Oleh: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوْبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوْا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَكُمْ إِنَّ اللهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [TMQ Al-Hujuurat [49]: 13)
Asbabun Nuzul
Ibnu al-Mundzir dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu Mulaikah bahawa ketika Fathul Mekah, Bilal naik ke atas Kaabah dan mengumandangkan azan. Sebahagian orang berkata, “Budak hitam inikah yang melaungkan azan di atas Kaabah?” Sebahagian yang lain berkata, “Jika Allah membencinya, tentu Dia akan menggantikannya.” Kemudian turunlah ayat ini.
Abu Dawud dan Al-Bayhaqi meriwayatkan dari Az-Zuhri, ia berkata: Rasulullah SAW menyuruh kaum Bani Bayadhah untuk menikahkan salah seorang wanita mereka dengan Abu Hindun. Dia merupakan tukang bekam Rasulullah SAW. Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, layakkah kami menikahkan puteri-puteri kami dengan maula kami?” Kemudian turunlah ayat ini.
Menurut Ibnu Abbas, ayat ini diturunkan kerana ucapan Tsabit bin Qays kepada seorang lelaki yang tidak mahu memberikan tempat duduk kepadanya di dalam majlis bersama Nabi SAW.
Dia berkata, “Wahai anak Fulanah.” Dia mencela orang itu dengan menyebut ibunya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah yang berkata itu?” Dia menjawab, “Saya, wahai Rasulullah SAW.” Baginda menjawab, “Lihatlah wajah-wajah kaum itu.” Dia pun memperhatikannya. Baginda bertanya lagi, “Apakah yang kamu lihat?” “Saya melihat ada yang putih, merah dan hitam.” Kemudian Baginda bersabda, “Janganlah kamu melebihkan seseorang kecuali dalam hal agama dan ketakwaannya.” Kemudian turunlah ayat ini.
Kepada orang yang tidak memberikannya tempat duduk, turun firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.” [TMQ Al-Mujaadalah (58): 11]
Walaupun berbeza-beza, ketiga-tiga asbabun nuzul ini mengisyaratkan bahawa ayat ini turun sebagai larangan untuk memuliakan atau menghina manusia berdasarkan keturunan, suku mahupun bangsa.
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman, “Ya ayyuha an-nas inna khalaqnakum min dzakar wa untsa (Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan.” Al-Jazaiti menyatakan, seruan ini merupakan seruan terakhir dalam surah al-Hujurat. Berbanding dengan seruan-seruan sebelumnya yang ditujukan kepada orang-orang beriman, seruan ini lebih umum kerana ditujukan kepada seluruh manusia (an-nas).
Pertama, Allah SWT mengingatkan manusia tentang asal-usul mereka bahawa mereka semua adalah ciptaan-Nya yang bermula dari seorang lelaki dan seorang wanita (min dzakar wa untsa). Menurut para mufasir, dzakar wa untsa di sini membawa maksud Adam dan juga Hawa.
Seluruh manusia berpangkal kepada bapa dan ibu yang sama. Kerana itu, kedudukan manusia dari segi nasabnya adalah sama. Maksudnya, dalam hal nasab, mereka tidak boleh saling membanggakan diri dan merasa lebih mulia daripada yang lain.
Menurut mufasir lain, perkataan dzakar wa untsa juga boleh ditafsirkan sebagai seorang bapa dan seorang ibu, atau sperma lelaki dan ovum wanita. Kerana ia berasal dari jenis dan bahan asas yang sama, dan ini bermaksud seluruh manusia memiliki persamaan dari segi asal-usulnya.
Fakhruddin ar-Razi memberikan paparan menarik terkait hal ini. Menurutnya, segala sesuatu boleh diunggulkan dari yang lain kerana dua faktor. Pertama, faktor yang diperolehi sesudah kejadiannya seperti kebaikan, kekuatan dan berbagai sifat lain yang dituntut oleh sesuatu itu. Kedua, faktor sebelum kejadiannya, baik asal-usul atau bahan asasnya mahupun pembuatnya, seperti asal-usul sesuatu bekas air, contohnya, “bekas ini diperbuat daripada perak, sedangkan bekas yang itu daripada tembaga,” ataupun, “Bekas ini buatan si fulan, bekas yang itu pula buatan si fulan.”
Firman Allah SWT, “Inna khalaqnakum min dzakar wa untsa,” menegaskan bahawa tidak ada keunggulan seseorang atas yang lainnya disebabkan oleh perkara sebelum kejadiannya. Dari segi bahan dasar (asal-usul), mereka semua berasal dari orang tua yang sama iaitu Adam dan Hawa.
