Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sebuah pemikiran selalunya dinisbahkan kepada orang yang menyebarkan dan mengambilnya sehingga dinyatakan sebagai, misalnya, “pemikiran Eropah” atau “pemikiran Rusia”. Kadang-kadang juga dinisbahkan kepada pengasas pemikiran itu sehingga sering dinyatakan sebagai, “pemikiran Marxis”, “pemikiran Plato”, dan “pemikiran Hegel”.
Suatu pemikiran juga seringkali disandarkan pada kaedah dasar (al-qâ‘idah al-asasiyyah) yang menjadi landasan pemikiran tersebut sehingga dinyatakan sebagai, misalnya, “pemikiran Islam”. Ia disebut demikian kerana kaedah dasar yang membangunkan pemikiran tersebut ialah akidah Islam.
Akidah Islam bukan berasal dari orang Arab atau manusia lain. Akidah Islam berasal dari Allah SWT. Dialah yang telah memberi nama bagi ideologi (mabda’) dan agama ini dengan nama Islam. Allah SWT berfirman,
اِنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللّٰهِ الْاِسْلَامُ ۗ
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam.” [TMQ Ali Imran (3): 19]
Pemikiran Islam, baik yang dinukil dari orang Arab atau dari selain orang Arab, tetap dipandang sebagai pemikiran Islam. Oleh kerana itu, tidak ada perbezaan antara pemikiran yang dinukil dari Imam Syafi’e, Imam al-Bukhari, Muhammad Asad an-Namsawi, atau Abul A’la al-Maududi. Semuanya merupakan pemikiran Islam, meskipun terdapat kepelbagaian bangsa atau bahasa pada individu-individu yang melakukan ijtihad atau yang menukilnya.
Namun, pemikiran orang Arab sebelum datangnya Islam, bukanlah pemikiran Islam. Oleh kerana itu, “pemikiran Islam” merupakan sebutan sebuah pemikiran dengan sebuah sebutan yang sempurna, tanpa ada penambahan atau pun pengurangan. Dengan demikian, semua pemikiran yang bersumber dari Islam, disebut dengan “pemikiran Islam”.
Saya menyatakan demikian kerana saya telah melihat hubungan yang kuat antara orang Arab dan Islam serta antara bahasa Arab dan Islam. Allah SWT telah berfirman,
هُوَ الَّذِيْ بَعَثَ فِى الْاُمِّيّٖنَ رَسُوْلًا مِّنْهُمْ
“Dialah Yang telah mengutus kepada kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul di antara mereka.” [TMQ al-Jumu‘ah (62): 2]
Mengenai al-Quran, Allah telah berfirman,
وَّهٰذَا لِسَانٌ عَرَبِيٌّ مُّبِيْنٌ
“Ini (Al-Quran) adalah dalam bahasa Arab yang terang.” [TMQ an-Nahl (16): 103]
فَاِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُوْنَ
“Sesungguhnya Kami telah memudahkan al-Quran itu dengan bahasamu (Muhammad) agar mereka mendapatkan pelajaran.” [TMQ ad-Dukhan (44): 58]
Saya menyedari bahawa nas-nas al-Quran dan as-Sunnah tidak mungkin difahami dengan pemahaman yang benar dan mendalam, kecuali dengan bahasa Arab; tidak mungkin pula berijtihad, iaitu melakukan penggalian (istinbâth) hukum-hukum syariat, kecuali dengan bahasa Arab. Atas dasar ini, potensi Arab (orang Arab dan bahasa mereka) dan Islam ialah ibarat saudara kembar yang tidak boleh dipisahkan. Tatkala potensi Arab dipisahkan dari Islam, Daulah Islamiah menjadi lemah, dan kemudian hancur.
Definisi Pemikiran Islam
Sebuah definisi yang benar mesti memenuhi dua perkara: ‘menyeluruh” (jâmi‘an) sekaligus “mencegah” (mâni‘an). Yang dimaksudkan dengan menyeluruh (jami’an) iaitu mencakup seluruh bahagian-bahagian dan sifat-sifat dari sesuatu yang didefinisikan. Yang dimaksudkan dengan mencegah (mani’an) iaitu mencegah masuknya makna asing ke dalam sesuatu yang didefinisikan.
Berdasarkan alasan di atas, saya mendefinisikan pemikiran Islam sebagai: Usaha menilai fakta dari sudut pandang Islam. Dengan demikian, pemikiran Islam mengandungi tiga perkar, iaitu:
(1) fakta (al-wâqi‘);
(2) hukum (justifikasi);
(3) keterkaitan fakta dengan hukum.
Fakta boleh berbentuk benda mahupun perbuatan. Fakta berbentuk benda hanya memiliki dua jenis hukum, iaitu mubah (halal) dan haram. Buah anggur, misalnya, hukumnya mubah, sedangkan khamar hukumnya haram.
Dalam konteks benda ini, terdapat sebuah kaedah syariat ang diambil dari nas-nas al-Quran dan Al-Hadis, “Hukum asal setiap benda adalah mubah, kecuali ada dalil yang mengharamkannya.”
Sedangkan, jika fakta itu berbentuk perbuatan, maka hukumnya terdapat lima, iaitu fardhu (wajib), mandub (sunah), mubah, makruh, dan haram. Misalnya, puasa Ramadan hukumnya wajib, sedekah hukumnya sunnah (mandub), makan roti mubah, berbicara di bilik air makruh, dan riba itu haram.
Kaedah syarak yang dinisbahkan kepada perbuatan ialah, “Hukum asal setiap perbuatan adalah terikat (dengan hukum syarak).”
Hukum atas fakta harus diambil dari dalil-dalil syarak iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul, dan apa-apa yang ditunjukkan oleh Kitabullah dan Sunnah Rasul, iaitu Ijmak Sahabat dan Qiyas.
Pemikiran Islam terdapat dua jenis, iaitu pemikiran yang berkaitan dengan akidah, seperti keimanan kepada Allah, kepada Rasul-rasulNya, kitab-kitabNya dan hari akhir. Kemudian pemikiran yang berkaitan dengan hukum syarak yang bersifat praktikal, seperti jihad dan solat.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam