Penulis: Najmah Saiidah
“Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang diberkati. Allah telah mewajibkan kamu berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang dari kebaikannya, maka sesungguhnya dia terhalangi” [HR Ahmad]
Kita sedang menjalani Ramadhan yang membawa berkat, rahmat, dan keampunan. Bulan yang penuh dengan kebaikan, mempunyai keutamaan pada setiap detik dan minitnya, pada setiap siang dan malamnya. Bulan yang penuh dengan pahala yang berlipat ganda dan pintu keampunan dan taubat dibuka seluas-luasnya.
Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang luar biasa pada Ramadhan ini. Umat Islam bersemangat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan perbuatan yang dimurkai-Nya, dengan memperbanyakkan amal kebaikan. Misalnya dengan menuntut ilmu, beribadat, menunaikan akad atau muamalah lain, menghiasi dirinya dengan akhlak yang terpuji. Pada bulan ini keadaan ruhiyah umat memang berada di kemuncaknya, segala amal kebaikan cuba diusahakan untuk mendapat pahala yang melimpah-ruah.
Wajarlah jika akhirnya wanita sering cemburu dengan lelaki yang dapat berpuasa sebulan penuh, menunaikan ibadah mahdhah dengan sempurna, dan lebih bebas beriktikaf di masjid. Sedangkan ibu-ibu kadang-kadang tidak dapat menunaikannya selama sebulan penuh kerana haid, nifas, atau uzur syar’iy yang lain.
Namun, sebenarnya peluang pahala di bulan Ramadhan bagi kaum wanita, khususnya bagi seorang ibu, amat melimpah-ruah. Lebih-lebih lagi amalan ini cenderung banyak dilakukan oleh ibu atau Wanita berbanding lelaki. Inilah Maha Adilnya Allah.
Jadi, apakah kebaikan Ramadhan yang boleh diraih oleh kaum wanita, terutama ibu-ibu ini? Sesungguhnya hadis-hadis Rasulullah telah banyak menjelaskan perkara ini.
Pertama, melakukan khidmat (membantu) orang lain, terutama orang yang berpuasa.
Sesungguhnya khidmat walau sekecil apa pun adalah amal soleh. Hadis Rasulullah menjelaskan perkara ini. Dari Jabir bin Abdullah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan ialah kamu bertemu saudaramu dengan dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari timbamu ke dalam bejana saudaramu.” [HR At-Tirmidzi]
Menuangkan air ke dalam bejana saudara adalah sejenis khidmat. Rasulullah SAW menyebut sebagai satu bentuk perbuatan makruf sepertimana berwajah ramah. Sesuatu yang disebut makruf ialah amal soleh. Dengan demikian, boleh dikatakan bahawa khidmat adalah amal soleh. Lebih utama lagi jika yang diberikan khidmat itu adalah orang yang berpuasa kerana berkhidmat kepada orang yang berpuasa dan meringankan kerja atau kesusahan mereka boleh membuatkan si pemberi khidmat itu mendapat ganjaran seperti orang yang berpuasa.
Imam Muslim meriwayatkan, dari Anas RA, dia berkata, “Dahulu kami pernah bermusafir bersama Nabi SAW, dan ada di antara kami yang berpuasa dan ada yang tidak berpuasa. Kemudian pada hari yang sangat panas itu kami singgah di suatu tempat dan yang boleh berteduh hanyalah mereka yang mempunyai pakaian, bahkan di antara kami ada yang berlindung dari sinar matahari hanya dengan tangannya sahaja. Maka yang berpuasa pun berjatuhan. Orang yang tidak berpuasa bangun, kemudian mendirikan khemah dan memberi minum kepada haiwan tunggangan mereka. Rasulullah SAW pun bersabda, ‘Hari ini mereka yang berbuka telah mendapat pahalanya.‘“ [HR Muslim]
Kedua, menyediakan hidangan berbuka.
Pada umumnya, kaum ibulah yang menyediakan hidangan berbuka untuk seisi keluarga. Di sinilah sesungguhnya ladang pahala yang sangat banyak yang boleh kita raih. Lebih-lebih lagi jika bilangan ahli keluarga kita ramai, pahala yang diperoleh lebih banyak lagi. Insyaallah.
Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira kepada kita, kaum ibu, dengan hadis-hadisnya, antara lain, “Barangsiapa yang memberi minum kepada orang yang berbuka, nescaya Allah akan memberinya minum dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan dahaga lagi selepas itu sehingga dia masuk ke dalam syurga.” [HR Ibnu Huzaimah]
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad]
Bukan itu sahaja, orang yang memberi atau menyediakan makanan ketika berbuka juga dijanjikan akan masuk syurga. Nabi SAW pernah berkata kepada seorang sahabat, “Sesungguhnya di syurga ada bilik-bilik yang bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya.” Nabi Muhammad SAW pun ditanya, “Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasululullah?” Kemudian Beliau menjawab, “Untuk orang yang berkata benar, yang memberi makan, dan yang sentiasa berpuasa, dan solat pada malam hari pada waktu orang tidur.” [HR Tirmidzi]
“Wahai manusia! Barangsiapa di antara kamu yang memberi hidangan berbuka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan dia diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Sahabat-sahabat yang lain bertanya, “Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan, “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Peliharalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air. Barangsiapa yang memberi minum orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi dia minum dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak akan merasa dahaga lagi sesudah itu sehingga dia masuk syurga.” [HR Ibnu Huzaimah]
Wahai ibu-ibu dan kaum remaja, bayangkan berapa ramai bilangan ahli keluarga di rumah kita, lebih-lebih lagi jika mereka semua berpuasa, maka sebanyak itulah pahala puasa yang kita akan peroleh. Walaupun, ada kalanya kita berhalangan untuk menunaikan ibadah puasa, tetapi Allah menyediakan ladang pahala-Nya yang melimpah-ruah kepada kita jika kita turut menyediakan hidangan berbuka puasa.Bukan hanya ganjaran dari menyediakan makanan yang diperoleh, tetapi juga pahala dari berinfak jika kita menyediakan makanan seperti beberapa butir kurma atau makanan ringan untuk musafir dalam perjalanan atau bagi mereka yang berbuka di masjid.