Dari segi pembuatnya, semua diciptakan oleh Zat yang sama iaitu Allah SWT. Jadi, perbezaan di antara mereka bukan kerana faktor sebelum kejadiannya, tetapi kerana faktor-faktor lain yang mereka perolehi atau mereka hasilkan setelah kejadian mereka. Perkara paling mulia yang mereka hasilkan adalah ketakwaan dan kedekatan mereka kepada Allah SWT.
Kemudian, Allah SWT berfirman, “Waja’ alnakum syu’ub[an] wa qaba’il[an] lita’arafu (dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal.)” Perkaraan syu’ub (jamak dari sya’b) dan qaba’il (jamak dari qabilah) merupakan kelompok manusia yang berpangkal pada satu orang tua (keturunan).
Sya’b adalah tingkat paling atas, seperti Rabi’ah Mudhar, al-Aws dan Al-Khazraj. Kelompok di bawahnya adalah qabilah, seperti Bakr dari Rabi’ah dan Tamim dari Mudhar. Di bawahnya masih ada empat tingkatan iaitu al-imarah seperti Syayban dari Bakr, Daram dari Tamim dan Quraysy; al-bathn seperti Bani Luay dari Qurays, Bani Qushay dari Bani Makhzum; al-fakhidz, seperti Bani Hasyim dan Bani Umaiyah dari Bani Luay. Tingkat terendah pula adalah al-fashilah atau al-asyirah seperti Bani Abd Al-Muthalib.
Jumlah manusia akan terus berkembang sehingga menjadi banyak suku dan bangsa yang berbeza-beza. Perkara ini merupakan sunnatullah. Manusia tidak boleh memilih agar dilahirkan di suku atau bangsa tertentu. Kerana itu, manusia tidak layak untuk merasa bangga dengan dirinya atau menghina orang lain kerana faktor suku atau bangsa.
Ayat ini menegaskan, dijadikannya manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah untuk saling mengenal antara satu sama lain (lita’arafu). Menurut al-Baghawi dan al-Khazin, ta’aruf itu bermaksud agar setiap orang dapat mengenali dekat atau jauh nasabnya dengan pihak lain, bukan untuk saling mengingkari atau menghina.
Berdasarkan ayat ini, Abd ar-Rahman as-Sa’di menyatakan bahawa mengetahui nasab keturunan merupakan perkara yang dituntut oleh syariat. Sebab, manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku memang untuk itu tujuannya. Oleh kerana itu, seseorang tidak diperbolehkan menasabkan diri kepada selain dari orang tuanya.
Dengan mengetahui nasab, berbagai hukum dapat diselesaikan seperti hukum menyambung silaturrahim dengan orang yang memiliki hak ke atasnya, hukum pernikahan, pewarisan dan sebagainya. Di samping itu, taaruf juga berguna untuk saling membantu. Dengan saling membantu antara individu, bangunan masyarakat yang baik dan bahagia dapat diwujudkan.
Setelah menjelaskan kesetaraan manusia dari segi penciptaan, keturunan, kesukuan dan kebangsaan, Allah SWT menetapkan parameter lain untuk mengukur darjat kemuliaan manusia iaitu dengan tingkat ketakwaan. Kadar ketakwaan inilah yang menentukan kemuliaan dan kehinaan seseorang, “Inna akramakum inda Allah atqakum.”
Mengenai batas ketakwaan, menurut pendapat yang dikutip al-Khazin, ketakwaan adalah ketika seorang hamba menjauhi larangan-Nya, mengerjakan perintah dan berbagai keutamaan, tidak lengah dan tidak merasa aman. Jika khilaf dan melakukan perbuatan terlarang, dia tidak merasa aman dan tidak menyerah, tetapi dia segera mengikutinya dengan amal kebaikan, menampakkan taubat dan penyesalan. Ringkasnya, takwa adalah sikap menetapi apa-apa yang diperintahkan dan menjauhi apa-apa yang dilarang.
Banyak ayat dan hadis yang juga menjelaskan bahawa kemuliaan manusia didasarkan pada ketakwaan semata. Rasulullah SAW pernah bersabda,
«يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلاَ إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلاَ لاَ فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلاَ لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلاَ ِلأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلاَ أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلاَّ بِالتَّقْوَى. أَبَلَّغْتُ؟»
“Wahai manusia, ingatlah bahawa sesungguhnya Tuhan kalian satu, bapa kalian juga satu. Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang bukan Arab, orang bukan Arab atas orang Arab; tidak pula orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, orang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan ketakwaan. Apakah saya telah menyampaikan?” (HR Ahmad)
Ayat ini diakhiri dengan firman-Nya, “Inna Allah ‘alim[un] khabir[un] (Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal).” Penyebutan dua sifat Allah SWT di akhir ayat ini dapat mendorong manusia untuk memenuhi seruan-Nya.
