Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Berdalil (istidlal) dengan Al-Quran dan As-Sunnah bergantung kepada pengetahuan terhadap bahasa Arab dan bahagian-bahagiannya. Ini disebabkan Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Seperti firman Allah dalam Surah Asy-Syuura ayat 95 yang berbunyi, “ … dengan bahasa Arab yang jelas….” dan Surah Az-Zukhruf ayat 3, “Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran dengan bahasa Arab.” Semua lafaz Al-Quran dan As-Sunnah merupakan lafaz berbahasa Arab.
Adapun beberapa lafaz yang terdapat di dalam Al-Quran, yang asalnya bukan lafaz Arab, maka lafaz-lafaz seumpama ini telah mengalami proses ta’rib (arabisasi). Oleh kerana itu, setelah dilakukan proses arabisasi, lafaz-lafaz itu menjadi lafaz-lafaz bahasa Arab, seperti kata qisthas (neraca/timbangan) yang berasal dari bahasa Romawi yang ertinya al-mizan (timbangan/neraca). Begitu juga kata sijjil (batu/kerikil seperti lumpur kering) yang berasal dari bahasa Persia yang bererti batu dari tanah. Orang-orang Arab telah menganggap lafaz-lafaz yang telah diarabisasi ini sebagai bahagian daripada bahasa Arab, sebagaimana lafaz-lafaz yang digunakan oleh orang Arab, tidak ada perbezaan.
Arabisasi adalah membentuk sebuah lafaz asing dengan (memasukkannya ke dalam) wazan bahasa Arab dengan tetap mempertahankan sebahagian besar huruf-huruf asalnya. Misalnya arabisasi pada kata-kata asing, seperti lafaz tilfijan atau tilfizyun berasal dari kata asing (televisyen) yang diletakkan ke dalam wazan mif’al, yang juga sewazan dengan kata minqar, mismar, mihmaz, dan seterusnya. Arabisasi kata-kata asing bukanlah menerjemahkan lafaz-lafaz asing [kemudian dicarikan lafaz yang memiliki makna yang paling dekat dengan makna kata asing tersebut, ed.], sebagaimana dilakukan sebahagian kalangan terpelajar, yakni mereka menyebut (Arabisasi) kata televisyen dengan kata al-syasyah al-shaghirah (layar mini).
Sumber: Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam.