[Inspirasi Maulid] Teladan Rasulullah SAW Sebagai Suami
Penulis: Najmah Saiidah
Kini kita sudah memasuki Rabiulawal atau orang sering menyebutnya bulan Mulud, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Lelaki yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.
Ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT bagi kita umat manusia, iaitu dengan mengutus Rasul di tengah-tengah umat manusia. Inilah nikmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada manusia. Pengutusan seorang Rasul untuk menjadi cahaya penerang bagi orang-orang yang tersalah jalan, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang tersesat.
Seterusnya, firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21, menyatakan perkara yang paling utama dan berharga yang ditawarkan oleh Rasulullah SAW kepada manusia setelah ditetapkan jalan hidayah ialah menjadi teladan terbaik (uswatun hasanah) bagi umatnya dalam menempuh jalan menuju Allah SWT, supaya orang yang beriman mengambil apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam setiap perkara yang dibawanya.
Di samping itu, Allah juga memerintahkan kita untuk mengamalkan apa yang dibawa oleh Rasulullah, sebagaimana firman-Nya,
وَمَآ اٰتٰىكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهٰىكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْاۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِۘالْعِقَا
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumannya.” [TMQ al-Hasyr (33): 7]
Apabila masuk Rabiulawal, kita biasanya memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW, mudah-mudahan di yaumil akhir nanti kita mendapat syafaat dari Rasulullah SAW. Selain itu, yang tidak kurang pentingnya ialah mengambil hikmah daripada kejadian ini, iaitu mencintai Rasulullah SAW sepenuh hati dan sentiasa mencontohi baginda tanpa tetapi dan tanpa nanti dalam semua aspek kehidupan. Sudah tentu dalam perkara yang tidak berkaitan dengan kekhususan untuk baginda . Daripada aktiviti mudah sehinggalah kepada penubuhan negara Islam, baginda memberi contoh kepada kita semua.
Bermula dari petunjuk Nabi SAW tentang bagaimana baginda makan, minum, berpakaian, berhias, tidur atau bangun, bermukim atau bermusafir, ketika ketawa atau menangis, serius atau bergurau, dalam suasana ibadat atau pergaulan, berkenaan agama atau urusan dunia, hinggalah petunjuk ketika keadaan aman damai atau ketika peperangan, serta cara berdakwah dan berperang melawan musuh.
Termasuk juga hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, iaitu cara berinteraksi dengan kaum kerabat, orang yang jauh, anak-anak, hingga muamalah dengan isteri-isterinya. Semuanya terakam dan tercatat dalam hadis-hadis dan dalam sirah Nabi Muhammad SAW.
Pada kesempatan ini, kita akan berbicara tentang kehidupan keluarga Nabi Muhammad SAW, khususnya muamalah baginda sebagai seorang suami. Iaitu muamalah baginda dengan isteri-isterinya, menjaga mereka, dan melaksanakan kewajipannya untuk menunaikan hak-hak mereka, antaranya ialah:
1. Rasulullah SAW penyayang dan selalu berlapang dada.
Isteri-isteri Rasulullah SAW pernah memberi pendapat tentang sesuatu dan sering kali baginda menerimanya dengan baik dan melayan mereka dengan lemah lembut. Baginda tidak pernah bersikap kasar atau memukul salah seorang daripada mereka sekali pun. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum kedatangan Islam, kerana wanita sebelum Islam tidak berhak untuk bertanya, berbincang, dan memberi pendapat, apatah lagi meminta sesuatu.
Namun setelah risalah Islam dibawa oleh Rasulullah SAW, wanita dilayan dengan sangat baik.
Umar RA berkata, “Aku marah kepada isteriku, apabila dia membantah pendapatku, aku tidak dapat menerima dia meluruskanku.
Maka dia berkata, “Mengapa kamu tidak menerima pendapatku, demi Allah, bahawa isteri-isteri Rasulullah memberi pendapat mereka kepadanya, bahkan salah seorang daripada mereka marah dan tidak menyapanya selama sehari semalam.”
Umar berkata,“Aku langsung bergegas menuju rumah Hafsah dan bertanya, ‘Adakah kamu memberi pendapat kepada Rasulullah?’ Hafsah menjawab, ‘Ya.’.”
Umar bertanya lagi, “Adakah salah seorang di antara kamu ada yang marah dan tidak menegur Rasul selama sehari-semalam?” Dia menjawab, “Ya.” Umar berkata, “Alangkah ruginya orang yang melakukan demikian di antara kamu.”
