Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman, “Sayadzdzakkaru man yakhsyâ (Orang yang takut [kepada Allah] akan mendapat pelajaran).” Menurut Al-Asfahani, perkataan “al-khasy-yah” bermaksud khawf (takut) yang disertai dengan takzim (sikap hormat dan memuliakan). Sikap tersebut kebanyakannya didasarkan oleh pengetahuan tentang zat yang ditakuti tersebut. Oleh kerana itu, sikap itu dikhususkan kepada (orang berilmu) ulama dalam firman-Nya :
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” [TMQ Faathir (35): 28]
Oleh kerana “khasy-yah” merupakan ketakutan yang disertai dengan sikap hormat, maka dalam Al-Quran sikap itu hanya ditujukan kepada Allah SWT. [Lihat: TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 33; Al-Kahfi (18): 80; Al-Baqarah (2): 150; An-Nisaa’ (4): 77; Al-Ahzab (33): 39; An-Nisaa’ (4): 9; dan banyak lagi]
Itu pula makna yang terkandung dalam ayat ini. Dijelaskan Ibnu Katsir, “man yakhsyâ” dalam ayat ini bermaksud orang-orang yang takut kepada Allah dan meyakini perjumpaan dengan-Nya.
Tidak jauh berbeza, Al-Qurtubi juga mentafsirkan kalimat ini sebagai orang yang bertakwa dan takut kepada Allah. Ibnu Jarir ath-Thabari juga berkata ia bermaksud, “Orang yang takut kepada Allah SWT dan hukuman-Nya.”
Orang-orang yang takut kepada Allah SWT itulah yang mengambil peringatan dan nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Dalam ayat ini, disebutkan “Sayadzakkaru.” Maksudnya, “dia akan menerima nasihatmu.” Dikatakan oleh az-Zamakhsyari, ia membawa maksud, orang yang takut kepada Allah dan buruknya akibat perbuatan itu kemudian dia mempertimbangkan serta memikirkannya. Pertimbangan itu kemudian membimbing dia untuk mengikuti kebenaran.
Atas pilihannya itu, mereka mendapatkan as-sa’adah (kebahagiaan) di dunia dan akhirat. Dikatakan oleh al-Biqa’i, “al-khasy-yah” (rasa takut) itu membawa pelakunya pada setiap kebaikan sehingga hatinya merasa nikmat, dibalas dengan syurga yang tinggi dan hidup dengan kehidupan yang baik tanpa ditimpa kesakitan dan kesusahan, kekal abadi tanpa akhir dan tanpa hujung.
Kemudian diberitakan tentang orang yang bersikap sebaliknya, “wa yatajannbuha al-asyqa (orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya).” Jika sebelum ini disebutkan tentang mereka yang menerima peringatan dan mengambil nasihat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, maka golongan kedua ini justeru menjauhinya. Jika golongan sebelum ini takut kepada Allah, golongan yang satu ini berani menentang Allah dan mereka akan mendapat balasan atas perbuatan tersebut.
Dalam ayat ini, ia disebut sebagai “al-asyqa (orang yang paling celaka).” Al-Alusi mengatakan, mereka adalah orang kafir yang terus dan tetap dalam pengingkarannya terhadap Hari Kiamat dan semacamnya.
Perkataan “al-asyqa” merupakan bentuk at-tafdhil dari perkataan asy-syaqiyy (orang yang celaka). Mereka dinyatakan sebagai al-asyqa (orang yang paling celaka) kerana menerima azab yang amat besar. Azab tersebut diberitakan dalam ayat seterusnya, “al-ladzi yashla an-nar al-kubra [iaitu] orang yang akan memasuki api yang besar [neraka]).”
Pengertian “al-kubra” di sini adalah al-azhimah wa al-fazhi’ah (yang besar dan mengerikan). Dikatakan demikian kerana panasnya lebih besar dan dahsyat daripada api dunia.
Menurut al-Hasan, an-nar al-kubra adalah neraka akhirat. Adapun yang sughra (kecil) adalah neraka dunia.
Sebahagian mufasir mengatakan, semua neraka adalah neraka akhirat walaupun ada peringkat kekerasannya. Ada neraka yang lebih besar dari neraka lainnya. Al-Farra’ mengatakan, “al-kubra” adalah tingkat neraka yang paling bawah.
Kemudian Allah SWT berfirman, “Tsuma la yamutu fiha wa la yahya (kemudian dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak [pula] hidup).” Di dalam neraka itu, mereka tidak mati dan tidak hidup. Mereka tidak mati sehingga dapat beristirehat dari azab, juga tidak hidup dengan kehidupan yang memberi dirinya manfaat.
Itulah seksaan yang diterima oleh orang-orang yang menolak dan menyingkirkan peringatan Allah SWT. Mereka perlu menghadapi seksaan yang besar atas kelancangan dan kederhakaan mereka terhadap Penciptanya, Allah SWT.
Respons Manusia terhadap Peringatan
Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dari ayat-ayat ini.
Pertama, perintah untuk menyampaikan peringatan kepada manusia. Perintah ini ditujukan kepada Rasulullah SAW. Hal ini dengan jelas disebutkan dalam kalimat, “Fadzakkir (berilah peringatan).”
Menyampaikan peringatan dan nasihat merupakan tugas yang perlu diemban oleh Rasulullah SAW dan semua Rasul lainnya. Bahkan ia merupakan tugas utama seorang Nabi dan Rasul termasuklah Baginda [TMQ Al-Ghaasyiyah (88): 22]
Perlu diingat, walaupun perintah dalam ayat ini ditujukan kepada Rasulullah SAW, tetapi ia juga terpakai kepada umatnya. Sebab, selama tidak ada dalil yang mengkhususkan khithab itu hanya ditujukan untuk Baginda, maka khithab itu juga berlaku umum. Demikian pula ayat ini.
Sebagaimana dijelaskan oleh para mufasir, pengertian ayat tersebut adalah memberikan peringatan dan nasihat dengan Al-Quran, apa yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW dan syariat agamanya.
Perbuatan tersebut jelas diperintahkan walaupun dilakukan dalam beberapa ungkapan dalam Al-Quran, seperti berdakwah dan mengajak manusia kepada Islam [TMQ An-Nahl (16): 125, Fusilat (41): 33], melakukan amar makruf nahi mungkar [TMQ Ali-Imraan (3): 110, 114, At-Taubah (9): 71], menyampaikan wasiat kebenaran dan kesabaran kepada manusia [TMQ Al-Asr (103): 30] dan banyak lagi.
Tentu saja penelitian dan fokusnya terdapat perbezaan. Namun, sasaran yang dituju adalah menjadikan manusia terikat dengan hukum Allah dan mengamalkan syariat.
Kedua, tentang kemungkinan sikap manusia terhadap peringatan yang diberikan. Sikap manusia ada dua kemungkinan, (1) menerima dan mengambil peringatan itu sebagai pengajaran, (2) menolak dan menjauhinya.
Sikap tersebut boleh jadi mungkin kerana Baginda hanya diberikan tugas untuk menyampaikan peringatan, tetapi tidak diberi kuasa untuk memaksa mereka untuk menerima peringatan tersebut [TMQ Qaf (51): 45].
Walaupun tidak dipaksa, sepatutnya manusia memilih sikap yang pertama iaitu menerima peringatan dari Allah SWT. Peringatan itu jelas demi kebaikan manusia. Ketika di dunia, kehidupannya akan mendapat limpahan keberkatan, di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam Syurga-Nya yang penuh kenikmatan.
Sebaliknya, tidak ada satu alasan pun yang boleh digunakan untuk mendukung pilihan yang kedua iaitu untuk menolak dan menjauhi perintah Allah SWT. Kerana, siapa saja yang menolak perintah tersebut, hidupnya akan sesat dan ditimpa kesengsaraan.
Di akhirat kelak pastinya lebih celaka lagi. Seksaan maha dahsyat di “an-nar al-kubra” (neraka besar) akan ditimpakan kepada dirinya. Begitu dahsyatnya sehingga membuatkan penghuninya tidak dapat hidup dan tidak pula mati.
Oleh kerana itu, orang yang berakal dan menggunakan akalnya dengan benar, nescaya akan memilih sikap yang pertama iaitu untuk menerima peringatan dan nasihat [TMQ Al-Baqarah (2): 269, Ali Imraan (3): 7].
Ayat ini juga mengajarkan kita bahawa sebaik dan sebenar apa pun sebuah peringatan. Dua kemungkinan itu selalu saja terjadi. Adanya penolakan dari sebahagian menusia terhadap sebuah idea, tidak menandakan bahawa idea itu salah. Tidak juga menunjukkan orang yang menyampaikannya keliru.
Perkara yang sama terjadi pada agama Islam. Tidak ada satu pun agama, pemikiran dan ideologi yang dapat menandingi Islam. Yang menyampaikannya juga adalah manusia pilihan iaitu Rasulullah SAW. Walaupun demikian, tetap saja ada manusia yang menolak dan mengingkari bahkan memusuhi Islam.
Realiti ini juga perlu menyedarkan para pengemban dakwah bahawa dakwahnya tidak akan selalu disambut dengan senyuman dan tangan terbuka. Terkadang dakwahnya juga mengundang penolakan dari objek dakwah.
Apabila menghadapi realiti tersebut, pengemban dakwah tidak boleh berkecil hati, apatah lagi surut langkah dan berputus-asa. Dia perlu tetap teguh dan bersabar dalam menyampaikan dakwah. Jangankan manusia biasa, Rasulullah SAW dan para Nabi lainnya juga mendapat respon yang serupa.
Allah SWT. berfirman,
وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّى أَتَاهُمْ نَصْرُنَا
“Sesungguhnya telah didustakan (pula) para rasul sebelum kamu, tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Allah kepada mereka.” [TMQ al-An’am (6): 34]
Semoga kita selalu menerima peringatan dan mengambil nasihat dari Rasulullah SAW. Semoga kita juga dapat meneladani Baginda, menyampaikan peringatan dan nasihat kepada seluruh manusia dengan risalah yang diturunkan kepada Baginda iaitu Islam. Semoga kita juga tidak termasuk dalam golongan mereka yang menolak peringatan dan mendapatkan ancaman seksa neraka. Wallahualam.