Ketiga, mengajak dan menyediakan sahur.
Makan sahur adalah amalan yang disunahkan. Sahur juga merupakan detik yang sentiasa dinantikan kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul dengan lengkap. Tanpa sebarang paksaan, detik kebersamaan di awal pagi ini seolah-olah menjadi magnet automatik bagi semua ahli keluarga untuk berkumpul di tengah keterbatasan waktu sahur dan aktiviti rutin di luar rumah yang belum dimulakan.
Sebagai ahli keluarga wanita, sama ada ibu atau kakak, kita mempunyai peranan penting untuk membangunkan ahli keluarga yang lain untuk bersahur. Rasulullah menganjurkan orang-orang yang berpuasa untuk bersahur, sebagaimana sabdanya,“Barsahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan.” [HR Al-Bukhari dan Muslim]
Dengan mengajak orang lain untuk bersahur, kita boleh mendapat pahala dari tawashau bil haq atau berpesan-pesan kepada kebenaran. Dalam sebuah hadis dikatakan bahawa apabila kita berpesan-pesan atau menyeru kepada kebaikan, maka kita akan mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukan kebaikan tersebut.
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” [HR Muslim No. 1893]
“Barangsiapa yang menunjukkan kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun.” [HR Muslim No. 4831]
Keempat, menggalakkan anak lelaki dan suami beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Ketika suami atau ahli keluarga lelaki di rumah beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadhan, kebiasaannya ahli keluarga perempuan berada di rumah untuk menyediakan keperluan ahli keluarga yang lain, termasuk keperluan bersahur dan berbuka puasa.
Walaupun tidak ikut beriktikaf, tetapi peluang pahala yang dimiliki Wanita juga sangat besar. Kerana dengan membantu suami dan anak-anak lelaki kita menyediakan keperluan mereka untuk beriktikaf dan sentiasa bersedia untuk menguruskan keluarga di rumah, kaum wanita mendapat pahala yang besar di atas kesiagaannya. Sebagaimana sabda Nabi SAW, “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang, maka sesungguhnya dia telah berjuang. Dan sesiapa yang menjaga dengan baik ahli keluarga seseorang yang pergi berjuang, maka sesungguhnya dia juga telah berjuang,” [HR Al-Bukhari dan Muslim]
Kelima, memperbanyakkan aktiviti taqarrub yang dibenarkan oleh syarak.
Selain berpuasa, solat, dan membaca al-Quran, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan oleh kaum ibu untuk menambahkan limpahan pahala, bahkan ketika ibu dalam keadaan haid dan nifas, iaitu membaca istighfar, berzikir, dan berdoa. Bahkan Rasulullah SAW menganjurkan kita memperbanyakkan zikir, baik dengan lisan mahupun dengan hati. Antara dalil yang menunjukkan keutamaan berzikir adalah firman Allah yang bermaksud, “Ingatlah Aku, nescaya Aku akan ingat kepadamu.“ [TMQ Al-Baqarah: 152]
Antara lafaz zikir yang boleh diistiqamahkan ialah lafaz yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, dalam hadis daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ada dua kalimat yang ringan di lisan, berat di timbangan, dan disukai oleh Ar-Rahman, subhanallah wabihamdihi dan subhaanallahil ‘azhiim.” [HR Bukhari]
Selain itu Rasulullah juga menganjurkan kita agar memperbanyakkan doa, terutama pada 10 hari terakhir Ramadhan. Ummul Mukminin Aisyah RA bercerita, “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, apa pendapatmu seandainya aku mengetahui malam apa yang disebut lailatulqadar itu, apakah yang aku baca padanya?’” Beliau bersabda, “Katakan, ‘Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul afwa fa’fu ‘anni.‘” [HR At-Tirmidzi]
Demikianlah, Ramadhan adalah momentum di mana individu dan keluarga memperbanyakkan amal kebaikan untuk mendapat pahala yang melimpah-ruah. Bahkan, seorang ibu yang terhalang berpuasa kerana ada uzur syar’iy masih tetap boleh mendapat pahala yang melimpah-ruah dari Allah SWT.
Khatimah
Selain memperbanyakkan zikir, istighfar, dan berdoa kepada Allah, seorang ibu boleh mendapat lebih banyak pahala dengan menyediakan makanan yang halal dan thayyib untuk keluarganya ketika bersahur dan berbuka. Insyaallah keluarganya tetap sihat dan cergas untuk menjalankan ibadah puasa. Kerana semua jenis amal kebaikan ada nilai pahalanya, malah memberi seteguk air kepada orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti orang yang berpuasa.
Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan agar kita sekeluarga dapat menunaikan kewajipan dan amal soleh yang lain dengan sebaik-baiknya. Aamiin. Wallahua’lam.