Penulis: Ahmad Mahmud
Perbincangan tentang kenyataan amar makruf nahi mungkar mengajak kita untuk berbincang mengenai ilmu tentang perkara makruf dan mungkar. Alasannya, pengetahuan tentang kedua-duanya tentunya perlu ada sebelum direalisasikan. Amar makruf nahi mungkar tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan ilmu.
Jika itu realitinya, apakah batas ilmu yang dituntut oleh syariat daripada seorang muslim?
Di antara perkara yang mesti ada ialah pendapat bahawa setiap perbuatan itu mesti didahului dengan ilmu dan perbuatan tersebut mestilah mengikut hukum syarak. Jika tidak, perbuatan tersebut tidak boleh dianggapkan sebagai ibadah.
Allah SWT telah memerintahkan umat Islam untuk melaksanakan pelbagai perkara yang makruf yang tentunya perlu diketahui terlebih dahulu supaya dapat dilaksanakan. Allah SWT juga telah memerintahkan mereka supaya meninggalkan segala kemungkaran yang tentunya perlu diketahui terlebih dahulu supaya dapat dihindari.
Oleh itu, ibadah, ketaatan dan keterikatan kepada syariat merupakan asal (pokok); sedangkan ilmu merupakan keperluan dan cara untuk mencapainya. Maksudnya, sebenarnya yang dituntut bukanlah ilmu itu sendiri tetapi ilmu yang ditujukan semata-mata untuk beribadah dan taat kepada Allah Taala.
Allah SWT berfirman, “Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan untuk ditaati dengan izin Allah.” [TMQ An-Nisa’ (4): 64]
Abdullah bin Mubarak rahimahullah pernah berkata, “Kami menuntut ilmu untuk mendapatkan ilmu. Ilmu tertolak kecuali jika ditujukan semata-mata kerana Allah.”
Maka, ibadah dan ketaatan kepada Allah merupakan tujuan; sedangkan ilmu tentang kedua-duanya boleh diperolehi melalui tahap usaha yang paling minimum iaitu taklid atau melalui tahap usaha yang paling optimum iaitu ijtihad. Dalam kedua-dua usaha ini terdapat fadhilat dan pahala selama keterikatan dan ketaatan kepada Allah SWT boleh direalisasikan.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang menegakkan solat dengan mengerjakan semua rukun dan syarat serta menjauhi segala perkara yang membatalkannya bererti dia telah mendirikan ibadat dan menunaikan apa yang dituntut daripadanya. Namun, pelaksanaan ibadat yang tidak berlandaskan ijtihad dan ittiba’ sudah tentu menyebabkan kehilangan fadhilat dan pahala yang besar iaitu fadhilat dan pahala ilmu yang dengannya Allah mengangkat darjat seorang muslim.
Sebabnya, dia sebenarnya melaksanakan ibadah hanya dengan cara taklid (baca: muqallid am), iaitu mengambil hukum dari orang yang mempunyai ilmu, ketakwaan dan sifat warak menurut pandangannya. Dengan begitu, dia menduga kuat bahawa apa yang dikatakan oleh orang yang berilmu tersebut adalah perkara yang paling benar dan paling hampir dengan ketaatan kepada Allah.
Demikian juga orang yang menunaikan solat dengan cara ittiba’, iaitu orang yang mengambil hukum dari orang lain dengan mengetahui dalilnya. Orang sebegini tetap dipandang sebagai muqallid (iaitu muqallid muttabi’). Namun, dia lebih baik daripada muqallid ‘am yang mengambil hukum tanpa mengetahui dalilnya.
Kedua-dua jenis muqallid ini mengambil hukum dari yang lain semasa melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah. Sedangkan, mujtahid merupakan orang yang mempunyai kedudukan yang paling baik, kedudukan yang paling mulia, dan darjat yang paling tinggi titik sebabnya, dia mengambil sendiri hukum syariat secara langsung, meneliti dalil-dalilnya dan kemudian mengistinbat atau menggali hukum-hukum Allah untuk dirinya.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam