Penulis: Ahmad Mahmud
Segelintir umat Islam beranggapan usaha menegakkan Khilafah memadai ditujukan kepada pemerintah serta kroni-kroni mereka. Yang dimaksudkan dengan kroni pemerintah ialah golongan elit yang berada dalam lingkaran kekuasaan dan mengawal pelbagai urusan kerajaan. Menurut golongan ini, sekiranya dakwah kepada mereka berjaya, masyarakat secara praktikal akan mudah berubah ke arah kepentingan Islam.
Sebaliknya, jika dakwah kepada mereka gagal, tiada apa yang akan berubah. Pemahaman sebegini adalah berdasarkan anggapan bahawa usaha menegakkan Khilafah dengan berdakwah kepada umat Islam sudah pasti akan menjatuhkan mereka ke jurang penindasan oleh pemerintah dan mengakibatkan mereka terpaksa memikul beban yang sangat berat, yang boleh mengecewakan mereka. Dalam hal ini, menurut mereka, seorang Muslim dilarang menjerumuskan dirinya ke dalam realiti seperti ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW berikut,
لا ينبغي لمسلم أن يذل نفسه ، قيل وكيف يذل نفسه؟ قال يتعرض من البلاء لما لا يطيق
“Tidak patut bagi seorang muslim menghinakan dirinya sendiri.” Ditanya, “Bagaimana seorang muslim boleh menghinakan dirinya sendiri?” Rasulullah SAW bersabda, “Iaitu menanggung bencana yang tidak sanggup dipikulnya.” [HR Ahmad, At-Tirmizi, dan Ibnu Majah]
Sesiapa yang memerhati realiti di mana propaganda jenis ini berkembang akan melihat bahawa ia muncul dalam masyarakat yang penuh dengan kezaliman, kefasikan, keganasan, pengasingan, dan kesusahan hidup. Kemunculan fenomena seperti ini adalah disebabkan oleh jauhnya iman kepada Allah dan batas serta haknya dalam menentukan hukum. Dahulu para nabi, termasuk Rasulullah, mula-mula menyeru umat manusia untuk beriman kepada Allah dan beribadat kepada-Nya.
Secara umumnya, mana-mana masyarakat, dahulu atau sekarang, sentiasa dipimpin oleh pemerintah dan kroninya. Akidah/ideologi batil dan undang-undang yang mereka hasilkan kemudian muncul untuk memenuhi pelbagai kepentingan mereka. Mereka sentiasa menjaga akidah/ideologi mereka sebagaimana mereka menjaga pelbagai kepentingan dan kedudukan mereka.
Mereka tidak teragak-agak untuk mencurahkan segala kemampuan mereka untuk mempertahankan dan melindungi akidah/ideologi mereka. Hal inilah yang mendorong seorang Badwi yang bijaksana apabila mendengar dakwah Nabi SAW untuk mengatakan suatu perkataan yang menunjukkan kedalaman kefahamannya, “Sesungguhnya perkara ini dibenci oleh raja-raja.”
Rakyat dalam masyarakat sebegini dipimpin oleh pemerintah dan kroninya. Mereka sering terpengaruh jauh lebih banyak daripada pengaruh yang mereka sebarkan. Mereka sering dipaksa untuk tunduk kepada sistem yang menguasai mereka, walaupun mereka membencinya. Mereka juga sering menyedari apabila mereka membiarkan kezaliman pemerintah, mereka pada dasarnya perlu turut bertanggung jawab.
Para nabi dan rasul diutus oleh Allah kepada kaum mereka untuk menyampaikan kebenaran dan menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus. Pada masa itu, pemerintah yang zalim dan kroni merekalah yang memegang tanggung jawab menolak dan memimpin penentangan terhadap para nabi dan rasul.
Kroni pemerintah adalah pegawai dan konglomerat yang menjadi kaki tangan mereka. Mereka adalah tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat. Mereka adalah orang-orang yang biasa memberikan pelbagai cadangan yang bersifat politik dan pemikiran kepada pemerintah. Pemerintah sendiri banyak bergantung kepada mereka dan sering meminta bantuan mereka.
Kroni pemerintah, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah, akan selalu menjadi pemimpin bagi mereka yang menentang nabi-nabi Allah. Jiwa mereka telah dipenuhi dengan rasa cinta kepada harta, kedudukan, dan pelbagai kepentingan mereka yang berkaitan dengan kedudukan mereka.
Oleh itu, apabila mereka diperintahkan ke jalan Allah, mereka beranggapan bahawa seruan ini bertentangan dengan pelbagai kepentingan mereka, dan mengancam kedudukan mereka. Mereka kemudian tampil menentang dakwah sambil melakukan provokasi untuk membangkitkan martabat dan kemarahan pemerintah. Mereka kemudian memujuk pemerintah untuk memerangi dakwah dan menghanguskannya.
Jiwa mereka yang penuh kejahatan dan dosa itulah yang mendorong mereka untuk “menasihati” pemerintah. Konfrontasi yang sangat ganas akhirnya berlaku antara nabi-nabi dan pemerintah yang sentiasa dikelilingi oleh kroni mereka. Sejak itu, peperangan pemikiran dan perjuangan politik antara nabi-nabi Allah dan pemerintah serta kroni mereka secara praktikal telah berlaku dengan mengorbankan rakyat.
Para nabi sentiasa menyeru kebenaran dengan cara yang betul. Mereka pada mulanya bersendirian, lemah, dan tidak mempunyai kekuatan selain daripada perkataan yang benar dan berpengaruh ke atas jiwa mereka. Pada mulanya, pemerintah dan kroni mereka juga menentang nabi-nabi dengan hujah-hujah yang batil. Mereka, misalnya, mengatakan bahawa dakwah para nabi adalah sihir yang nyata atau dongeng zaman dahulu; bahawa pengemban-pengemban dakwah adalah orang gila dan pendusta; bahawa orang yang percaya kepada kebenaran dakwah adalah orang yang bodoh dan hina.
Namun, apabila semua lontaran mereka tidak menampakkan hasil, mereka mula meningkatkan gangguan mereka dengan melakukan pelbagai jenis penyeksaan, pengusiran, dan pembunuhan terhadap pengemban-pengemban dakwah. Konfrontasi nabi-nabi dan pengikut-pengikut mereka dengan pemerintah dan kroni mereka serta yang masih menganut agama raja mereka akhirnya semakin berleluasa. Fenomena sebegini sebenarnya adalah satu kenescayaan seperti yang diceritakan dalam al-Quran secara ringkas, tetapi meliputi keseluruhannya.
Inilah yang antara lain dialami oleh Nabi Nuh AS ketika berdakwah kepada kaumnya. Kalangan yang mula-mula menentangnya ialah elit pemerintah kaumnya. Dalam hal ini Allah berfirman,
لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ (59) قَالَ الْمَلأ مِنْ قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (60) قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي ضَلالَةٌ وَلَكِنِّي رَسُولٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (61)
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia.’ Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka-pemuka kaumnya berkata, ‘Sesungguhnya kami memandangmu berada dalam kesesatan yang nyata.’ Nuh menjawab, ‘Wahai kaumku, tak ada padaku kesesatan sedikit pun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam.’” [TMQ al-A’raaf (7): 59-61]
Begitu juga dengan Nabi Hud AS ketika mengajak kaum ‘Ad. Kalangan yang mula-mula menentang dakwahnya adalah golongan elit di kalangan kaumnya. Allah berfirman,
وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلا تَتَّقُونَ (65) قَالَ الْمَلأ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي سَفَاهَةٍ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (66)
“Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Ad saudara mereka (Hud). Dia berkata ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?’ Pemuka-pemuka yang kafir dari kaumnya berkata, ‘Sesungguhnya kami benar-benar memandangmu dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap engkau termasuk orang-orang yang berdusta.’” [TMQ al-A’raaf (7): 65-66].
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam