[Tafsir Surah al-Anfal (8): 72]
Penulis: Rahmah Qomariyah
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَٰٓئِكَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُهَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَيۡءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُواْۚ وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۢ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُم مِّيثَٰقٞۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ٧٢
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan berhijrah, serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Surah Al-Anfal ayat 72 berkaitan dengan hijrah, bahawa sebelum berhijrah, Rasulullah berdakwah di Mekah. Awal dakwah di Mekah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah membina masyarakat Jahiliyyah Quraisy agar masuk Islam dan membentuk peribadi mereka sehingga menjadi pejuang-pejuang yang hebat, bersedia berjuang bersama Rasulullah demi aturan sistem kehidupan baru sesuai dengan ajaran Islam, iaitu diterapkannya syariat Islam secara kaffah [Abu Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam, Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam Jilid I, Jakarta: Darul Falah, 2000].
Tahap pertama di Mekah ini dilakukan oleh Rasulullah secara sembunyi-sembunyi, sehingga penentangan dari masyarakat Mekah ketika itu belum seberapa. Setelah tahap pertama berjaya, maka pengikut Rasulullah semakin ramai dan terbentuklah kader-kader dakwah yang hebat, bersedia memikul tanggungjawab dakwah. Mereka bersedia mendakwahkan Islam, sehingga masyarakat merasakan bahawa keadaan ketika itu di mana ramai belum memeluk Islam dan tidak diterapkannya Islam ialah sumber permasalahan utama.
Mulailah Rasulullah SAW menyampaikan agama Islam secara terang-terangan. Rasulullah menyeru masyarakat Quraisy agar memeluk agama Islam. Rasulullah mengumumkan bahawa baginda merupakan nabi yang diutus Allah. Rasulullah bersama dengan kelompok dakwahnya (para sahabat) telah bersedia mengajak masyarakat kafir Quraisy untuk meninggalkan berhala-berhala dan meninggalkan kehidupan tercela yang lain.
Dari sinilah Rasulullah dan kelompok dakwahnya mendapat penentangan, siksaan, dan serangan. Akan tetapi perkara ini tidak menjadikan semangat dakwah mereka berkurang, bahkan mereka semakin aktif untuk mencari perlindungan dan pertolongan, serta mencari daerah baru yang kondusif untuk dakwah dan diterapkannya syariat Islam secara kaffah. Pelbagai usaha telah ditempuh dan Rasulullah tetap istiqamah di jalan dakwah sesuai dengan tuntunan Allah.
Akhirnya dakwah baginda membuahkan hasil. Kabilah Aus dan Khazraj yang terdapat di Madinah bersedia memberikan perlindungan dan pertolongan terhadap dakwah. Dua kabilah (negara pada masa itu) bersedia menyerahkan kekuasaannya kepada Rasulullah dan kelompok dakwahnya. Kekuasaan inilah yang diperlukan untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah di dalam negeri, dan menyebarluaskan Islam dengan jalan dakwah dan jihad ke luar negeri (ke luar Daulah Islamiah di Madinah) [Prof. Dr. M. Rawwas Qol’ahji, Sirah Nabawiyah, Bangil Jatim: Al Izzah, 2004]
Kelompok dakwah Rasulullah ialah orang-orang yang beriman terhadap Muhamad dan terhadap Al-Quran (beriman terhadap al-Quran bermaksud meyakini kebenaran al-Quran, mendakwahkannya, dan memperjuangkan agar diterapkannya sebagai aturan kehidupan). Mereka ialah orang-orang yang berhijrah dari Mekah ke Madinah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah–di jalan ketaatan kepada Allah [Ibn Abbas, Tanwir Miqbas, TMQ al-Anfal (8): 72].
Setelah sampai di Madinah, Rasulullah disambut dengan sambutan yang luar biasa. Orang-orang Madinah (orang-orang Ansar) bersedia menanggung kos hidupnya, menyediakan tempat tinggal, melindungi, serta bersedia menyerahkan kekuasaan untuk diterapkannya hukum Islam. Inilah tujuan hijrah, iaitu untuk menolong agama Allah, rasul-Nya, dan untuk menegakkan agama-Nya [Mukhtashar Tafsir Ibn Kathir, TMQ al-Anfal (8): 72].
Dalam Mukhtashar Tafsir Ibn Kathir, digambarkan betapa pengorbanan yang besar dilakukan oleh orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, serta betapa indahnya persaudaraan kaum Ansar dan Muhajirin. Mereka dipersaudarakan oleh Rasulullah secara berdua, berdua bagaikan dua jari. Golongan Muhajirin telah meninggalkan rumah-rumah mereka dan harta bendanya. Mereka berhijrah untuk menolong agama Allah, rasul-Nya, dan untuk menegakkan agama-Nya. Mereka berkorban dengan harta benda dan jiwa mereka di jalan Allah.
Mereka sampai kepada orang-orang Ansar aaitu penduduk Madinah. Mereka menolong saudara mereka, kaum muhajirin, di rumah-rumah mereka dan bersama membelanjakan harta mereka. Mereka menolong Allah dan Rasul-Nya dengan berperang bersama mereka serta berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang Muhajirin) dan memiliki, sehingga Rasulullah mempersaudarakan mereka secara berdua, berdua.
“Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Saat Allah menyebut orang-orang mukmin di dunia dan akhirat, maka Allah mengkhabarkan tentang orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, bahawa merekalah mukmin sejati. Sesungguhnya Allah akan membalas mereka dengan keampunan dan dihapuskannya dosa mereka, diberi rezeki yang mulia, iaitu halal, baik, dan banyak, yang tidak terputus dan terhenti di dunia. Sedangkan iman dan amal soleh menyertai mereka di akhirat, iaitu di Jannah-Nya. [ Mukhtashar Tafsir Ibn Kathir, TMQ al-Anfal (8): 72].