Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Umat adalah entiti yang hidup. Ia lahir, tumbuh, dan berkembang. Sepanjang perjalanan, umat akan mengalami masa kuat dan lemah. Kuat dan lemahnya umat ditentukan oleh “darah” yang mengalir di dalam pembuluh-pembuluh darah mereka, iaitu pemikiran ideologi yang ada pada diri mereka. Kuat dan lemahnya umat juga ditentukan oleh sejauh mana dia berpegang teguh pada pemikiran yang menjadi landasan kepada tegaknya kehidupan mereka.
Dalam hal ini, contoh yang paling jelas ialah umat Islam. Umat Islam dilahirkan di Madinah al-Munawarah melalui tangan Rasulullah Muhammad saw melalui proses kelahiran yang sahih dan dalam bentuk yang kukuh.
Umat Islam kemudian bertambah dan berkembang sehingga mencapai puncak kekuasaan pada zaman Rasulullah saw kemudian berterusan sehingga pada zaman Al-Khulafâ’ ar-Râsyidûn. Bentuknya semakin kukuh dan kekuasaannya juga semakin meluas.
Akibatnya, bangsa dan negara lain memandang umat Islam sebagai satu kekuatan yang tidak dapat dikalahkan. Inilah yang mendorong orang-orang kafir untuk sentiasa melemahkan umat Islam dan memberi tekanan agar umat Islam tunduk kepada kehendak mereka.
Namun, umat juga dijangkiti penyakit ringan akibat jauhnya mereka dari sebahagian pemikiran Islam. Akan tetapi, mereka mampu mengubati penyakit ini dengan segera dan mengembalikan kekuatan mereka seperti sedia kala.
Semua itu kerana umat telah memahami hakikat penyakit yang menyerang mereka. Mereka juga telah memahami solusi yang tepat bagi penyakit ini, iaitu pemikiran Islam yang (bersifat) ideologi.
Islam adalah ideologi samawi yang dahulu pernah menjadikan mereka gemilang dan bangkit. Kini, mereka kembali kepada pemikiran ini. Mereka menggali dari pemikiran tersebut apa saja yang diperlukan untuk menyelesaikan permasalahan mereka dan untuk menghancurkan kelemahan mereka.
Pemikiran umat yang bersifat ideologi itu merupakan “darah” dan semangat hidup mereka. Selama darah ini tetap mengalir dengan hangat dan bersih di dalam pembuluh-pembuluh darah mereka serta sel-sel badan mereka terus mengambil zat-zat berkhasiat, selama itu jugalah mereka akan kekal kuat. Dengan begitu, mereka dapat mencari sebab kebangkitan dan dapat mengubati kemerosotan mereka.
Sesungguhnya, pemikiran Islam telah diuji kemampuan dan kebolehannya dalam mengatur kehidupan manusia. Pemikiran Islam mampu memulakan setiap keperluan hidup dan perkembangan baru pada setiap masa dan setiap negara yang dinaungi oleh kekuasaan Islam.
Kenyataan ini telah ditunjukkan oleh peradaban Islam yang agung. Keagungan Islam ini dapat disaksikan oleh setiap orang yang memiliki mata. Ia muncul dalam khazanah kebudayaan Islam (tsaqâfah Islâmiyyah) yang terkumpul dalam pelbagai buku dan manuskrip yang mengandungi pelbagai jenis ilmu pengetahuan sehingga hari ini. Buku-buku dan manuskrip tersebut telah dicetak dan kemudian menjadi rujukan para penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu.
Hanya saja, umat Islam tengah diuji dengan lahirnya ulama yang mengabaikan aktiviti berfikir inovatif di tengah-tengah umat. Mereka menyeru agar usaha menutup pintu ijtihad, berikutan pengasingan potensi bahasa Arab dengan potensi Islam. Hal ini telah mempengaruhi, sekaligus menjadi punca utama munculnya kelemahan Daulah Islamiyah.
Fenomena ini berterusan sehingga runtuhnya Daulah Islamiyah pada tahun 1924, iaitu pasca Perang Dunia pertama. Di sisi lain, musuh-musuh Islam berusaha dengan bersungguh-sungguh agar Daulah Islamiyah ini tidak muncul kembali di tengah-tengah kehidupan. Untuk itu, mereka melancarkan serangan terhadap dunia Islam dengan kekuatan tentera dan harta kekayaan yang mereka miliki. Kemudian diteruskan dengan serangan kebudayaan yang semakin menjauhkan umat Islam dari pemikiran dan agama mereka sendiri.
Musuh-musuh Islam terus melakukan penyelewengan terhadap kesucian pemikiran (fikrah) Islam dan kejelasan metod (tharîqah) penerapannya. Oleh itu, sudah seharusnya anak-anak umat ini, khususnya yang berada negara-negara Arab, mesti sedar akan kepentingan mendesak pemikiran Islam. Mereka juga perlu memahami bahawa usaha menyelamatkan hidup mereka dan seluruh dunia dari kesengsaraan dengan selain ideologi Islam adalah mustahil.
Perlu disedari juga, bahawa usaha merealisasikan Islam ke dalam kancah kehidupan tanpa tegaknya Daulah Islamiyah adalah sebuah utopia. Begitu juga dengan penegakan Daulah Islamiyah tanpa peranan dan umat dengan pelopornya, orang Arab adalah angan-angan kosong saja. Logiknya, potensi Arab merupakan satu kemestian bagi tegaknya Daulah Islamiyah.
Setiap muslim wajib memahami hakikat pemikiran Islam dengan pemahaman yang jernih, fokus, dan bebas dari segala macam kekotoran yang disusup oleh musuh-musuh Islam.
Dalam kajian ini, saya akan cuba menjelaskan dan memfokuskan perbincangan tentang pengertian pemikiran Islam dan asas-asas yang mendasarinya; akidah, sistem, peradaban, dan kebudayaan yang terpancar dari akidah Islam.
Salah satu hak pemikiran Islam ke atas kita adalah kita tidak boleh menyatakan kecuali bahawa pemikiran Islam adalah pemikiran yang benar. Jika hal ini kita tidak lakukan, bermakna kita telah mengabaikan firman Allah SWT.,
“Kalian mengatakan dengan mulut-mulut kalian apa yang kalian tidak mempunyai ilmunya. Kalian mengiranya sederhana padahal ia adalah besar di sisi Allah.” [TMQ an-Nur (24): 15]
Salah satu hak pemikiran Islam yang lain ke atas kita ialah kita mesti konsisten dan terikat dengan pemikiran Islam. Selain itu, kita hendaklah menjadikan Islam sebagai bekal untuk berinteraksi dengan masyarakat dan mesti berjalan di atas metod yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kita. Hanya kepada Allah kami memohon, semoga Dia mengilhamkan kebenaran kepada kita. Aamiin.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah. Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam.