Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Bahawa manusia adalah materi atau benda (mâdah) sesungguhnya merupakan pemikiran. Manusia terdiri dari jasmani dan rohani juga merupakan pemikiran. Namun, pemikiran yang pertama, iaitu manusia adalah materi merupakan pemikiran yang hakiki (nyata). Hal ini kerana realitinya dapat dibuktikan.
Sedangkan pemikiran yang kedua, iaitu manusia terdiri dari jasmani dan rohani merupakan pemikiran yang allâhaqîqiyyah (tidak nyata). Sebab realitinya tidak dapat dibuktikan. Pemikiran yang pertama dapat membentuk pemahaman (mafahim), sedangkan yang kedua tidak dapat membentuk (mafahim). Sebab, realiti pemikiran yang pertama dapat ditemukan, sehingga makna pemikirannya dapat difahami dan dibayangkan. Namun, pemikiran yang kedua maknanya tidak dapat difahami, kerana realitinya tidak ada. Begitu juga dengan realiti sebuah pemikiran, adakah pemikiran tersebut benar-benar nyata atau hanya imaginasi belaka sangat ditentukan oleh sesuai dan tidaknya dengan realiti yang ada. Ketika pemikiran tersebut sesuai dengan realitinya, maka pemikiran tersebut merupakan pemikiran yang hakiki (nyata), dan sebaliknya ketika pemikiran tersebut tidak sesuai dengan realitinya, maka pemikiran tersebut merupakan pemikiran yang khadâ’ (manipulatif) atau khayâliyyah (utopia). Jika manusia dinyatakan sebagai materi atau benda, maka pernyataan tersebut jelas bukan manipulatif, apatah lagi utopia. Sebab, kenyataannya memang demikian. Manusia dinyatakan sebagai materi atau benda, ketika terbukti bahawa diri manusia memang berbentuk benda yang boleh disentuh dan diindera secara langsung. Begitu juga dengan gerakan tubuh manusia juga dapat diindera dan disentuh. Gerakan tubuh manusia juga mencerminkan adanya roh (nyawa) dalam tubuh manusia, sehingga dapat difahami bahawa manusia mempunyai nyawa.
Hanya saja substansi roh (nyawa) tersebut hanya boleh difahami sebatas itu saja, tidak lebih dari itu. Sebab ketika roh manusia telah dicabut dari tubuhnya, tubuh tersebut tidak akan bergerak sama sekali. Pada saat itu yang ada hanyalah tubuh yang berbentuk materi, jasad, atau benda mati. Oleh sebab itu, tumbuh-tumbuhan tidak boleh disebut biotik, sebaliknya haiwan disebut makhluk hidup (biotik), sekalipun tidak sama dengan manusia. Alasannya kerana haiwan mempunyai nyawa dan melalui gerakannya ciri-ciri kehidupan tersebut tampak. Inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT,
وَيَسْـَٔلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِۗ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّيْ وَمَآ اُوْتِيْتُمْ مِّنَ الْعِلْمِ اِلَّا قَلِيْلًا
“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh, katakanlah, ‘Roh itu merupakan urusan Tuhanku, dan kalian tidak akan diberi pengetahuan tentangnya, melainkan hanya sedikit.’” [TMQ Al-Isrâ’ (17): 85].
Dengan demikian, manusia hanya boleh memahami bahawa dirinya mempunyai roh terbatas pada tanda-tanda yang dia ketahui secara fizik, melalui ada dan tidaknya gerakan tubuh. Dengan kata lain, manusia mempunyai roh, kerana dia masih kelihatan bergerak. Inilah yang dapat difahami, dan inilah yang dapat membentuk mafhum. Tetapi, lebih dari itu, iaitu ketika manusia mempunyai tubuh yang merupakan materi, dan roh (nyawa) yang tidak tampak, maka manusia kemudian dinyatakan terdiri dari jasmani dan rohani. Tentu kesimpulan ini terlalu simplikatif, dan merupakan pemikiran manipulatif, atau bahkan utopia kerana ketika yang dimaksud dengan roh adalah bahagian yang tidak tampak, bagaimana mungkin manusia dapat membuktikan realiti roh tersebut dalam dirinya, sehingga boleh menjadi mafhum? Kerana yang tampak dari eksistensi roh tersebut adalah gerakan tubuh manusia, sedangkan gerakan tubuh ini tidak lebih dari sekadar materi. Maka manusia sejatinya merupakan materi.
