Oleh : KH. M. Shiddiq Al Jawi
Pendahuluan
Setiap hari boleh jadi kita akrab dengan hiburan atau permainan. Kalau kita menonton TV, akan mudah kita temui berbagai bentuk hiburan (entertainment) seperti filem, drama, muzik, lawak, dan sebagainya. Permainan (game) juga mudah ditemukan dalam kehidupan sehari-hari, seperti permainan game online, atau permainan dalam bentuk bermacam-macam cabang olahraga, seperti tennis, bola tampar, dan sebagainya.
Memang kelihatannya berbagai hiburan dan permainan itu menyenangkan dan menghiburkan. Namun sebenarnya ada banyak bahayanya bagi umat Islam, baik yang nyata atau terselubung/tersembunyi. Mengapa? Kerana kita sekarang tidak hidup dalam masyarakat Islami yang menerapkan syariah Islam. Kita saat ini hidup dalam masyarakat kapitalis yang tidak kenal halal haram, yang mempertuhankan kebendaan/wang serta menombor-satukan syahwat serta kenikmatan tubuh. Segala sesuatu diukur dengan wang, tanpa peduli lagi dengan halal haram. Tanpa ingat lagi akan pahala dan dosa, lupa akan syurga dan neraka. Dalam keadaan seperti ini, hiburan dan permainan mudah menjerumuskan umat Islam ke lembah dosa.
Sebagai contoh, tak sedikit umat Islam yang terjerumus ke dalam perjudian, seperti judi online, atau judi yang terdpat dalam setiap pertandingan sukan/olahraga, seperti pertarungan, bola sepak, lumba kereta/motor, lumba kuda, dan sebagainya. Ada juga yang menghiburkan diri dengan cara-cara yang haram, seperti hiburan malam di kafe, karaoke, night club, yang penuh dengan minuman keras, dadah, seks bebas, dan pelacuran. Selain itu, olahraga atau sukan juga tak terlepas, dapat menjerumuskan ke dalam maksiat. Misalnya tidak mempedulikan lagi aurat atau malah sengaja mempertontonkan keindahan tubuh, seperti acara renang atau volley ball di pantai.
Jadi, hiburan dan permainan dalam masyarakat kapitalis pada hari ini sifatnya memang cenderung negatif dan destruktif (merosakkan), sehingga sangat mudah menggelincirkan umat Islam ke dalam dosa dan kemaksiatan. Waktu luang yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk kegiatan positif, boleh jadi malah memperdayakan kita ke arah negatif. Benar sekali sabda Rasulullah SAW yang pernah memperingatkan kita,
”Ada dua kenikmatan yang memperdaya kebanyakan manusia, yakni kesihatan dan waktu luang.” (HR Al Hakim, Al Mustadrak, no 7845).
Hukum Islam terkait Hiburan dan Permainan
Sebelum dijelaskan hukumnya, perlu difahami dulu fakta hiburan dan permainan. Apakah itu hiburan? Menurut ensiklopedia, hiburan (entertainment) adalah segala sesuatu –baik berbentuk kata-kata, tempat, benda, mahupun perbuatan – yang dapat menjadi penghibur atau pelipur hati yang sedang susah. Pada umumnya hiburan itu berupa muzik, filem, opera, drama , ataupun permainan bahkan sukan. Melancong juga dapat dikatakan sebagai usaha menghibur diri, misalnya pergi ke zoo, taman rekreasi, atau ke tempat-tempat hiburan malam (night club) untuk melepaskan lelah. Ada juga tempat permainan seperti biliard dan fasiliti perjudian. Pada waktu tertentu, hiburan juga mempunyai tujuan tambahan yang serius. Misalnya, berbagai bentuk perayaan, festival keagamaan, dan sebagainya.
