Setelah 88 tahun kota Baitul Maqdis dikuasai oleh pasukan Salibis, pada 27 Rejab 583 H bumi Palestin berjaya dikembalikan ke tangan kaum Muslim dibawah pimpinan Salahuddin al Ayyubi dalam Perang Hittin. Pasukan kaum muslimin bergerak mengepung dan membebaskan bumi Palestin tanpa perlawanan bermakna dari pasukan salibis. Kemenangan umat Islam ini ternyata menggegarkan seluruh dunia Kristian. Kesengsaraan penduduk Palestin di bawah pimpinan salibis akhirnya berakhir dan mereka kembali hidup makmur di bawah naungan syariah Islam di bawah sistem pemerintahan Khilafah.
Namun menyedihkan setelah runtuhnya Khilafah Uthmani pada 28 Rejab 1342H, bumi barokah Palestin kembali dirampas dan dijajah oleh kafir. Bahkan kaum kafir bersepakat mendirikan negara haram Zionis bergelar Israel bagi meneruskan pejarahan secara sistematik ke atas bumi Palestin. Sehingga ke hari ini, satu demi satu wilayah Palestin dirampas oleh Israel, manakala ribuan umat Islam ditindas dan dihina secara terbuka di persada dunia. Tak ada satu pun penguasa Muslim hari ini yang bertindak mengakhiri penjajahan ini secara serius walaupun memiliki kekuatan. Pembebasan Palestin dari penjajahan pada hari ini memerlukan kesatuan kekuatan politik dan ketenteraan seluruh negeri Islam. Para penguasa Muslim dan umat Islam hari ini wajar bercermin pada sejarah pembebasan Palestin pada masa Khalifah Umar bin alKhattab ra. serta Salahuddin al-Ayyubi, hingga pembelaan oleh Sultan Abdul Hamid II. Catatan sejarah gemilang ini menunjukkan bahawa keberadaan Khilafah menjadi perisai nyata bagi Palestin. Justeru, marilah jadikan Rejab ini sebagai momen perjuangan untuk bangkit menyerukan pembebasan hakiki Palestin dengan metod syarie melalui penegakan syariah dan khilafah `ala Minhaj nubuwwah.