[Fikrul Islam] Penyelewengan Pemikiran “Dakwah Hanya Mengajak kepada Ibadah”
Para pengemban pemikiran kedua berhujah bahawa Rasulullah SAW mengajak umat Islam untuk beribadah kepada Allah SWT dan tidak mengajak mereka untuk mendirikan Daulah Islamiyah. Menurut mereka, permasalahan paling utama bagi umat Islam ialah beribadah kepada Allah, dan bukan Daulah Islamiyah. Jadi, menurut mereka, tidaklah penting bagi kita untuk mendirikan Daulah Islamiyah, yang penting ialah menyembah Allah.
Untuk menjawab hujah mereka, kita hendaklah menentukan realiti dan realisasi ibadah itu sendiri.
Sebagaimana kita fahami, Allah telah menciptakan manusia untuk beribadah kepadanya. Ibadah kepada Allah bahkan merupakan raison d’entre dari diciptakannya manusia. Kesaksian La ilaha illallah (tidak ada tuhan selain Allah) sendiri bermakna la ma’buda illa Allah (tidak ada yang layak disembah selain Allah). Maksudnya, selain Allah wajib diingkari.
Sementara itu, kesaksian Muhammad Rasulullah (Muhammad adalah utusan Allah) bermakna bahawa ibadah dan ketaatan hendaklah dilaksanakan sebagaimana yang disampaikan oleh Muhammad Rasulullah sahaja. Dengan demikian, ibadah ditujukan semata-mata untuk Allah, dan tidak dilakukan kecuali dengan cara yang telah disyariatkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW. Inilah yang wajib untuk direalisasikan di dalam setiap perkataan dan perbuatan manusia di dalam kehidupannya.
Dengan demikian, ibadah semata-mata harus ditujukan kepada Allah. Ini tidak akan bermakna kecuali ketika ibadah yang dilakukan sesuai dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah. Prinsip yang mendasar ini mesti direalisasikan di dalam setiap tindakan dan ucapan kita di dalam kehidupan harian kita.
Maknanya, seorang muslim, ketika melakukan suatu perbuatan di dalam kehidupan ini dalam rangka merealisasikan tujuan peribadinya, atau merealisasikan tujuan kehidupannya, semata-mata adalah didorong oleh keinginannya untuk memenuhi keperluan fizikal mahupun naluriahnya. Dorongan tersebut bukan hanya menuntut pemenuhan yang lebih banyak dari kebiasaannya. Akan tetapi, pemenuhan keperluan fizikal dan naluriah sebatas apa yang dibolehkan syariat semata-mata, yang dikaitkan dengan faktor keimanan kepada Allah akan menjadikan amal perbuatan seorang muslim di dalam usaha pemenuhan itu dikategorikan sebagai ibadah.
Setiap perbuatan manusia pada dasarnya selalu ditujukan untuk memenuhi hasrat dan keperluannya. Amal perbuatan manusia pada dasarnya mencakup seluruh aspek kehidupan. Dalam konteks inilah, ibadah dianggap sebagai usaha menjadikan setiap perbuatan manusia berjalan sesuai dengan perintah dan larangan Allah.
Hendaknya semua itu dilaksanakan dengan berdasarkan pada keimanan kepadaNya semata. Ketika Anda berkata pada seorang muslim, “Hendaklah Anda mengabdi kepada Allah,” maka yang dimaksudkan tentu bukan sekadar agar kita melakukan solat, zakat, haji, atau ibadah ritual lainnya; sebagaimana yang telah ditulis oleh para fuqaha di dalam bab ibadah. Akan tetapi, yang dimaksudkan tentu sahaja agar dia menjalankan seluruh ketaatan kepada Allah dalam setiap perintah dan laranganNya.
Iman kepada Allah adalah asas atau dasar keimanan, sedangkan ibadah itu sendiri merupakan realisasi setiap perbuatan yang didasarkan pada keimanan terhadapnya. Atas dasar ini, agama seluruhnya adalah ibadah, sedangkan ibadah bererti ketundukan diri kepada Zat yang dilakukan ibadah kepadaNya dengan penuh kepasrahan.
Di antara jenis ibadah dan ketaatan kepada Allah melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar, jihad fisabilillah untuk memerangi orang-orang kafir dan munafik, menegakkan agama Allah di dlam kehidupan umat Islam, menyebarkan dakwah ke tengah masyarakat, serta memelihara kesatuan umat Islam sebagaimana jelas di dalam solat, zakat, dan berdirinya Daulah Islamiyah. Maknanya ibadah kepada Allah meliputi setiap perbuatan manusia yang dilakukan oleh seorang muslim sesuai dengan realiti di tempat dia hidup.
Jika seorang muslim belum menunaikan solat, usaha kita menyuruhnya untuk menunaikan solat ialah termasuk dakwah ke arah ibadah. Demikian pula usaha mendakwahkan puasa, jual beli secara Islam, dan sebagainya. Semua itu merupakan dakwah ke arah ibadah.
Akan tetapi, oleh kerana keimanan kepada Allah adalah dasar bagi setiap ibadah, maka dakwah pada keimanan ini hendaklah lebih diutamakan daripada dakwah kepada solat dan puasa, contohnya. Diharapkan, keimanan yang telah tertanam kuat di dalam objek dakwah yang kita seru inilah yang akan memotivasikan seorang mukmin untuk sentiasa terikat dengan hukum syariat di dalam setiap perbuatannya.
Kita memahami bahawa menegakkan Islam dan berhukum dengan wahyu Allah SWT merupakan salah satu perintah Allah yang wajib ditaati dan dikerjakan seorang mukmin yang beriman kepada Allah. Namun, dakwah seperti ini wajib didahului oleh dakwah ke arah keimanan kepada Allah SWT. Dengan begitu, ibadah akan terealisasi dengan sempurna.
Dalam konteks ini, sebagaimana kita ketahui, umat Islam hidup di bawah naungan sistem kufur, sistem yang tidak berpegang pada hukum-hukum Allah. Maknanya, umat Islam saat ini tidak menjalani kehidupan yang islamik. Dengan demikian, dakwah ke arah usaha penegakan agama secara keseluruhan pada dasarnya merupakan dakwah ke arah ibadah kepada Allah. Hal ini jelas memerlukan perhatian serius dan usaha yang sungguh-sungguh.
Kita wajib mengaitkan dakwah pada aktiviti beribadah kepada Allah dengan pelbagai masalah sekarang ini. Semua ini tercakup di dalam aktiviti dakwah melanjutkan kehidupan Islam. Dalam kehidupan yang islami inilah akan terealisasi ibadah kepada Allah dan wujudnya yang sempurna.
Oleh kerana itu, dakwah untuk mendirikan Daulah Islamiyah pada dasarnya adalah dakwah untuk menegakkan agama secara keseluruhan. Hal ini jelas termasuk ke dalam aktiviti ibadah kepada Allah. Ini kerana, dakwah seperti ini merupakan salah satu perintah Allah yang kita imani. Maknanya, seorang muslim yang tidak melaksanakan aktiviti dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah pada dasarnya telah mengabaikan ibadah kepada Allah.
Walhasil, adanya pemikiran yang menyerukan ibadah kepada Allah sementara menolak seruan untuk menegakkan Daulah Islamiyah, yang justeru merupakan institusi yang dapat menjamin aktiviti ibadah kepada Allah dapat terlaksana dengan sempurna, merupakan pemikiran keliru. Alasannya, pemikiran seperti ini menunjukkan bahawa seolah-olah mendirikan Daulah Islamiyah bercanggah atau tidak produktif dengan ibadah, selain di dalamnya mengandungi usaha untuk membenturkan sebahagian ayat Al-Quran dengan sebahagian ayat yang lain. Tindakan seperti ini jelas haram dilakukan oleh umat Islam.