Sedangkan permainan (game)adalah aktiviti rekreasi dengan tujuan bersenang-senang, mengisi waktu luang, atau berolahraga ringan. Permainan dapat dilakukan sendiri atau bersama-sama (kelompok). Permainan juga banyak jenisnya, misalnya permainan tradisional, seperti main sorok-sorok, galah panjang, dan ada juga permainan moden yang umumnya termasuk ke dalam cabang-cabang olahraga, seperti berlari, bersenam, ping pong, menembak, berbasikal, memanah, bola sepak, badminton, dan seni bela diri. Permainan yang moden ini juga kadang-kadang turut melibatkan penggunaan peralatan yang canggih, seperti permainan (game) di komputer, video, atau permainan secara online di internet (game online). (Sumber: wikipedia)
Bagaimanakah hukum hiburan dan permainan ini menurut syariah Islam? Pada dasarnya, Islam adalah agama fitrah, iaitu sangat memahami fitrah manusia yang ada masanya mengalami kejenuhan dan kebosanan. Kerana manusia memang berbeza dengan malaikat yang diwajibkan terus menerus berzikir kepada Allah SWT. Islam juga tidak mewajibkan kepada setiap muslim untuk terus menerus mengisi waktunya di masjid saja, atau untuk terus menerus mengaji Al Quran, atau untuk terus menerus berdakwah, dan sebagainya. Maka dari itu, Islam tidak melarang umatnya untuk sesekali mengisi waktu luangnya dengan mencari hiburan dan menikmati permainan. Tentu bukan sembarang hiburan atau permainan, melainkan hiburan dan permainan yang dihalalkan oleh syariah Islam.
Rasulullah SAW sendiri pernah berlumba lari dengan ‘Aisyah RA. (HR Ahmad dan Abu Dawud). Pernah pula Rasulullah SAW bersenda gurau (mizah) dengan seorang nenek, yang minta didoakan supaya masuk syurga. Rasulullah SAW berkata kepadanya, ”Sesungguhnya syurga tak akan dimasuki oleh ornag tua.” Perempuan itu terkejut dan menangis, kerana menganggap dia tak akan syurga. Rasulullah SAW lalu menjelaskan bahawa maksudnya bukanlah demikian. Tetapi, orang tua tak akan masuk syurga sebagai orang tua, sebaliknya Allah SWT akan menjadikan mereka kembali muda dan perawan ketika masuk syurga, sesuai dengan surah Al Waaqi’ah : 35-37.(HR Tirmidzi). Ini menunjukkan bahawa Islam membolehkan hiburan atau permainan, asalkan sesuai syariah Islam. (Yusuf Qaradhawi, Al Halal wal Haram fil Islam, hlm. 252-254).
Secara umum, hiburan dan permainan yang sesuai syariah Islam wajib memenuhi 3 syarat sebagai berikut;
Pertama, hiburan/permainan itu mestilah halal secara syariah, misalnya sukan olahraga, memanah, renang, dan sebagainya. Jadi tidak boleh hiburan/permainan itu berupa sesuatu yang haram, baik haram dari segi zatnya (seperti dadah, minuman keras), mahupun haram dari segi aktivitinya (seperti perjudian, pelacuran, seks bebas, dsb). Keharaman dari segi aktiviti ini, banyak sebab dan rinciannya dalam syariah Islam. Misalkan ada hiburan/permainan yang diharamkan kerana menyerupai kaum non muslim (tasyabbuh bil kuffar), misalnya merayakan hari raya non muslim (misal Krismas), atau diharamkan kerana menyerupai lain jenis, seperti bermain drama/lakonan/pementasan dimana lelaki berperanan sebagai wanita atau sebaliknya.
Kedua, hiburan/permainan tidak boleh melalaikan kita dari kewajipan. Misalnya, kewajipan solat, bekerja, menutup aurat, menuntut ilmu, berdakwah, dan sebagainya. Jadi ketika bersukan renang misalnya, tidak boleh mendedahkan aurat atau bentuk tubuh. Ketika sukan lumba lari atau bola sepak, misalnya, tidak boleh mengenakan seluar pendek, kerana hal itu bermakna meninggalkan kewajipan menutup aurat. Begitu juga tidak boleh pula berjogging/berlari di pagi hari dengan meninggalkan sholat Subuh. Tidak boleh pula pergi memancing tapi meninggalkan kewajipan dakwah atau belajar, atau dilakukan dengan ponteng kerja.
