Oleh: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
يُوفُونَ بِٱلنَّذۡرِ وَيَخَافُونَ يَوۡمٗا كَانَ شَرُّهُۥ مُسۡتَطِيرٗا ٧ وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسٗا قَمۡطَرِيرٗا ١٠ فَوَقَىٰهُمُ ٱللَّهُ شَرَّ ذَٰلِكَ ٱلۡيَوۡمِ وَلَقَّىٰهُمۡ نَضۡرَةٗ وَسُرُورٗا ١١ وَجَزَىٰهُم بِمَا صَبَرُواْ جَنَّةٗ وَحَرِيرٗا ١٢
“Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana. Mereka memberikan makanan yang mereka sukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan. (Mereka berkata), ‘Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah. Kami tidak mahu balasan dan ucapan terima kasih daripada kamu. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (pada hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesukaran.’ Kemudian Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, juga memberi mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.” [TMQ al-Insan (76): 7-12]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman: Yûfûna bi an-nadzr (mereka menunaikan nazar). Ayat ini menjelaskan sifat yang dimiliki dan perbuatan yang dilakukan oleh al-abrâr (orang-orang yang melakukan kebaikan) semasa mereka hidup di dunia. Dengan sifat-sifat itu mereka berhak mendapat pahala.[1]
Sifat pertama yang disebut ialah semasa mereka hidup di dunia. Diberitakan dalam ayat ini bahawa mereka menunaikan nazar. Secara bahasa, an-nadzar bermaksud al-îjâb (mewajibkan).[2] Secara syar’ie bermakna apa yang diwajibkan oleh mukalaf atas dirinya sendiri untuk Allah SWT seperti solat, puasa, menyembelih korban, dan lain-lain yang sebelum ini tidak wajib secara syar’ie.[3]
Pemahaman ini juga yang digunakan oleh sebahagian ahli tafsir dalam menafsirkan ayat ini, iaitu mereka berbuat kebaikan dengan menepati nazar mereka kepada Allah SWT dalam ketaatan kepada-Nya.[4] Ikrimah berkata, “Mereka menunaikan apa yang mereka wajibkan atas diri mereka.”[5]
Sebahagian ahli tafsir memaknakan ayat ini dengan lebih luas lagi merangkumi semua kewajipan yang dibebankan oleh syariat ke atas mukalaf. Antara yang berpendapat demikian ialah As-Syaukani. Katanya, “Iaitu mereka menunaikan pelbagai ketaatan yang diwajibkan oleh Allah SWT atas diri mereka.”[6] Qatadah dan Mujahid juga berkata, “Mereka menunaikan ketaatan kepada Allah dalam bentuk solat, haji, dan seumpamanya.”[7]
Ibnu Kathir berkata, “Mereka adalah orang-orang yang beribadah kepada Allah SWT dengan melakukan ketaatan dan kewajipan yang telah diwajibkan oleh Allah kepada mereka mengikut syariat, serta apa yang mereka wajibkan atas diri mereka sendiri dalam nazar.”[8]
Menurut Al-Baidhawi, penyebutan “yûfûna bi al-nadzr (mereka menunaikan nazar)” lebih jelas dan tepat untuk menyebut sifat mereka dalam menunaikan kewajipan. Sebabnya, sesiapa yang menunaikan apa yang diwajibkan atas dirinya sendiri untuk Allah SWT itu, maka dia akan lebih menunaikan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT atas dirinya.[9]
Kemudian disebutkan sifat mereka yang lain dengan firman-Nya: wayakhâfûna yawm[an] syarruhu mustathîr[an] (mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana). Mereka takut akan datangnya suatu hari yang keburukannya merata di mana-mana. Hari yang dimaksudkan dalam ayat ini tidak lain ialah hari Kiamat.[10] Adapun syarruhu bermaksud azab-Nya.[11]
Kemudian perkataan mustathîr[an], menurut Ibnu Abbas, bermaksud fâsyi[an] (merata, menyebar).[12] Muqatil berkata, “Keburukannya menyebar ke langit sehingga langit terbelah, bintang-bintang berhamburan, dan para malaikat terkejut. Adapun di bumi, gunung-gunung hancur dan air meluap.”[13]
Mereka merasa takut akan siksa Allah yang akan menimpa mereka pada hari itu kerana mereka tidak memenuhi nazar yang telah mereka janjikan dan pelbagai kewajipan lain.
