Bulan Rejab turut menyaksikan peristiwa bersejarah umat Islam apabila usaha Rasulullah saw dan para sahabat mencari Nusrah membuahkan kejayaan dengan izin Allah swt. Peristiwa penting ini menjadi detik bermulanya perjalanan penegakan Negara Islam pertama di Madinah.
Setelah musim haji tiba, para delegasi dari berbagai suku dan tokoh-tokoh mereka telah berdatangan ke Mekah. Rasulullah saw lalu mula mendatangi mereka di tempat-tempat peristirehatan di Mina. Baginda saw menawarkan agama dan ideologi kepada mereka, serta meminta kepada mereka dua perkara:
Pertama, beriman kepada Allah swt semata-mata dan membuang yang selain-Nya di antara sesembahan-sesembahan yang palsu, serta beriman kepada Muhammad Rasulullah Saw.
Kedua, melindungi Rasulullah Saw, membelanya dan menghadapi setiap orang yang memusuhinya sehingga beliau aman dalam menyampaikan risalah Tuhannya.
Dalam Al mustadrak dicatatkan:
Rasulullah pernah menawarkan dirinya kepada orang-orang di tempat wukuf, “Apakah ada orang yang bersedia membawaku kepada kaumnya, kerana Quraisy telah melarangku menyampaikan firman Tuhanku?” Seorang lelaki dari bani Hamdan mendatangi Baginda, lalu berkata, “Aku.” Baginda bertanya, “Apakah kaummu memiliki kekuatan untuk menjaga?” Dia menjawab, “Ya.” Baginda bertanya “Berasal dari mana kamu?” Dia menjawab, “Bani Hamdan.” Namun orang ini bimbang kaumnya tidak bersedia, maka dia mendatangi Rasulullah saw dan berkata, “Aku akan mendatangi kaumku terlebih dahulu, kemudian baru aku menemuimu pada tahun depan.” Baginda berkata “Baiklah.” Dia pun berangkat, kemudian datanglah utusan Ansar pada bulan Rajab. (Adz-Dzahabi dalam At-Talkhish berkata, “Hadis ini sesuai syarat al-Bukhari-Muslim / Al Mustadrak hlmn 266)