Ketiga, hiburan/permainan itu tidak boleh membahayakan (mudharat), misalnya sukan bela diri tanpa latihan yang benar, mendaki gunung tanpa persiapan fizikal atau peralatan yang memadai, dan sebagainya. Jadi kalau sukan bela diri dilakukan dengan latihan yang benar, atau mendaki gunung dengan persiapan yang memadai, hukumnya tidak haram.
Bahaya Hiburan dan Permainan
Banyak bahaya di sebalik hiburan dan permainan saat ini yang berada di bawah kawalan dan pengaruh fahaman kapitalis, antara lain :
Pertama, merosakkan atau melemahkan pemahaman terhadap ajaran Islam. Contohnya drama bersiri atau tayangan TV yang mengandung nilai-nilai yang bertentangan dengan akidah atau Syariah Islam. Di antaranya drama berjudul “Kian Santang” (MNC TV/sebuah drama di Indonesia) yang kerap menampilkan sihir serta makhluk halus/halimunan. Atau “Oh Ternyata” (Trans TV) yang menampilkan berbagai macam bentuk hantu. Atau tayangan “Bukan Empat Mata”, yang pada Jun tahun 2010, pernah menampilkan Atika (bintang tamu Thukul Arwana) yang membaca Basmalah ketika hendak minum wine (khamr/minuman haram).
*hiburan televisyen yang membawa nilai-nilai bertentangan dengan akidah dan syariah Islam seperti filem hantu, sihir, memesongkan syariah dari makna sebenar, atau terkandung pelanggaran syariah yang jelas di dalamnya, dan sebagainya.
Kedua, menjerumuskan pada yang haram. Boleh jadi hiburan atau permainan itu hukum asalnya boleh, tapi akhirnya menjerumuskan pelakunya kepada yang haram. Misalkan, lumba lari pada asalnya boleh. Tapi jika dijadikan sarana untuk perjudian, akan menjerumuskan kepada keharaman dan dosa.
Ketiga, melalaikan yang wajib. Boleh jadi suatu hiburan/permainan asalnya mubah, boleh saja dilakukan, tapi akhirnya membuat pelakunya lupa akan berbagai kewajipan. Misalnya, permainan game online (yang baik tentunya) hukum asalnya boleh. Tapi kalau sampai lupa sekolah, lupa kerja, apalagi lupa solat, maka jatuhnya menjadi dosa.
Keempat, mensia-siakan waktu. Hiburan/permainan tabiat asalnya adalah menimbulkan rasa senang. Maka bahayanya adalah dapat membius pelakunya sehingga lupa waktu atau bahkan mensia-siakan waktu yang sangat berharga, yang semestinya dapat dimanfaatkan untuk hal yang lebih baik, misalnya berdakwah atau memperjuangkan syariah Islam. Padahal waktu hidup manusia di dunia tidaklah lama, tentu sayang kalau hanya dibuang begitu saja tanpa manfaat atau faedah, baik faedah di dunia mahupun faedah di akhirat.
Kelima, membazir harta. Pada umumnya hiburan atau permainan memerlukan biaya/kos untuk memperolehnya. Tentu sayang kalau harta yang kita miliki terhambur percuma hanya untuk menikmati sesuatu yang kurang bernilai. Apalagi kalau hiburan atau permainannya haram, tentulah lebih amat disayangkan.
Akhirnya, marilah kita ingat pesanan Rasulullah SAW berikut, yang aplikasinya sangat luas, di antaranya adalah agar kita berhati-hati terhadap bahaya hiburan dan permainan yang melenakan dan memperdaya. Sabda Rasulullah SAW:
”Manfaatkanlah lima perkara sebelum datang lima perkara lainnya; masa mudamu sebelum masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, waktu luangmu sebelum waktu sempitmu, dan hidupmu sebelum matimu.” (HR Al Hakim, dalam Al Mustadrak ‘Ala As Shahihain, Juz 4, no. 7846, hadis sahih.
Wallahu a’lam.