Rasa takut itu mendorong mereka untuk taat kepada Allah SWT dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Abdurrahman as-Sa’di berkata, “Mereka takut akan ditimpa keburukannya sehingga mereka meninggalkan segala sesuatu yang menyebabkan mereka mendapatkan keburukannya.”[14]
Kemudian Allah SWT berfirman: wa yuth’imûna al-tha’âm ‘alâ hubbihi miskîn[an] wa yatîm[an] wa asîr[an] (dan mereka memberikan makanan yang mereka sukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan). Ayat ini menambah sifat mereka yang lain. Mereka memberikan makanan yang mereka sukai kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim, dan para tawanan.
Menurut beberapa ahli tafsir, dhamîr dalam ayat ini merujuk kepada makanan yang mereka berikan. Iaitu mereka memberikan makanan kepada orang-orang miskin dalam bentuk makanan yang mereka sukai. Antara yang berpendapat demikian ialah Ibnu Kathir, Al-Alusi, Mujahid, dan Muqatil.[15] Menurut Ibnu Kathir, pengertian tersebut semakna dengan Surah Al-Baqarah (2): 177 dan Ali Imran (3): 92).[16]
Selain makanan yang diberikan ialah makanan yang mereka sukai, mereka juga selektif terhadap orang yang diberi, iaitu orang-orang paling memerlukan. Dalam ayat itu dinyatakan terdapat tiga golongan, iaitu orang-orang miskin, anak-anak yatim, dan orang-orang yang menjadi tawanan. Kemudian diberitakan bahawa motif di sebalik perbuatan mereka: Innamâ nuth’imukum li wajhiL-lâh (Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah). Maknanya, mereka memberikan makanan tersebut didorong oleh keinginan untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kemudian ditegaskan lagi: Lâ nurîdu minkum jazâ‘[an] (Kami tidak mahu balasan dan ucapan terima kasih dari kamu).Ini adalah penegasan terhadap kalimat sebelumnya. Sebab orang yang memberikan makan kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT tidak mengharapkan balasan dan meminta orang yang diberi makan mengucapkan terima kasih kepada dirinya.[17]
Justeru, mereka tidak mengharapkan balasan daripada orang yang diberi, sama ada dalam bentuk jazâ‘[an] atau syukûr[an]. Menurut Abdurrahman as-Sa’di, perkataan jazâ‘[an] bermaksud ganjaran material, manakala syukûr[an] ialah pujian lisan.[18]
Kemudian disebutkan: Innâ nakhâfu min Rabbinâ yawm[an] ‘abûs[an] qamtharîr[an] [Sesungguhnya kami takut akan [azab] Tuhan kami pada suatu hari yang [pada hari itu] orang-orang bermuka masam penuh kesukaran]. Maknanya, mereka sangat takut terhadap azab dari Allah SWT pada Hari Kiamat. Dalam ayat ini, azab yang berlaku pada hari itu dicirikan oleh dua sifat. Pertama, ‘abûs[an]. Maknanya: wajah-wajah pada saat itu bermuka masam yang disebabkan oleh kedahsyatan dan kengeriannya.[19] Kedua, qamtharîr[an]. Menurut Ibnu Jarir, al-qamtharîr bermaksud as-syadîd (keras).[20] Al-Akhfasy berkata, “al-qamtharîr adalah hari yang paling keras dan panjang bencananya.”[21]
Oleh itu, hari itu benar-benar dahsyat lagi mengerikan dan menakutkan. Ia tercermin dari wajah-wajah manusia yang menemui hari tersebut. Peristiwa itulah yang mendorong mereka untuk menginfakkan sebahagian daripada harta mereka dengan memberikan makanan kepada orang yang memerlukan.
