Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Al-Quran al-Karim adalah Kalam Rabb al-‘Izzah. Diturunkan melalui perantaraan malaikat agung, Rûh al-Amîn Jibril as., kepada sebaik-baiknya insan, Al-Mushthafa Muhammad ﷺ. Turun secara keseluruhan ke langit dunia pada sebaik-baik malam, Lailatul qadar. Tersurat dengan bahasa indah, bahasa Arab.
Ini semua makin menambahkan bukti keagungan al-Quran sebagaimana firman-Nya,
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِٱلذِّكۡرِ لَمَّا جَآءَهُمۡۖ وَإِنَّهُۥ لَكِتَٰبٌ عَزِيزٞ ٤١ لَّا يَأۡتِيهِ ٱلۡبَٰطِلُ مِنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَلَا مِنۡ خَلۡفِهِۦۖ تَنزِيلٞ مِّنۡ حَكِيمٍ حَمِيدٖ ٤٢
“Sesungguhnya al-Quran adalah sebenar-benarnya kitab yang mulia. Tidak datang kepada al-Quran kebatilan sama ada dari hadapan mahupun dari belakang. Diturunkan dari Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.” [TMQ Fushshilat (41): 41—42].
Kalimat “wa innahu lakitâb[un] ’azîz[un]” diawali dengan dua penegasan (tawkîd), yakni lafal “inna” dan “lâm al-ibtidâ’”. Keduanya menegaskan al-Quran sebagai kitab suci yang mulia dari Allah Zat Yang Maha Mulia sekaligus menafikan pengingkaran dan keraguan terhadapnya (al-khabar al-inkâri).
Al-Quran juga unggul dengan kedudukannya yang agung: petunjuk bagi mereka yang bertakwa (QS Al-Baqarah [2]: 2); penjelasan di atas segala sesuatu, petunjuk dan rahmat serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (QS An-Nahl [16]: 89); penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman (QS Al-Isra’ [17]: 82).
Al-Quran tidak diturunkan melainkan sebagai rahmat dari Allah (QS Al-Qasas [28]: 86). Sebaliknya, kesesatan dan penderitaan bagi mereka yang mengabaikan al-Quran dan berpaling darinya (QS Thaha [20]: 124).
Al-Quran diturunkan kepada Al-Mushthafa Muhammad ﷺ dengan hikmah agung: mengeluarkan manusia dari az-zhulumât menuju an-nûr:
الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ١
“Alif Lam Ra. Ini kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya terang-benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Terpuji.” [QS Ibrahim (14): 1]
Dalam ayat yang agung ini, Allah SWT memberitahu hikmah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah ﷺ, iaitu untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya. Allah SWT meminjam istilah (al-isti’ârah) azh-zhulumât (kegelapan-kegelapan) untuk menggambarkan banyaknya jalan yang batil dengan segala keburukannya, dan istilah an-nûr (cahaya) untuk menggambarkan satu-satunya jalan kebenaran.
Itulah Islam dengan segala kebaikannya. Menegakkan ajarannya adalah satu kemuliaan. Berpegang teguh kepadanya adalah sebab keselamatan. Rasulullah saw berpesan,
يَأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيْكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًاكِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan bagi kalian perkara yang jika kalian pegang teguh, kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunah Nabi-Nya.” (HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi dari Ibn ’Abbas ra.).
Keagungan al-Quran juga makin terang-benderang dengan adanya jaminan atas kemurniannya.
إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sungguh Kami benar-benar menjadi pemeliharanya.” (QS Al-Hijr [15]: 9).
Ayat ini memberitahu bahawa Allah SWT benar-benar memelihara adz-zikr al-Quran) dari segala bentuk penyimpangan. Ini ditegaskan oleh keberadaan tawkîd huruf inna (sungguh) dan lâm al-ibtidâ’ di depan kata benda “hâfizhûn” (pemelihara)[1].
Bentuk ungkapan ini (ism: hâfizhûn) lebih kukuh maknanya sebagai ‘pemelihara’ daripada bentuk kata kerja (fi’il: nahfazhu). Ini menguatkan kepastian jaminan Allah atas kemurnian Al-Quran.
Bertitik tolak daripada penjelasan di atas, adalah relevan jika salafunâ ash-sâlih memberikan keteladanan berinteraksi dengan al-Quran. Ini sebagaimana digambarkan oleh para ulama. Salah seorang daripada mereka ialah Al-Hafizh an-Nawawi (w. 676 H) dalam At-Tibyân. Kitab suci ini mereka sikapi seperti risalah mahabbah dari Rabb al-‘Izzah. Ditanda dengan perhatian yang besar terhadap mempelajari, mentadaburi, mengamalkan, berdakwah dan membela al-Quran dari segala bentuk penyimpangan.