Mengenai rohani yang dinyatakan oleh kebanyakan orang sebagai bahagian dari manusia, sebenarnya bersumber dari pandangan falsafah Yunani kuno, yang mengatakan bahawa roh merupakan bahagian dari manusia. Roh dianggap sebagai limpahan Zat Allah Swt. Jika roh ini mendominasi materi, maka keperibadian manusia akan tinggi, sehingga tingkah laku (sulûk)-nya akan mendekati kesempurnaan Ilahiyah. Tetapi jika materi tersebut mendominasi roh, tingkah laku (sulûk)-nya akan menjadi rendah. Roh yang dinyatakan seperti ini sesungguhnya bukan bahagian dari diri manusia. Roh yang dimaksud ini juga bukan nyawa, kerana nyawa tidak dapat mempengaruhi tinggi dan rendahnya tingkah laku manusia. Bukti lain adalah haiwan. Haiwan mempunyai roh (nyawa), tetapi haiwan tidak mempunyai rohani yang boleh mempengaruhi tingkah lakunya. Dengan demikian, roh yang diertikan sebagai rohani sesungguhnya bukan merupakan bahagian dari manusia, melainkan realiti yang berada di luar diri manusia, yang kemudian diperoleh manusia kerana pemanfaatan potensi akal yang diberikan oleh Allah kepadanya. Ketika akal digunakan untuk memahami hubungan manusia dengan Allah Swt. sebagai Sang Pencipta dirinya, alam, dan kehidupan yang ada di sekitarnya, maka rohani itu muncul. Jadi, rohani yang dimaksud di sini sesungguhnya merupakan pengaruh dari kesedaran manusia mengenai hubungan antara dirinya dengan Allah Swt.. Ketika kesedaran tersebut naik, maka kualiti tingkah lakunya akan meningkat. Tentu ini tidak diperoleh dengan mudah begitu saja, melainkan harus disertai usaha dari manusia. Usaha untuk melahirkan kesedaran mengenai hubungan antara dirinya, alam, dan kehidupan dengan Allah SWT.
Allah selalu mengingatkan,
وَفِيْٓ اَنْفُسِكُمْ ۗ اَفَلَاتُبْصِرُوْنَ
“Dan di dalam dirimu (terdapat tanda-tanda kebesaran Allah), tidakkah kamu memikirkan?” [TMQ Adz-Dzâriyât (51): 21]
اِنَّ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَاخْتِلَافِ الَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَاٰيٰتٍ لِّاُولِى الْاَلْبَابِۙ الَّذِيْنَ يَذْكُرُوْنَ اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُوْنَ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۚ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هٰذَا بَاطِلًاۚ سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Sesungguhnya tentang penciptaan langit dan bumi, serta perubahan siang dan malam itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mempunyai akal. iaitu, orang-orang yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk, dan terbaring serta berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya menyatakan), ‘Tuhanku, tidakkah sia-sia Engkau ciptakan semua ini. Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari azab neraka.” [TMQ Ali Imrân (3): 190]
Dengan demikian, kedudukan manusia sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah Swt. kerana potensi yang diberikan kepadanya benar-benar akan terealisasi, ketika akalnya digunakan untuk meningkatkan kualiti hidupnya. Dengan demikian, peradaban yang dihasilkannya juga akan menjadi peradaban yang tinggi sesuai dengan fitrah mereka. Di sinilah letak perbezaan yang mendasar antara manusia dengan haiwan. Jika haiwan adalah wujud materi yang tidak diberi akal, maka taraf kehidupan dan kualiti tingkah lakunya tetap rendah seperti itu. Pada waktu yang sama, haiwan juga tidak pernah mempunyai peradaban, dan tetap menjadi makhluk yang hina.
Sumber: Islam Politik & Spiritual