Dengan menyedari bahawa Allah SWT mengetahui segala sesuatu tentang hamba-Nya, zahir-batin, yang tampak mahupun yang tersembunyi, akan memudahkan baginya untuk melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Bukan Dalil Nasionalisme dan Pluralisme
Ayat ini jelas tidak boleh dijadikan dalil mengenai absahnya nasionalisme menurut Islam. Jika nasionalisme membangkitkan sentimen dan fanatisme kebangsaan, maka ayat ini justeru menentang segala hal yang mengunggulkan kelompok manusia atas dasar kebangsaan, kesukuan dan keturunan.
Jika nasionalisme menjadikan perbezaan bangsa sebagai alasan untuk memecah-belahkan manusia, maka ayat ini justeru sebaliknya. Perbezaan bangsa itu perlu digunakan untuk usaha saling mengenali antara satu sama lain : lita’arafu.
Rasulullah SAW juga menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk mencabut fahaman jahiliyah dari kaum muslim. Ketika Fathul Mekah Baginda berkhutbah sebagaimana yang dituturkan oleh Ibn Umar,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ قَدْ أَذْهَبَ عَنْكُمْ عُبِّيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ وَتَعَاظُمَهَا بِآبَائِهَا فَالنَّاسُ رَجُلاَنِ بَرٌّ تَقِيٌّ كَرِيمٌ عَلَى اللهِ وَفَاجِرٌ شَقِيٌّ هَيِّنٌ عَلَى اللهِ وَالنَّاسُ بَنُو آدَمَ وَخَلَقَ اللهُ آدَمَ مِنْ تُرَابٍ. قَالَ اللهُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى….
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah melenyapkan dari kalian kesombongan jahiliyah dan saling berbangga kerana nenek moyang. Manusia itu ada dua kelompok. Ada yang soleh, bertakwa dan mulia di hadapan Allah. Ada pula yang fasik, celaka dan hina di hadapan Allah SWT. Manusia itu diciptakan Allah dari Adam dan Adam dari tanah. Allah SWT. berfirman: Ya ayyuha an-nas inna khalaqnakum min dzakar wa untsa.” (HR At-Tirmidzi)
Ayat ini juga tidak boleh ditarik untuk membenarkan pluralisme. Pluralisme adalah pendirian filosofi tertentu dalam menyikapi aneka ragam kehidupan. Menurut fahaman pluralisme, keragaman keyakinan, nilai, gaya hidup dan tuntutan kebenaran individu perlu dipandang sebagai sesuatu yang setara.
Dalam pluralisme agama, contohnya, semua agama perlu dipandang sama dan tidak ada yang lebih dari yang lain. Pandangan tersebut jelas bertentangan dengan ayat ini. Ayat ini tidak menyikapi semua keragaman dengan sikap yang sama. Berkenaan keragaman fizikal, jenis kelamin, nasab, suku dan bangsa, manusia dipandang setara. Tidak ada yang lebih tinggi atau mulia dari yang lain.
Ini kerana, pada faktanya semua keragaman tersebut terjadi dalam wilayah yang tidak dikuasai oleh manusia. Berkenaan perkara-perkara tersebut, Allah SWT menggunakan kata khalaqna (Kami menciptakan) dan ja’alna (Kami menjadikan), yang menunjukkan tiada bahagian manusia di dalamnya. Kerana itu, sangat wajar manusia tidak dihisab kerana aspek tersebut.
Adapun berkenaan keragaman manusia dalam kepercayaan, sikap dan perilakunya, manusia tidak dipandang sedarjat. Ada yang mulia dan ada yang hina bergantung pada kadar ketakwaannya.
Secara tegas ayat ini menyebut, “Inna akramakum inda Allah atqakum.” Jika sebab kemuliaan manusia adalah ketaatannya kepada risalah Allah, dan penentangan terhadapnya menjadi sebab kehinaan, bermaksud yang haq hanyalah risalah Allah.
Sebaliknya, semua keyakinan, nilai, gaya hidup dan sistem kehidupan yang lain adalah batil, sesat lagi menyesatkan. Jadi, jelas ayat ini menolak fahaman pluralisme yang menyamakan semua agama, pandangan hidup dan sistem kehidupan.
Nasionalisme dan pluralisme memang idea kufur yang tidak memiliki akar ideologi dalam Islam. Wajar jika idea itu cuba diselitkan dalam Islam kerana ia pasti akan berbenturan dengan Islam itu sendiri. Adapun ayat-ayat yang sering digunakan untuk menjustifikasikannya, setelah dikaji, ia sebenarnya adalah untuk menentangnya! Wallahualam.