Dakwah adalah jalan para nabi dan rasul Allah SWT. Tak ada seorang nabi dan rasul pun diutus oleh Allah SWT kecuali untuk berdakwah; menyampaikan risalah-Nya kepada umat manusia.
Para nabi dan para rasul adalah orang-orang mulia. Mereka adalah manusia-manusia pilihan Allah SWT. Begitu juga dengan tugas dakwah yang mereka emban. Sama-sama mulia. Begitu mulianya, tidak ada yang lebih baik daripada aktiviti dakwah. Allah SWT tegas berfirman:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang-orang yang menyeru (manusia) ke jalan Allah, beramal soleh dan berkata, “Sungguh aku ini termasuk kaum Muslim.” (TMQ Fushilat [41]: 33).
Namun demikian, sebagai bahagian dari sunnatullah, jalan dakwah bukanlah jalan yang mulus. Jalan dakwah adalah jalan terjal, penuh onak dan duri. Jalan yang kadang mengundang bahaya. Kerana itu tak sedikit yang berguguran di jalan dakwah. Namun, tidak berlaku sedemikian bagi para nabi dan para rasul. Tak ada satu nabi dan rasul pun kecuali mereka tetap istiqamah dan teguh di jalan dakwah. Salah satu contohnya adalah Nabi Nuh as. Beliau mendakwahi umatnya selama 950 tahun! (Lihat: TMQ al-Ankabut [29]: 14). Apa yang luar biasa, beliau mendakwahi umatnya siang dan malam! Namun begitu, sebagaimana kita ketahui, orang-orang yang berhasil beliau dakwahi tidak banyak. Para pengikut beliau sangatlah sedikit. Banyak yang tak peduli dan lari. Banyak juga yang menentang dakwah beliau (Lihat: TMQ Nuh [71]: 5-7).
Begitu juga Nabi Ibrahim as. dalam mendakwahi kaumnya. Cabaran dakwah beliau sangat berat. Bahkan beliau terpaksa berhadapan dengan penguasa bengis, Raja Namrud. Akibat dakwah beliau, beliau terpaksa rela dibakar dengan nyala api yang sangat besar yang mengepung beliau (Lihat: TMQ al-Anbiya’ [21]: 66-69). Cabaran dakwah juga dialami oleh Nabi Luth as., Nabi Musa as., dan para nabi/rasul yang lain.
Hal yang sama juga pasti dialami oleh Baginda Rasulullah saw. dan para Sahabat beliau. Hanya kerana dakwah, Rasulullah saw., misalnya, pernah dipukul sehingga pengsan (HR Muslim); dilempar dengan batu, dilempari saat melewati Pasar Dzul Majaz oleh Abu Lahab (HR Ibnu Hibban); dilempari dengan najis unta saat sedang sujud oleh Uqbah bin Abi Mu’ith (HR al-Bukhari); hendak diinjak lehernya oleh Abu Jahal saat beliau sedang solat; diejek dan dibuli saat beliau berdakwah ke Thaif (HR Ibnu Hisyam); dicaci-maki bahkan diludahi (HR ath-Thabari); dituduh sebagai gila, tukang sihir, pemecah-belah, dll.
Hal yang sama dialami oleh para Sahabat beliau. Ragam penyeksaan, misalnya, dialami antara lain oleh suami-isteri, iaitu Yasir dan Sumayyah, serta puteranya, Ammar. Ada juga Sahabat yang diikat, seperti yang dialami oleh Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail dan ibunya (HR al-Bukhari). Ada yang ditekan oleh ibunya, seperti dialami oleh Saad bin Abi Waqash (HR Ibnu Hibban). Ada yang dijemur di bawah terik matahari, seperti dialami Bilal bin Rabbah (HR al-Hakim). Ada yang dilarang tampil dan menyerukan dakwah secara terbuka, seperti dialami oleh Abu Bakar (HR al-Bukhari).
Rasulullah saw. dan para Sahabat juga pernah diboikot selama 3 tahun. Mereka tinggal di suatu lembah. Selama pemboikotan, banyak dari mereka yang kelaparan, terutama anak-anak (HR Ibnu Saad dan adz-Dzahabi). Beliau dan para Sahabat pun dihalang-halangi untuk berhijrah. Namun, semua itu tidak sedikit pun membuat mereka menyerah dan gugur dari jalan dakwah.
Arah Perjuangan Dakwah
Mengapa para nabi dan para rasul Allah SWT seluruhnya mengalami pelbagai cabaran, rintangan dan gangguan di jalan dakwah? Sekurangnya ada dua sebab. Pertama, kerana arah perjuangan dakwah mereka jelas dan tegas: menentang segala bentuk kekufuran dan kesyirikan; menentang rejim zalim; menentang sistem status quo yang jelas rosak dan merosakkan, yang bertentangan dengan risalah yang mereka emban. Itulah risalah tauhid.
Risalah yang mengajari manusia agar menyembah dan mengabdi hanya kepada Allah SWT. Tentu dengan menjalankan dan menerapkan seluruh syariah-Nya dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Dengan begitu yang berlaku di tengah-tengah manusia hanyalah agama-Nya. Allah SWT berfirman:
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا
“Dialah Allah Yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan kebenaran agar Dia menangkan atas semua agama. Cukuplah Allah sebagai Saksi” (TMQ al-Fath [48]: 28).