Al-Khazin berkata tentang makna ayat ini, “Sesungguhnya kebaikan kami kepada kamu disebabkan oleh rasa ketakutan kami terhadap dahsyatnya hari itu. Bukan kerana ingin mendapat imbalan daripada kamu.[22]
Justeru, terdapat dua keinginan yang mendorong mereka untuk melakukan amal kebaikan tersebut. Pertama, mengharapkan keredhaan Allah SWT beserta pahala-Nya. Kedua, berlindung dari azab yang sangat berat dan pedih yang akan berlaku pada Hari Kiamat. Kedua keinginan mereka itu pun dikabulkan oleh Allah SWT.
Terkabulnya keinginan mereka yang kedua, iaitu mereka terpelihara dari azab yang sangat dahsyat pada Hari Kiamat disebutkan terlebih dahulu dengan firman-Nya: fawaqâhumuL-lâh syarra zâlika al-yawm (lalu Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu). Pada masa terjadi kegentingan yang dahsyat, azab yang sangat pedih dan pelbagai kejadian yang mengerikan, mereka pun mendapat perlindungan. Allah SWT menjaga mereka pada masa itu. Abdurrahman as-Sa’di berkata, “Keadaan yang mengerikan itu tidak membuatkan mereka berasa takut. Sebaliknya mereka disambut oleh para malaikat dengan berkata, ‘Ini adalah hari yang dijanjikan kepada kamu.’”[23]
Adapun keinginan mereka kedua, iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, disebut dalam firman-Nya selepas itu: walqqâhum nadhrah wa syurûr[an] (dan memberikan kepada mereka kejernihan [wajah] dan kegembiraan hati). Apabila sebahagian orang wajahnya suram dan penuh ketakutan, Allah SWT menganugerahkan kepada mereka kejernihan pada wajah mereka dan kegembiraan dalam hati mereka.
Dengan demikian, Allah SWT memberikan mereka dua kenikmatan sekaligus, iaitu kenikmatan zahir dan kenikmatan batin.[24] Kemudian disebutkan: wa jazâhumuL-lâh bimâ shabarû jannah wa harîr[an] [Dia memberi ganjaran kepada mereka kerana kesabaran mereka [dengan] syurga dan [pakaian] sutera]. Selain itu, Allah SWT juga membalas kesabaran mereka. Menurut As-Syaukani, kesabaran atas segala sesuatu sebagai bentuk ketaatan kepada Allah SWT.[25]
Ibnu Umar RA pernah ditanya tentang sabar. Beliau menjawab bahawa terdapat empat jenis sabar: sabar pada ketika hentaman pertama; sabar menunaikan kewajipan; sabar menjauhi larangan; dan sabar menghadapi musibah.[26]
Atas kesabaran mereka, Allah SWT pun memberi ganjaran kepada mereka dalam bentuk jannah (syurga) dan harîr (pakaian sutera). Syurga ialah tempat tinggal di akhirat yang dipenuhi dengan pelbagai kenikmatan yang luar bisa. Adapun harîr (sutera) ialah salah satu kenikmatan yang diberikan kepada penghuni syurga. Itulah pakaian para penghuni syurga sebagaimana yang dikhabarkan dalam Surah al-Hajj (22): 23 dan Fathir (35): 33.
Sebutan harîr atau pakaian yang diperbuat daripada sutera ialah ‘athf al-khâsh ‘alâ al-âmm (menambah yang khusus selepas yang umum) menunjukkan bahawa terdapat keistimewaan padanya. Menurut As-Sa’di, sebutan sutera secara khusus disebabkan ia adalah pakaian mereka yang kelihatan, sekaligus menunjukkan keadaan pemakainya.[27]
Beberapa Pengajaran Penting
Pertama, penyebutan sifat hamba–hamba Allah SWT yang menjadi penghuni syurga ketika di dunia. Sifat pertama ialah menunaikan nazar mereka dengan sempurna. Ini disebut dalam firman-Nya: yûfûna bi al-nadzr (mereka memenuhi nazar).
