Antara peristiwa penting dan bermakna bagi umat Islam dalam bulan Rejab adalah peristiwa Israk Mikraj. Ia terjadi pada malam 27 Rejab di mana Rasulullah SAW melakukan perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, diangkat ke langit bertemu para Rasul dan Allah SWT, kemudian turun semula ke Baitul Muqaddis dan pulang ke Mekah dalam masa 1 malam sahaja. Israk Mikraj merupakan momen penting bagi Rasulullah, malah boleh dikatakan hiburan yang diberikan oleh Allah swt kepada Baginda saw tatkala dilanda segala macam ujian di jalan dakwah. Lebih-lebih lagi, Rasulullah saw turut kehilangan dua insan yang sangat dicintai. Pertama, Khadijah binti Khuwailid r.a., isteri Baginda saw yang tercinta yang merupakan insan pertama beriman dan mendukung dakwahnya. Manakala kedua adalah bapa saudaranya Abu Talib, insan yang memberikan himayah (perlindungan) kepada dakwah Nabi saw. Kehilangan mereka merupakan kehilangan dan kesedihan besar buat Nabi saw tatkala dakwah Islam sedang diuji dengan gangguan hebat dari kafir Quraisy dan penolakan di Taif.