Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Kenyataan membuktikan bahawa perbuatan seseorang bukanlah keperibadian, juga bukan merupakan aqliyah dan nafsiyah itu sendiri. Namun, keperibadian merupakan manifestasi dari aqliyah dan nafsiyah. Manifestasi dari hubungan antara aqliyah dengan nafsiyah ketika melahirkan perbuatan sehingga perbuatan tersebut dapat terlihat unik dan kacau. Jika perbuatannya unik, pasti akan melahirkan keperibadian yang unik. Sebaliknya, jika perbuatannya kacau, pasti akan melahirkan keperibadian yang kacau. Dengan demikian, masing-masing wujud keperibadian tersebut merupakan manifestasi aqliyah dengan nafsiyah-nya. Masalahnya kemudian adalah adakah wujud tolok ukur unik atau tidaknya keperibadian seseorang itu? Bagaimana proses terbentuknya keperibadian yang unik dan kacau itu?
Keperibadian yang Unik
Keperibadian yang unik adalah keperibadian yang dibina berdasarkan aqliyah dan nafsiyah yang sama, sehingga keinginan-nya tunduk kepada mafhumnya. Atau nafsiyah-nya tunduk kepada aqliyah-nya. Jika keadaan ini berlaku, yakni ketika kaedah yang dijadikan tolok ukur nafsiyah-nya sama dengan kaedah yang dijadikan tolok ukur aqliyah-nya, baik sama-sama Islam, kapitalisme, ataupun sosialisme, maka keperibadian orang tersebut menjadi unik. Unik dengan versi Islam, kapitalisme, ataupun sosialisme. Oleh sebab itu, tolok ukur unik atau tidaknya keperibadian seseorang sangat ditentukan oleh persamaan kaedah yang dijadikan sebagai tolok ukur aqliyah dan nafsiyah-nya. Agar keperibadian tersebut unik dan mempunyai warna yang khas, maka harus ada kaedah berfikir yang mendasar sebagai kaedahnya secara umum, sehingga kesimpulan hukum seseorang terhadap realiti, baik yang berkaitan dengan perbuatan mahupun benda, lahir dari kaedah berfikir tersebut. Dengan begitu semua hukum yang berkaitan dengan hubungan vertikal dengan Tuhan, hubungan horizontal dengan sesama manusia, dan hubungan diagonal dengan dirinya sendiri dapat diperoleh daripada kaedah tersebut. Hal ini tidak akan mungkin dicapai kecuali ketika kaedah berfikir tersebut merupakan pemikiran mendasar, atau pemikiran ideologi (al-fikr al-mabda’i) seperti Islam, kapitalisme, atau sosialisme.
Kerana itu, keperibadian yang unik tidak lain adalah keperibadian ideologi (as-syakhshiyah al-mabda’iyah), iaitu keperibadian yang dilandasi mabda tertentu, misalnya keperibadian Islam, kapitalisme, dan sosialisme. Tidak ada keperibadian Nasrani, Yahudi, Konghucu, ataupun keperibadian yang lain. Kerana tolok ukur aqliyah dan nafsiyah yang menjadi tolok ukur berfikir dan keinginan seseorang tersebut harus merupakan tolok ukur yang dibangun berdasarkan akidah aqliyah. Sebuah akidah yang diperoleh melalui proses berfikir dan dapat menghasilkan pemikiran sehingga mampu memancarkan sistem (nizam), yang dapat mengatur seluruh aspek interaksi manusia. Ini tentu tidak ada pada yang lain selain mabda. Keperibadian Islam yang agung adalah Islam yang hidup di muka bumi, yang menyatu dalam diri seseorang yang meyakini akidah Islam sebagai konsep yang menyeluruh tentang alam, manusia, dan kehidupan, serta adanya Pencipta sebelum kehidupan dunia, hari kebangkitan setelah kehidupan dunia, dan hubungan antara alam, manusia dan kehidupan dengan Pencipta dan dengan hari kebangkitan, iaitu hubungan antara syariat dengan pertanggungjawaban perbuatan manusia (hisab) di akhirat. Akidah inilah yang menjadi kaedah berfikir seorang muslim, sehingga dapat menghubungkan antara informasi awal dengan realiti yang dihadapinya, kemudian dengan tolok ukur tersebut dia mampu membuat keputusan terhadap realiti tersebut. tolok ukur ini tidak lain adalah hukum syarak, seperti wajib, sunnah, haram, makruh, dan mubah. Dengan demikian, akidahlah yang menjadi landasan keinginan seseorang, sehingga keinginanl-nya dapat dikendalikan dengan mafhum yang lahir dari akidahnya.
