[Syarah Hadis] Penggunaan Harta Mestilah Sesuai Syariat
Penulis: Yahya Abdurrahman
عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
Abu Barzah al-Aslami berkata: Rasulullah saw. bersabda, “Kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, untuk apa ia habiskan; tentang ilmunya, pada perkara apa ai amalkan; tentang hartanya, dari mana ia peroleh dan untuk apa ia belanjakan; serta tentang tubuhnya, untuk apa ia gunakan.” (HR At-Tirmidzi, Ad-Darimi, Al-Baihaqi, Abu Ya’la, dan Ar-Ruyani).
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Abu Barzah al-Aslami—menurut At-Tirmidzi namanya adalah Nadhlah bin ‘Ubaid—oleh Imam At-Tirmidzi di dalam Sunan At-Tirmidzi hadis nombor 2417; Imam Ad-Darimi di dalam Sunan Ad-Dârimî hadis nomor 554; Imam Abu Bakar al-Baihaqi (w. 458 H) di dalam Al-Madkhal ilâ as-Sunan al-Kubrâ li al-Bayhaqi hadis nombor 393; Abu Ya’la al-Mushili (w. 307 H) di dalam Musnad Abû Ya’â hadis nombor 7434; dan Muhammad bin Harun ar-Ruyani (w. 307 H) di dalam Musnad ar-Rûyânî hadis nombor 1313. Imam at-Tirmidzi mengomentari riwayat tersebut, “Ini merupakan hadis hasan sahih.”
Hadis senada juga diriwayatkan dari jalur Muadz bin Jabal dengan sanad dhaif oleh Ibnu Abi Syaibah (w. 235 H) di dalam Mushannaf Ibni Abiy Syaibah hadis nombor 34694, Abu Bakar al-Bazzar (w. 292 H) di dalam Musnad al-Bazzar hadis nombor 2640, ath-Thabarani (w. 360 H) di dalam Mu’jam al-Kabîr hadis nombor 111 dan Al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Imân hadis nombor 1648.
Juga dari jalur Ibnu Mas’ud oleh Al-Bazzar di dalam Musnad al-Bazzar hadis nombor 1435, Ath-Thabarani di dalam Mu’jam ash-Shaghîr hadis nombor 760, Al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Îmân hadis nombor 1647, dan Abu Bakar ad-Daynuri (w. 333 H) di dalam Al-Mujâlasah wa Jawâhiru al-‘Ilmi hadis nombor 7.
Di dalam hadis ini, Rasul saw. menjelaskan bahawa pada hari kiamat kelak ada empat perkara yang akan ditanyakan. Sebelum selesai pertanyaan itu, kaki seorang hamba tidak akan bergeser. Empat hal itu:
Pertama, tentang umurnya (‘an ‘umurihi). Menurut al-Munawi di dalam Dalîl al-Fâlihîn, yakni kehidupan dan kewujudannya di dunia. Fî mâ afnâhu (untuk apa dia habiskan) di dalam ketaatan atau kemaksiatan.
Kedua, ‘an ‘ilmihi fîmâ fa’ala (tentang ilmunya, dalam perkara apa dia amalkan), yakni kerana Allah secara ikhlas sehingga dia diberi pahala atau riak dan sam’ah sehingga dia dihukum kerananya. Ath-Thibiy menyatakan, dalam hal ini terdapat isyarat bahawa ilmu itu sebelum perbuatan dan menjadi pendahuluannya.
Ketiga, ‘an mâlihi min ayna iktasabahu (tentang hartanya, dari mana dia peroleh; apakah dari yang halal atau yang haram. Wa fîmâ anfaqahu (dan untuk apa dia belanjakan), yakni di dalam ketaatan atau kemaksiatan.
Keempat, wa ‘an jismihi fîmâ ablâhu (dan tentang tubuhnya, untuk apa dia gunakan), yakni dalam ketaatan kepada Allah atau pada selainnya.
