Alhamdulillah wa syukru lillaah…
Syukur tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah Swt., kita semua dan keluarga dapat menjalankan puasa dan amal soleh lainnya pada Ramadhan, bulan yang mulia dan penuh keberkahan. Walaupun Ramadhan baru beberapa hari, kita dan keluarga dapat merasakan keberkahannya dan mendapatkan banyak pelajaran.
Semoga kita dan keluarga dapat menjalankan shaum Ramadhan dengan sukacita, penuh ketaatan kepada Allah Swt., aman, serta selamat hingga akhir Ramadhan. Kita berharap agar amal-amal kita pada Ramadhan diterima Allah Swt., sebagaimana doa yang kita panjatkan sebelum memasuki Ramadhan.
اَللَّهُمَّ سَلِّمْنـِيْ إِلَى رَمَضَانَ وَسَلِّمْ لِـيْ رَمَضَانَ وَتَسَلَّمْهُ مِنِيْ مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, antarkanlah aku hingga sampai Ramadhan, dan antarkanlah Ramadhan kepadaku, dan terimalah amal-amalku pada Ramadhan.”
Hadirnya Ramadhan merupakan kenikmatan luar biasa yang Allah berikan untuk seluruh keluarga muslim. Bulan istimewa yang kita diwajibkan berpuasa sebulan penuh dengan pahala berlimpah. Bulan diturunkannya Al-Quran dan lebih istimewanya lagi di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu malam lailatulqadar.
Tidak hanya kenikmatan luar biasa yang keluarga muslim dapati ketika menapaki Ramadhan, akan tetapi sesungguhnya keluarga muslim banyak mendapat pelajaran ketika menjalaninya sesuai dengan tuntunan syarak. Antara lain:
- Puasa Mendidik Keluarga Muslim Bersikap Jujur
Ibadah puasa merupakan ibadah ‘rahsia’. Hanya diri kita sendiri dan Allah Swt. yang tahu apakah kita melaksanakannya atau tidak. Lain halnya dengan ibadah salat atau ibadah lainnya yang dapat dilihat oleh orang lain. Sebagaimana hadis Rasulullah menjelaskan hal ini,
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Taala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’” (HR Bukhari dan Muslim)
Dari hadis ini, kita boleh memahami bahawa puasa merupakan kesempatan yang diberikan oleh Allah Swt. untuk melatih kejujuran, minima jujur kepada diri sendiri. Apabila kejujuran dalam puasa ini kita praktikkan dalam kehidupan sehari-hari, kita akan menjadi orang yang amanah dan hidup pun menjadi tenang.
Puasa hakikatnya merupakan ibadah yang sangat istimewa, berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain. Puasa sangat efektif untuk meningkatkan ketakwaan dan mendidik seseorang menjadi peribadi yang jujur.
Di sini pula kesempatan kita sebagai seorang ibu untuk menguatkan kejujuran anak-anak kita yang insyaallah sudah kita tanamkan dan latih sejak dini. Dengan bekal pemahaman yang kita berikan kepada anak-anak kita, mereka berpuasa sejak terbit fajar hingga tenggelamnya matahari dan menjalankan amal soleh lainnya dengan ikhlas, tidak tergoda oleh berbagai ‘cubaan’ yang ada di hadapan mereka. Alhamdulillah.
- Menumbuhkan Rasa Syukur dan Empati Keluarga Muslim terhadap Sesama
Ibadah puasa dapat memupuk rasa syukur kepada Allah dan menumbuhkan rasa kasih sayang ataupun empati kepada orang lain. Ketika berpuasa, kita merasakan haus dan lapar, maka kita akan dapat membayangkan betapa berat penderitaan orang fakir miskin yang serba kekurangan. Hal ini dapat menimbulkan rasa syukur, kerana selama ini Allah Swt. telah melimpahkan rezeki kepada keluarga kita sehingga tidak pernah menderita kelaparan dan kekurangan.
Menjalani shaum Ramadhan dengan benar akan menjadikan kita pandai bersyukur atas segala nikmat dan kurniaan yang telah diberikan Allah. Dengan penuh harap pula agar Allah Swt. senantiasa menambahkan lagi nikmat dan kurnia yang telah dilimpahkan kepada keluarga kita.
Selain itu, shaum Ramadhan akan menumbuhkan empati terhadap sesama. Dengan rasa empati itu kita akan tergerak untuk membantu mereka yang kekurangan. Oleh kerananya, dalam puasa kita dianjurkan untuk memperbanyak sedekah.
Pahala besar akan menanti apabila kita bersedekah. Walaupun hanya memberikan makan dan minum untuk berbuka puasa, kita akan mendapatkan pahala seperti halnya orang yang berpuasa. Sebagaimana yang disampaikan hadis Rasulullah saw.,
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” (HR Tirmidzi)
- Mendidik Keluarga Muslim Bersabar
Puasa merupakan acara untuk melatih kesabaran. Kenapa tidak, sebab pada hari-hari selain Ramadhan, kita bebas mahu makan dan minum pada siang hari. Namun, pada Ramadhan kita diharamkan makan dan minum kerana diwajibkan bagi kita untuk berpuasa. Tentu diperlukan kesabaran bagi kita untuk menjalaninya. Kita dilatih untuk menahan hawa nafsu sehingga dapat merasakan betapa sengsaranya tidak makan dan minum serta menjaga nilai-nilai puasa selama berpuasa.