Itulah al-Quran yang disenandungkan oleh Imam Ar-Raghib al-Ashfahani (w. 502 H),
كالبدر من حيث التَفَتَّ رأيتَه * يُهْدى إلى عينَيك نورًا ثاقبًا كالشمس فيكَبِدِ السماء وضوؤُها * يَغْشَى البلاد مَشَارِقًا ومغارً
“Seperti bulan ke mana pun kamu berpaling melihatnya/memancarkan cahaya yang kuat ke dalam matamu. Seperti matahari di langit cahayanya/menaungi negeri di Timur dan Barat.”[2]
Contoh Salafunâ ash-Sâlih
Keagungan al-Quran juga sangat berpengaruh dalam keperibadian salafunâ ash-sâlih. Mereka menggariskan contoh terbaik dalam memelihara al-Quran. Mereka membaca, mentadabbur, mengamalkan dan mendakwahkan al-Quran.
Pada prinsipnya, Allah menggambarkan akhlak Rasulullah ﷺ adalah akhlak al-Quran,
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ ٤
“Sesungguhnya engkau benar-benar memiliki khuluq (akhlak) yang agung.” [TMQ Al-Qalam (68): 4].
Maknanya adalah akhlak al-Quran. Qatadah pernah bertanya kepada Aisyah ra. tentang khuluq Rasulullah ﷺ, lalu beliau berkata, “Khuluq Nabi adalah al-Quran.” Beliau juga berkata, “Seperti yang terdapat dalam al-Quran.” Aisyah ra. berkata, كَانَ خُلُقُه القرآنَ
(Khuluq Rasulullah ﷺ adalah al-Quran).” (HR Ahmad).
Menjelaskan hadis di atas, Al-Hafizh Ibn al-Atsir (w. 606 H) mengatakan bahawa beliau berpegang teguh kepada adab-adab al-Quran dan pelbagai perintah dan larangan di dalamnya; dalam ajaran-ajarannya yang mulia (al-makârim), pelbagai kebaikan (al-mahâsin), serta kelembutan yang terkandung di dalamnya.
Secara praktikalnya, Rasulullah ﷺ juga memberi contoh bagaimana beliau mentadabbur ayat-ayat Allah. Ibn Abbas ra. berkata, “Suatu ketika aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimuna. Aku mendengar Rasulullah ﷺ bercakap dengan isterinya sebentar, kemudian beliau tidur.
Apabila tiba waktu sepertiga malam terakhir, beliau duduk dan melihat ke langit, lalu beliau membaca ayat,
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠
‘Sungguh dalam penciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ Ali Imran (3): 190].
Kemudian beliau berwuduk dan bersiwak. Lalu solat sebelas rakaat. Setelah mendengar azan Bilal, beliau solat dua rakaat, kemudian beliau keluar untuk solat Subuh.” (HR Al-Bukhari).
Hadis ini menggambarkan teladan Rasulullah ﷺ mentadabbur ayat qur’aniyyah dan ayat kawniyyah. Menjadikan al-Quran sebagai panduan mentadabbur alam semesta, manusia, dan kehidupan. Ini akan menguatkan iman, melahirkan sikap berpegang teguh kepada Al-Quran dan semangat mendakwahkannya.
Keteladanan agung ini yang diikuti oleh sahabat Rasulullah ﷺ, seperti Uthman bin Affan ra.,
لَوْ طَهُرَتْ قُلُوبُكُمْ مَا شَبِعْتُمْ مِنْ كَلَامٍ اعَزَّ وَجَلَّ
“Seandainya hati kalian telah suci, kalian tidak akan pernah merasa kenyang membaca firman Allah ‘Azza wa Jalla (Al-Quran).”
Maknanya, iaitu sangat senang membaca, mentadabbur, memahami, dan mengamalkan ajaran al-Quran. Beliau juga menegaskan bahawa tiada waktu yang lebih dia cintai apabila datang waktu siang dan malam kecuali digunakan untuk membaca al-Quran (mentadaburinya, pen.).[3]
Kenikmatan ini adalah modal utama menjadi golongan yang digambarkan dalam hadis dari Uthman bin ’Affan ra., dari Nabi ﷺ yang bersabda,
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran.” (HR Al-Bukhari). WalLâhu a’lam.[MNews/Gz]
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/04/13/4415/