Dalam sabda Rasul ‘an mâlihi min ayna iktasabahu wa fîmâ anfaqahu secara dalalah isyarah juga mengisyaratkan bahawa perolehan dan perbelanjaan harta mestilah terikat dengan hukum syariat. Hal itu kerana dalam keduanya mesti dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Pertanggungjawaban itu hanya diterima apabila ianya sesuai hukum syariat.
Dalam hal perolehan, maknanya bahawa harta itu wajib diperoleh dengan sebab kepemilikan yang syarie. Hal itu juga ditegaskan oleh nas-nas yang menjelaskan sebab kepemilikan yang sah (menurut syarak) dan yang dilarang.
Dalam hal penggunaan harta (tasharruf bi al-mâl) juga mesti terikat dengan syariat. Jika dijelaskan, penggunaan harta (tasharruf bi al-mâl) mencakup tiga jenis: perbelanjaan harta (infâq al-mâl), pengembangan kepemilikan (tanmiyyah al-milkiyyah), dan pengembangan harta (tanmiyyah al-mâl). Dalam ketiga jenis itu wajib terikat dengan syariat. Kewajipan itu ditegaskan oleh nas-nas yang mengatur ketiga hal itu.
Dalam perbelanjaan (infâq al-mâl), maka harta wajib dibelanjakan atau dikeluarkan dalam perkara yang diizinkan oleh syariat, yakni dalam yang halal, terutama yang wajib dan sunnah. Nas-nas menegaskan hal itu. Misalnya, dalam surah Ath-Thalaq mewajibkan penunaian nafkah sesuai kemampuan. Perbelanjaan harta dalam bentuk pemberian nafkah kepada orang yang berada di bawah tanggung jawabnya merupakan perbelanjaan harta yang telah ditetapkan oleh syariat.
Dalam perbelanjaan harta, Al-Quran melarang isyrâf (rujuk surah Al-An’am [6]: 141). Imam Az-Zuhri menjelaskan isyrâf dengan mengatakan, “Janganlah kalian membelanjakan harta dalam kemaksiatan.” (Al-Baghawi, Ma’alim at-Tanzil).
Al-Quran juga melarang tabdzîr (rujuk surah al-Israk [17]: 26-27). Imam Qatadah menyatakan, at-tabdzîr adalah menafkahkan harta dalam kemaksiatan kepada Allah, bukan dalam kebenaran, dan dalam kerosakan (kefasidan) (Ibnu Katsir, Tafsir al-Quran al-’Azhim, 5/69).
Perbelanjaan harta juga hendaklah tidak berlebihan dan tidak kikir/bakhil (rujuk surah Al-Furqan [25]: 67).
Dalam hal pengembangan kepemilikan dan pengembangan harta, syariat memberikan beberapa hukum yang tercakup dalam hukum-hukum tentang muamalah seperti syirkah, jual beli dan perdagangan, hukum tanah, pertanian, ijarah, dan sebagainya. Syariat juga menjelaskan batasan-batasan yang berlaku pada muamalah; rukunnya, syarat-syaratnya, bilamana itu sah, batil, atau fasad dan sebagainya. Syariat juga melarang muamalah-muamalah kewangan tertentu.
Semuanya merupakan batasan untuk pengembangan kepemilikan dan pengembangan harta milik, wajib dengan izin dari Asy-Syari’ yakni wajib terikat dengan syariat dan tidak melanggar hukum syariat.
Dalil-dalil tersebut menunjukkan bahawa penggunaan harta baik perbelanjaan, pengembangan kepemilikan, atau pengembangan harta milik wajib terikat dengan ketentuan-ketentuan syariat. Seseorang yang memiliki harta tidak serta-merta diberi kebebasan mutlak untuk menggunakan atau memanfaatkan harta yang dia miliki sesuka dan sekehendak hatinya. Dia hendaklah sentiasa wajib mengikatkan diri dengan hukum syariat yang terkait. Wallahualam wa ahkam.
#harta #hukumsyarak #syarahhadis