Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Penentang dakwah pada setiap zaman akan sentiasa ada. Allah SWT berfirman,
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ
“Demikianlah Kami telah menjadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin.” [TMQ Al-An’am (6): 112].
Imam Jarir al-Thabari dalam tafsirnya mengatakan bahawa ujian yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat ini bukan hanya menimpa Rasulullah saw, tetapi juga berlaku secara umum kepada orang-orang yang mengikuti beliau dalam dakwah.
Antara usaha untuk menggagalkan dakwah ialah dengan pelbagai propaganda atau memberi stigma negatif baik kepada Islam mahupun pejuangnya. Rasulullah saw dan para sahabat telah mengalami keadaan demikian. Bahkan Rasulullah saw pernah digelar sebagai orang gila (TMQ al-Hijr: 6), tukang sihir (TMQ Shad: 4), penyair gila (TMQ Shaffat: 37), pemecah-belah kesatuan kaumnya, dsb.
Ajaran Islam juga tidak terlepas dari pelbagai penghinaan. Al-Quran contohnya, disebut sebagai ayat-ayat sihir (TMQ al-Muddatsir: 24), himpunan cerita dongeng (TMQ al-Muthaffifin: 13); juga dituduh sebagai karya orang ‘ajam (non arab), bukan kalamullah (TMQ an-Nahl: 103).
Cabaran pengemban dakwah pada hari ini juga tidak berbeza dengan apa yang pernah dialami oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang dan membungkam dakwah, di antaranya dengan cara; pertama, menjenayahkan para pendakwah dengan tuduhan radikal, mengancam kepelbagaian, membawa ajaran yang tidak sesuai dengan budaya tempatan, dll. Kedua, menangkap aktivis dakwah. Ketiga, menjenayahkan sebahagian ajaran Islam, khususnya syariat dan khilafah.
Ketahuilah bahawa para penentang dakwah akan mengalami kehinaan di dunia dan di akhirat. Mereka akan dikalahkan dengan izin Allah SWT. Sebagaimana penentang dakwah Nabi pada akhirnya dikalahkan. Adapun di akhirat, mereka akan mendapat seksa yang pedih. Allah SWT berfirman,
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
“Sungguh orang-orang yang menimpakan fitnah kepada kaum mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” [TQM Al-Buruj (85): 10].
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
“Sungguh orang-orang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan. Ke dalam Jahanamlah orang-orang kafir itu dikumpulkan.” [TMQ Al-Anfal(8): 36].