Seperti yang dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir, maksud ayat ini ialah mereka menunaikan semua kewajipan, baik kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT atas semua mukalaf mahupun kewajipan yang ditetapkan mukalaf sendiri atas diri mereka. Kewajipan jenis yang kedua inilah yang secara syar’ie disebut sebagai nazar.
Para ulama juga menjadikan ayat ini sebagai dalil atas kewajipan menunaikan nazar yang sudah ditetapkan oleh mukalaf. Fakhruddin ar-Razi berkata, “Ayat ini menunjukkan dalil atas kewajipan memenuhi nazar. Sebab, Allah SWT mengiringi ayat ini dengan firman-Nya: wayakhafûna (dan mereka takut akan suatu hari). Ini memerlukan mereka menunaikan nazar tersebut kerana mereka takut terhadap azab pada hari itu. Hal ini dikuatkan dengan firman-Nya dalam Surah an-Nahl (16): 91 dan al-Hajj (22): 29.
Sifat kedua mereka ialah merasa takut terhadap Hari Kiamat berserta segala azab dan seksaannya. Hal ini disebutkan dalam firman-Nya: yawm[an] syarruhumustathîr[an] (dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana). Seperti yang dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir, hari yang dimaksudkan ialah Hari Kiamat.
Mereka merasa takut terhadap azab yang akan berlaku pada hari itu akan menimpa mereka. Rasa takut itu juga membuatkan mereka menjalankan perintah, menjauhi larangan dan segala perbuatan yang mendatangkan siksa-Nya. Sifat takut kepada Hari Kiamat berserta semua azabnya adalah sifat orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga. Hal ini juga disebutkan dalam beberapa ayat lain, seperti dalam Surah al-Ma’arij (70): 27.
Sifat ketiga mereka ialah mereka biasa menginfakkan sebahagian daripada harta mereka. Dalam ayat ini digambarkan bahawa mereka bersedekah dalam bentuk makanan kepada kalangan yang memerlukan, iaitu orang-orang miskin, anak-anak yatim, dan para tawanan. Mereka melakukannya dengan ikhlas kerana Allah SWT dan hanya mencari keredhaan-Nya. Mereka tidak meminta ganjaran berbentuk material dan ucapan terima kasih daripada mereka.
Kedua, dahsyatnya azab Hari Kiamat. Ini disebut dalam firman-Nya: yawm[an] syarruhu mustathîr[an] (suatu hari yang azabnya merata di mana-mana). Seperti yang dijelaskan oleh para ulama, kalimah syarruhu dalam ayat ini boleh membawa maksud kedahsyatan dan kengeriannya. Ia juga boleh bermakna azabnya. Mengenai hal ini telah dikhabarkan dalam banyak ayat dan hadis: bahawa pada Hari Kiamat akan berlaku pelbagai peristiwa yang amat dahsyat dan mengerikan seperti bumi bergoncang dengan goncangan yang sangat kuat, gunung-gunung dihamburkan, laut meluap, matahari digulung, bintang-bintang berjatuhan, langit terbelah, dan sebagainya.
Begitu juga seksaan-Nya yang amat dahsyat dan mengerikan. Bagi orang yang beriman, peristiwa itu membuatkan mereka takut untuk melakukan kesalahan dan perbuatan yang mengundang kemurkaan dan azab-Nya.
Ketiga, balasan bagi orang-orang yang berbuat baik dan sabar. Diberitakan bahawa mereka dilindungi dari segala seksaan dan bencana yang berlaku di akhirat. Ketiga para penjahat bermuka masam dan mengalami kesedihan yang luar biasa, Allah SWT menganugerahi wajah mereka menjadi putih dan bercahaya.
Hati mereka dijadikan senang dan bergembira. Mereka juga dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan pelbagai kenikmatan. Ini termasuk pakaian mereka yang diperbuat daripada sutera. Semua kenikmatan itu ialah balasan atas kesabaran mereka. Semoga kita termasuk dalam golongan mereka. Wallâhu’alam.