Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman,
* كِّرْ إِنْ نَفَعَتِ الذِّكْرَى * سَيَذَّكَّرُ مَنْ يَخْشَى * وَيَتَجَنَّبُهَا الأشْقَى * الَّذِي يَصْلَى النَّارَ الْكُبْرَى * ثُمَّ لا يَمُوتُ فِيهَا وَلا يَحْيَا *
“Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna); Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu; Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya.” [TMQ Al-A’laa (87): 9-11]
Ayat ini memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikan peringatan kepada manusia. Reaksi manusia juga terbahagi kepada dua, sama ada menerima ataupun menolak. Reaksi mereka jugalah yang akan menentukan nasibnya kelak.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman, “Fadzakkir in nafa’ati adz-dzikra (oleh sebab itu, sampaikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat).” Khithab ayat ini juga ditujukan kepada Rasulullah SAW.
Menurut Az-Zuhaili, perkataan ar-tadzkit bermaksud mengingatkan manusia pada sesuatu yang sebelumnya telah diketahui, kemudian dia terlupa. Perkataan ini boleh digunakan untuk mengekalkan ingatan. Masih menurut Az-Zuhaili, yang dimaksudkan oleh ayat ini adalah menyampaikan peringatan dan nasihat dengan Al-Quran.
Penjelasan yang sama juga diajukan oleh Al-Baghawi dan Al-Khazin yang memaknakan frasa tersebut sebagai, “Nasihatlah dengan Al-Quran.” Imam Al-Qurtubi juga berkata, “Nasihatilah kaummu dengan Al-Quran, wahai Muhammad.”
Asy-Syaukani juga mentafsirkan ayat ini dengan kenyataan, “Sampaikanlah nasihat dengan apa yang Kami wahyukan kepada engkau, wahai Muhammad. Bimbinglah mereka kepada kebaikan dan tunjukilah mereka pada syariat-syariat agama.”
Perintah tersebut diiringi dengan firman-Nya, “Ina nafa’ati adz-dzikra (jika peringatan itu bermanfaat).” Secara zahirnya, ayat ini memberikan fahaman bahawa seolah-olah peringatan itu hanya diperintahkan apabila dapat memberikan manfaat. Jika tidak, maka peringatan itu tidak perlu diberikan.
Fahaman tersebut tentu saja tidak benar. Al-Jurjani mengatakan, memberikan peringatan itu wajib sekalipun tidak mendatangkan manfaat. Kesimpulan tersebut adalah tepat kerana Rasulullah SAW merupakan rasul untuk manusia [Lihat : TMQ Saba’ (34): 28, Al-A’raf (7): 158]. Subjek yang perlu Baginda berikan peringatan adalah seluruh manusia.
Selain itu juga, sebelum peringatan diberi, tentu saja kita tidak mengetahui sama ada peringatan tersebut bermanfaat ataupun tidak. Terkadang, orang yang kita rasa akan menerima, justeru dia menolak dan begitu juga sebaliknya. Kerana itu, sebelum peringatan disampaikan, kita tidak dapat memastikan reaksi seseorang.
Kalau begitu, bagaimana hendak memahami frasa, “In nafa’ati adz-dzikra” itu? Menurut Al-Wahidi, ayat ini mengandungi maksud in naf’at aw lam tanfa’ (jika bermanfaat atau tidak bermanfaat). Hanya saja, frasa terakhir iaitu “aw lam tanfa’ (atau tidak bermanfaat)” tersebut tidak disebutkan.
Penjelasan lainnya, hurun in (jika) tidak selalu memberikan makna syarat yang meniadakan perkara yang dipersyaratkan ketika syaratnya tidak ada. Ini terdapat dalam beberapa ayat, seperti firman Allah SWT,
فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” [TMQ An-Nisaa’ (4): 101]
Walaupun disebutkan “in khiftum (jika kamu takut)”, solat qasar bagi musafir boleh dilakukan, baik ketika dalam keadaan takut diserang orang-orang kafir mahupun tidak.
Begitu juga dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah yang membolehkan suami merujuk isteri yang telah ditalak tiga kaki dan sudah bernikah dengan lelaki lain. Walaupun disebutkan “in zhanna an yuqimu hududul-Lah (jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah), perbuatan tersebut boleh dilakukan walaupun tidak ada dugaan tersebut.
Ada juga yang memaknakan hukum in tersebut sebagai sebab atas manfaat dari peringatan tersebut. Sebagaimana makna “in” dalam ungkapan “Qad awdhahtu laka in kunta ta’qilu (sungguh aku telah menjelaskan kepada kamu agar kamu faham).” Ertinya, yang dimaksud adalah menjadi sebab atas manfaat yang diterima dari peringatan tersebut.
Dengan demikian, frasa tersebut memberikan makna bahawa peringatan itu diperintahkan agar dapat memberikan manfaat, baik bagi orang yang diberi peringatan mahupun yang menyampaikan peringatan itu.
Ada pula aspek lain yang difahami oleh Ibnu Katsir dari ayat ini. Menurut Ibnu Katsir, dari ayat ini dapat diambil adab dalam menyebarkan ilmu bahawa ilmu tidak diberikan kepada orang yang tidak memiliki kelayakan.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Amirul Mukminin Ali ra. “Tidaklah kamu berbicara dengan suatu kaum tentang sesuatu yang tidak dapat dijangkau akal mereka, kecuali menjadi fitnah bagi sebahagian mereka.” Beliau juga berkata, “Berbicaralah dengan apa yang mereka ketahui. Apakah kamu menyukai Allah dan Rasul-Nya didustakan?”
Ketika Rasulullah SAW diperintahkan untuk menyampaikan peringatan kepada semua orang, kemudian diterangkan tentang orang-orang yang menerima dan menolaknya, serta orang-orang yang mendapatkan manfaat dan yang justeru mendapatkan kecelakaan.
Bersambung ke bahagian 2