Pada tahun ke-4 kenabian, Rasulullah dan kutlahnya memasuki fasa terbuka dan dakwah Islam mendapat sambutan dari penduduk Mekah. Namun seiring dengan itu, hambatan dan gangguan dari para pemuka Quraisy turut semakin keras dan kejam. Justeru, ketika tekanan dan penganiayaan semakin memburuk, Rasulullah saw menyarankan supaya mereka berhijrah mencari perlindungan di Habsyah. Itulah peristiwa hijrah pertama bagi umat Islam.
Ibnu Ishak berkata, “Setelah Rasulullah saw melihat apa yang menimpa para sahabatnya dari seksaan, sementara beliau mendapat perlindungan yang cukup dari Allah, kemudian juga dari bapa saudaranya Abu Talib, dan beliau merasa tidak mampu memberikan perlindungan kepada mereka. Pada saat itulah beliau berkata kepada mereka, ‘Seandainya kalian pergi ke negeri Habsyah kerana negeri itu dipimpin oleh seorang raja yang tidak satu pun dari rakyatnya yang terzalimi dan bumi itu adalah bumi yang aman. Tinggallah kalian di sana hingga Allah memberikan jalan keluar kepada kalian dari apa yang menimpa kalian.”
Para sahabat pun berangkatlah menuju ke bumi Habsyah, menjauh dari fitnah dan mencari perlindungan dari Allah demi agama mereka. Antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah adalah: Uthman bin ‘Affan r.a bersama Ruqayyah putri Rasulullah saw, dan Abdurrahman bin Auf, Abu Hudzaifah, Utbah bin Rabiah bersama isterinya Sahlah binti Suhail bin Amr, Az-Zubair bin Awwam, Mush’ab bin ‘Umair, Abu Salamah bin Abdul Asad dan isterinya Ummu Salamah binti Abu Umayyah bin Al-Mughirah, Uthman bin Mazh’un, Amir bin Rabi’ah dan isterinya Laila binti Abi Hatsmah r.a.