Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Di antara kekhususan-kekhususan akidah Islam yang paling penting, adalah sebagai berikut:
- Akidah Islam dibangun atas landasan akal
Selama kita beriman kepada Allah, Al-Quran, dan kepada kenabian Muhammad ﷺ dengan jalan akal, wajib bagi kita untuk mengimani segala perkara yang diberitakan Al-Quran kepada kita. Sama saja adakah yang diberitakan itu dapat terjangkau oleh akal dan dapat terjangkau oleh pancaindera manusia, atau adakah ia berupa hal-hal ghaib yang sama sekali tidak dapat terjangkau pancaindera manusia, seperti hari kiamat, malaikat, dan perkara-perkara ghaib yang lain.
- Akidah Islam sesuai dengan fitrah manusia
Beragama (at-tadayyun) merupakan perkara yang fitrah pada diri manusia. Perwujudan dari rasa keberagamaan ini adalah ia akan merasakan kenyataan bahawa dirinya penuh kelemahan, kekurangan, dan serba memerlukan terhadap sesuatu yang lain. Kemudian, akidah Islam hadir untuk memberikan pemenuhan terhadap naluri beragama (ghariizat at-tadayyun) yang ada pada diri manusia ini dan membimbing manusia untuk mendapatkan kebenaran akan adanya Pencipta Yang Maha Kuasa (khaaliqun qaadirun) yang bersifat azali. Yakni, bagi semua makhluk yang ada, keberadaannya sangat bergantung kepada Al-Khaliq ini. Sebaliknya, keberadaan-Nya sendiri tidaklah bergantung kepada siapa pun.
- Akidah Islam komprehensif (menyeluruh)
Akidah Islam telah menjawab seluruh pertanyaan manusia tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan, dan menetapkan bahawa semua itu adalah makhluk. Akidah Islam juga menetapkan bahawa sebelum kehidupan dunia ada Allah Swt., sedangkan setelah kehidupan dunia akan ada hari kiamat. Akidah Islam juga menetapkan bahawa hubungan antara kehidupan dunia dan yang ada sebelum kehidupan dunia adalah keterikatan manusia dengan perintah-perintah dan larangan-larangan Allah Swt.. Sedangkan hubungan antara kehidupan dunia ini dengan kehidupan sesudahnya adalah perhitungan (hisab), syurga, dan neraka.
Sumber:Muhammad Husain Abdullah. Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam.