meliputi akidah ruhiyah (kerohanian) dan akidah siyasiyah (kehidupan) yang mana setiap pemikiran dan perbuatan yang lahir dari diri Muslimah perlu menjadikan akidah Islam, aturan dan hukum-hakamnya sebagai tolok ukur perbuatan sama ada dalam posisi Muslimah itu sebagai seorang anak, isteri atau sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu pengurus rumah tangga).
Di samping itu, kehidupan Muslimah juga wajib berpaksikan dakwah Islam dalam mencapai matlamat meraih redha Allah SWT. Seorang Muslimah yang bertakwa bukan setakat berpuashati dengan berpegang teguh pada syariat secara individu, tetapi wajib juga sentiasa bersikap teguh dalam aktiviti dakwah. Mereka wajib memahami bahawa dakwah adalah perintah dan hukum Allah yang tidak boleh dilalaikan. Mereka perlu bersikap konsisten untuk berpegang erat dengan seluruh pemikiran dan hukum Islam, sentiasa menjaganya dan menyebarkannya melalui aktiviti dakwah.
Oleh yang demikian, seorang muslimah yang berpegang teguh pada syariah adalah merupakan seorang anak, isteri dan ibu yang taat kepada Allah, menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Mereka mendedikasikan dirinya semata-mata untuk Allah dan RasulNya sehingga tidak mudah dipengaruhi dengan fahaman-fahaman yang menyesatkan seperti liberalisme, pluralisme, sekularisme dan sebagainya. Mereka sentiasa menyerukan dirinya, keluarga dan masyarakat untuk sentiasa berada di jalan Allah serta sentiasa istiqamah walau apa pun yang terjadi bagi meraih redha Allah.
Bercermin Pada Sirah
Peranan Muslimah dalam membangkitkan umat tidak perlu diragukan. Sejak zaman Rasulullah SAW, para Muslimah generasi awal terlibat secara aktif dalam membangkitkan umat. Mereka melakukan gerakan dakwah bersama kaum Muslimin lainnya untuk melakukan transformasi sosial iaitu mengubah masyarakat jahiliyah yang paganistik menjadi masyarakat Islam yang Rabbani.
Mereka juga bersama-sama merasakan pahit getirnya mengembangkan misi dakwah. Mereka terlibat dalam perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah-tengah masyarakat. Akhirnya, atas pertolongan Allah SWT, masyarakat Islam yang agung tegak di Madinah, iaitu masyarakat yang tegak di atas landasan akidah dan hukum-hukum Islam.
Sejarah mencatatkan nama-nama besar seperti Sayyidah Khadijah binti Khuwailid RA, Siti Fatimah az-Zahra RA, Asma binti Abu Bakar RA, Sumayyah RA, Ummu Habibah binti Abu Sufyan RA, Lubabah binti al-Harits al-Hilaliyah RA, Fatimah binti al-Khaththab RA, Ummu Jamil binti al-Khaththab RA, Ummu Syarik RA dan ramai lagi. Sejak bersentuhan dengan Islam, hari-hari mereka hanya dipersembahkan demi kemuliaan Islam. Tidak seorang pun antara mereka yang mahu tertinggal dari satu peristiwa penting Islam, apalagi berlepas diri dari tanggungjawab memperjuangkan Deen-ul-Haq. Mereka sanggup berhadapan dengan risiko, hatta harus kehilangan harta, terpisah dari orang-orang yang dicintai, bahkan rela kehilangan nyawa.
Khatimah
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berganding bahu melawan pemikiran-pemikiran rosak yang semakin kuat meracuni pemikiran umat Islam. Kini, sudah 100 tahun lamanya umat Islam kehilangan perisai yang mampu memelihara akidah dan pemikiran umat Islam. Sudah tiba masanya kita menggembleng tenaga dan usaha untuk mengembalikan semula perisai yang hilang itu.
Wallahu a’lam..
Rujukan :
- Taqiyyuddin An Nabhani , Syakhshiyyatul Islamiyah , Darul Ummah.
- Taqiyyuddin An-Nabhani, Attakatul Hizby, 1953.
- Pilar-pilar Nafsiyyah Islamiyyah, Hizbut Tahrir.