Kedua, sudah pasti kerana konsistensi, keistiqamahan dan keteguhan mereka di jalan dakwah. Tak ada sedikit pun sikap putus asa, gentar apalagi takut. Mereka pantang mengalah dari jalan perjuangan di jalan Allah. Bahkan serangan kaum kafir terhadap mereka semakin menambah keimanan kepada Allah SWT dan makin menguatkan keyakinan mereka akan pertolongan-Nya. Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Mereka ditakut-takuti oleh orang-orang yang berseru, “Sungguh orang-orang telah berkumpul untuk menyerang kalian. Kerana itu takutlah kalian kepada mereka!” Namun, seruan itu malah makin menambah keimanan mereka. Mereka berkata, “Cukuplah Allah Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Penolong.” (TMQ Ali Imran [3]: 173).
Kerana itulah, sebagaimana Rasulullah saw. dan para Sahabat, hendaknya para pengemban dakwah hari ini tetap fokus pada arah perjuangan dakwah mereka. Arah perjuangan dakwah yang hakiki sudah pasti yang tertuju pada penegakan sistem kehidupan Islam atau penerapan syariah Islam secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan.
Memelihara Sikap Optimis
Oleh sebab cabaran, rintangan dan gangguan di jalan dakwah itu sudah pasti terjadi, sudah selayaknya para pengemban dakwah tetap terus bersikap optimis. Optimis bahawa pada akhirnya pertolongan Allah SWT akan segera tiba dan kemenangan dakwah akan segera datang. Kerana pertolongan Allah SWT itu amat dekat. Demikian sebagaimana firman-Nya:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk syurga, sementara belum datang kepada kalian seumpama yang pernah dialami oleh orang-orang sebelum kalian. Mereka ditimpa ragam kesulitan dan bahaya serta berbagai goncangan hingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersama beliau berkata, “Bilakah pertolongan Allah akan sampai?” Ingatlah sungguh pertolongan Allah itu amat dekat” (TMQ al-Baqarah [2]: 214).
Disebabkan itu juga, kita hendaklah optimis dengan cara berikut:
Pertama, hendaklah ditanamkan ke dalam hati kita dan umat ini, bahawa Islam adalah agama yang haq, yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur seluruh kehidupan umat manusia (TMQ al-Maidah [5]: 3).
Kedua, perlu ditanamkan ke dalam hati kita dan umat ini, bahawa kita adalah umat terbaik (TMQ Ali ‘Imran [3]: 110). Kerana itu Allah menetapkan kita dan umat ini sebagai pemimpin dunia, dengan membawa peradaban Islam yang sempurna (TMQ al-Baqarah [2]: 143).
Ketiga, Allah SWT juga memerintahkan kita menerapkan pemerintahan berdasarkan wahyu yang telah Dia turunkan (TMQ al-Baqarah [2]: 49). Ini merupakan kenescayaan, bahawa kita dan umat ini adalah pemimpin seluruh umat manusia.
Keempat, Allah SWT telah berjanji akan memenangkan agama-Nya atas semua agama yang lain (TMQ at-Taubah [9]: 33; TMQ al-Fath [48]: 28; TMQ ash-Shaff [61]: 9). Janji ini telah dipenuhi oleh Allah ketika Nabi Muhammad saw. masih hidup. Ketika Islam dimenangkan atas seluruh agama baik Yahudi, Nasrani, Paganisme mahupun yang lain. Ketika itu ideologi belum lahir. Setelah ideologi Kapitalisme dan Sosialisme lahir, Islam memang secara politik dikalahkan, khususnya setelah Khilafah Islam dihancurkan oleh konspirasi kaum kafir pada 3 Mac 1924 M.
Namun, yakinlah, sesuai dengan janji Allah SWT, Islam akan kembali dimenangkan oleh Allah atas seluruh ideologi yang ada di dunia. Apatah lagi Allah SWT telah pun berjanji akan memberikan kembali Kekhilafahan-Nya kepada kaum Mukmin dan orang-orang yang melakukan amal soleh, yang tidak menyekutukan Allah dengan yang lain sedikit pun (TMQ an-Nur [24]: 55).
Kelima, perlu ditanamkan ke dalam hati kita dan umat ini bahawa menegakkan Islam dan seluruh syariahnya dalam seluruh aspek kehidupan ini adalah wajib. Haram bagi umat ini dan seluruh manusia sekiranya diperintah dan dihukumi bukan dengan syariah Allah SWT, sebagaimana yang terjadi hari ini. Hal ini kerana, siapapun yang tidak memerintah dan berhukum dengan syariah-Nya boleh terkategori kafir, zalim atau fasik (Lihat: TMQ al-Maidah [5]: 44,45 dan 47).
Keenam, perlu ditanamkan ke dalam hati kita dan umat ini bahawa setelah semua upaya terbaik sudah dilakukan, maka berikutnya adalah urusan Allah SWT (Lihat: TMQ ath-Thalaq [65]: 3). Dengan kata lain, kita wajib bertawakal kepada Allah SWT dengan terus melakukan ikhtiar yang terbaik. Inilah yang menjadi hujjah kita di hadapan-Nya kelak.
WalLâhu a’lam.
—*—
Hikmah:
Allah SWT berfirman:
وَٱصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِى ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ – إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
“Bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu tidak akan terwujud kecuali dengan pertolongan Allah. Janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka. Jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan para pelaku kebaikan. (TMQ an-Nahl [16]: 127-128).
Sumber: Buletin Kaffah, Edisi 226