Bagi orang yang benar benar melakukannya, pasti membuatnya menjadi sabar menahan hawa nafsu dan emosi yang dapat membatalkan atau mengurangkan pahala berpuasa. Rasulullah saw. telah menuntun kita untuk bersabar ketika sedang menjalani puasa dalam hadisnya.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw. bersabda, “Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu dan rofats. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, ‘Aku sedang puasa, aku sedang puasa.’” (HR Ibnu Majah dan Hakim)
Ini bermaksud seorang mukmin perlulah sabar dalam menjalankan perintah Allah Swt., meskipun perintah itu berat untuk dijalankan dan tidak disukai oleh nafsunya. Seorang mukmin mestilah taat pada hal-hal yang telah diwajibkan, walaupun banyak hal yang merintangi.
Sabar bukan bererti tatkala seseorang mendapatkan kesukaran atau kesulitan, lalu dia pasrah tanpa berusaha menghilangkan kesulitan itu atau mencari solusinya. Namun, sabar dalam Islam didahului atau bersamaan dengan ikhtiar maksima dan usaha untuk senantiasa mencari solusi atas ujian yang sedang dihadapinya. Bila semua usaha telah dilakukan, tempoh ikhtiar mencapai batas maksima, maka saat itulah sabar bertemu dengan tawakal, berserah diri kepada Allah. Sebab itulah Allah Swt. akan mengampuni dosa-dosanya.
- Mempererat Tali Kekeluargaan
Keluarga memiliki peranan penting agar pelaksanaan amal soleh pada bulan Ramadhan berjalan seoptimumnya. Sekaligus menjadi detik yang tepat untuk semakin mempererat tali kekeluargaan. Kerana biasanya ada kesempatan seluruh anggota keluarga berkumpul, setidaknya ketika berbuka dan makan sahur.
Jika anak-anak belajar di sekolah pondok/agama/asrama, kesempatan 10 hari terakhir Ramadhan dan awal Syawal menjadi saat-saat yang indah, kerana seluruh anggota keluarga biasanya berkumpul. Keluarga boleh menghabiskan waktu Ramadhan dengan iktikaf bersama, di samping ibadah mahdhah lainnya. Ayah bonda juga boleh membuat agenda bersama dengan keluarga dengan menuntut ilmu bersama, mengkaji tsaqafah Islam, murajaah, dan sebagainya.
Tentu saja, peranan seorang Ibu sangatlah penting dalam memberikan suasana yang kondusif pada keluarga, lebih-lebih lagi jika anak kita baru belajar puasa. Ibu berperanan penting memahamkan makna puasa, mendidik dan mengajarkan anak berpuasa, mengajarkan amal kebaikan, juga mengajarkan bersabar dalam setiap kesempatan. Ibu juga membangunkan untuk sahur dan menyediakan hidangan sahur dan berbuka.
Demikian pula ayah dan anggota keluarga yang lebih besar boleh bekerjasama sehingga aktiviti yang keluarga lakukan akan terasa lebih ringan. Aktiviti ini semua selain boleh mendekatkan diri kepada Allah dan bernilai pahala, sekaligus semakin menguatkan tali kekeluargaan dengan melakukan kegiatan bersama. Dengan kebersamaan dalam keluarga akan menumbuhkan sikap saling sayang dan saling menghormati yang lebih kuat di antara anggota keluarga kita.
- Mengukuhkan Takwa
Telah kita fahami bahawa meraih darjat takwa merupakan tujuan disyariatkannya ibadah puasa Ramadhan, sebagaimana firman Allah Swt.,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 183)
Takwa bermaksud takut kepada Allah dengan menjalankan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya sesuai dengan tuntunan Rasulullah saw.. Kita berusaha menjalani shaum sesuai dengan tuntunan Allah, tidak sekadar menahan lapar dan dahaga. Akan tetapi, menjauhkan diri kita dari segala bentuk kemaksiatan dan juga semakin memperbanyak amal soleh.
Lebih-lebih lagi, jika kita melakukannya bersama-sama dengan anggota keluarga, tentu saja akan terasa lebih ringan kita melakukan amal soleh ini. Kita saling mengingatkan, antara satu dengan yang lain dan juga saling menyemangati. Dengan izin Allah, kita dan keluarga akan mampu meraih derajat takwa dan semakin dekat dengan Allah Swt.
Khatimah
Demikian banyak pelajaran yang kita dapatkan pada bulan yang mulia ini. Semoga kita dapat menjalankannya dengan baik hingga akhir Ramadhan dan tetap boleh terus istiqamah menjalankan seluruh amal kebaikan selepas Ramadhan usai.
“Ya Allah, jadikan puasaku pada bulan ini sebagai puasa orang-orang yang berpuasa sebenarnya, solat malamku di dalamnya sebagai orang yang solat malam sebenarnya, bangunkan daku di dalamnya dari tidurnya orang-orang yang lalai. Bebaskan aku dari dosa-dosaku wahai Tuhan semesta alam. Maafkan aku wahai Yang Memberi ampunan kepada orang-orang yang berbuat dosa.” Aamiin.
Sumber: MNews/Rgl