Dengan demikian keperibadian Islam merupakan keperibadian yang unik, di mana aqliyah dan nafsiyah-nya berasal dari jenis akidah yang sama, iaitu akidah Islam. Meskipun kuat dan lemahnya keperibadian seorang muslim dengan muslim yang lainnya berbeza. Kisah sahabat yang dapat dijadikan contoh keperibadian Islam tersebut adalah kisah Anas bin an-Nadhar, seorang sahabat Rasulullah. Ketika itu Anas sedang mengikuti perang Uhud. Ketika melihat Umar bin al-Khattab dan Thalhah bin Ubaydillah, bersama dengan tokoh-tokoh Muhajirin dan Anshar yang sedang duduk dan meletakkan senjata mereka setelah mendengar berita terbunuhnya Nabi saw., Anas bertanya kepada mereka, “Mengapa kalian hanya duduk-duduk saja?” Mereka menjawab, “Rasulullah saw. telah terbunuh.” Dia (Anas) bertanya lagi,“Apa yang akan kamu lakukan dalam hidup ini setelah beliau saw. wafat? Bangkitlah kalian dan matilah seperti cara wafatnya Rasulullah saw..” Setelah itu Anas bangun dan terus menghadapi orang Quraisy sehingga terbunuh sebagai syuhada. Kisah Anas bin an-Nadhar ini menunjukkan keteguhan aqliyah dan nafsiyah-nya. Anas menyedari kesedihan dan kekalahan sahabat setelah tersebar berita terbunuhnya Rasulullah saw. Dia berjaya menghubungkan realiti tersebut dengan informasi yang telah diajarkan Nabi saw. kepadanya mengenai pahitnya kekalahan, haramnya lari dari medan perang, serta pengaruh dari berita terbunuhnya Rasulullah kepada semangat para sahabat. Anas kemudian menghukumi realiti tersebut dengan mengembalikannya kepada kaedah berfikirnya, iaitu akidah Islam yang mengajarkan bahawa jihad adalah fardhu, bahawa balasan kelak bagi orang yang mati syahid adalah syurga, bahawa ajal itu terbatas, bahawa melarikan diri dari medan perang adalah haram.
Semua pemikiran tersebut menjadi mafhumnya, yang mampu beliau bayangkan, beliau benarkan, dan beliau yakini kebenarannya. Mafhum tersebut dia satukan dengan dawafi’ yang lahir dari gharizah al-baqa’ yang mendorongnya untuk menyelamatkan diri, takut terhadap kematian, dan perasaan-perasaan lain. Dawafi’ yang lahir dari gharizah al-baqa’ itu kemudian dia kendalikan dengan mafhum tadi sehingga tetap terdorong untuk melanjutkan peperangan, meskipun bertentangan dengan dawafi’ yang lahir dari gharizah al-baqa’-nya. Aqliyah Anas bin an-Nadhar ini merupakan aqliyah Islam yang telah mengubah dawafi’ yang lahir dari gharizah al-baqa’-nya, seperti takut mati, menjadi kehendak Islam. Inilah yang kemudian membentuk nafsiyah-nya, sehingga dia tetap tegar dalam menghadapi peperangan, mati syahid, dan “menyusul” Rasululllah saw.. Beliau meninggal dunia dengan 70 luka dan tikaman, sehingga tidak dikenali oleh siapa pun kecuali saudara perempuannya. Inilah teladan keperibadian sahabat yang unik dan tinggi. Jika seorang muslim merasa cukup dengan melakukan aktiviti yang wajib, beberapa aktiviti sunnah, lalu meninggalkan aktiviti yang haram, dan sebahagian hal-hal yang dimakruhkan, maka keperibadian orang tersebut tetap disebut keperibadian Islam, tetapi keperibadian orang tersebut merupakan keperibadian yang lebih rendah dibanding keperibadian agung yang telah dicontohkan di atas. Jika seorang muslim merasa cukup dengan melakukan aktiviti yang diwajibkan, beberapa aktiviti mubah, serta meninggalkan aktiviti yang diharamkan, dan longgar dalam melakukan aktiviti yang dimakruhkan ataupun banyak meninggalkan aktiviti sunnah, keperibadiannya tetap disebut keperibadian Islam, tetapi merupakan keperibadian yang lemah.
Sumber: Hafidz Abdurrahman, Islam Politik & Spiritual