2. Muhammad SAW berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan perlakuan adil terhadap isteri-isterinya dalam semua perkara. Baginda berlaku adil kepada isteri-isterinya dalam penyediaan tempat tinggal, nafkah, pembahagian bermalam, dan jadual ziarah. Apabila baginda mengunjungi salah satu rumah isterinya, selepas itu baginda mengunjungi rumah isteri-isterinya yang lain.
Namun, dalam soal cinta, baginda memang mencintai Aisyah RA lebih dari isteri-isterinya yang lain, dan ini sangat manusiawi. Walaupun begitu, baginda tidak pernah membezakan Aisyah RA dengan yang lain selama-lamanya. Walaupun di suatu sisi, baginda beristighfar kepada Allah SWT kerana baginda tidak boleh berlaku adil dalam membahagikan cinta atau perasaan hati kepada isteri-isterinya, kerana isu ini adalah hak prerogatif (ekslusif) Allah SWT sahaja.
Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu, maka jangan mencelaku dengan perkara yang aku tidak ada kuasa.”
Ketika baginda dalam keadaan sakit yang menyebabkan kematian menjemputnya, baginda meminta isterinya yang lain supaya mengizinkan baginda tinggal di rumah Aisyah dan isteri-isteri yang lain bersetuju. Selain itu, apabila baginda bermusafir atau berperang, baginda membuat undian di antara isteri-isterinya. Siapa yang mendapat undian, dia yang akan menemani Rasulullah SAW.
3. Muhammad SAW sentiasa bermusyawarah dengan isteri-isterinya.
Rasulullah SAW sering mengajak isteri-isterinya bermusyawarah dalam pelbagai perkara. Baginda sangat menghargai pendapat mereka.
Padahal, wanita pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam, dilayan seperti barang dagangan semata-mata. Mereka dijual dan dibeli, tidak dihargai pendapat mereka, walaupun ia berkaitan dengan urusan langsung dan khusus untuk mereka.
Islam datang untuk mengangkat martabat wanita bahawa mereka setaraf dengan lelaki, kecuali hak qawwamah atau kepimpinan keluarga, yang berada di tangan lelaki.
Allah SWT berfirman, “Dan wanita-wanita mempunyai hak yang seimbang mengikut kewajipannya menurut cara yang makruf. Namun, suami-suami mempunyai kelebihan satu darjat atas isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Baqarah (2): 228]
Pendapat Ummu Salamah RA pada peristiwa Hudaibiyah, membawa berkat dan keselamatan bagi umat Islam. Ummu Salamah memberi pendapat kepada Rasulullah SAW supaya keluar menemui para sahabatnya tanpa bercakap dengan sesiapa pun sehingga baginda segera menyembelih seekor kambing dan mencukur kepalanya.
Apabila baginda berbuat demikian, para sahabat segera mengikut perintah Nabi SAW, walaupun sebelum itu mereka tidak mahu melaksanakan perintah Nabi SAW kerana merasakan merekalah orang yang rugi dalam peristiwa itu. Mereka melihat syarat-syarat yang dikemukakan oleh orang-orang kafir Quraisy tidak menguntungkan umat Islam.
4. Rasulullah SAW tidak pernah teragak-agak untuk menasihati isterinya.
Rasulullah SAW tidak pernah memandang rendah terhadap perlanggaran hukum syariah atau kesilapan yang dilakukan oleh isteri atau keluarganya. Baginda pasti meluruskannya dengan cara yang baik.
Diriwayatkan dari Aisyah RA, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih baik dalam membuatkan masakan, selain Shafiyah. Dia membuat hidangan untuk Rasulullah SAW dalam rumahku. Serta-merta aku cemburu dan menghempas pinggan berserta isinya. Aku menyesal, seraya berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa kafarat atas kelakuanku?” Rasulullah SAW menjawab, “Pinggan diganti dengan pinggan dan makanan diganti dengan makanan.”
Rasulullah SAW menjadi pendengar yang baik. Baginda memberi peluang kepada isteri-isterinya dengan memberi kebebasan untuk berbicara.
Namun, baginda tidak bertolak ansur dengan kesalahan walaupun sedikit. Aisyah berkata kepada Nabi setelah wafatnya Khadijah RA,“Mengapa engkau selalu mengingat seorang janda tua, padahal Allah telah menggantikanmu dengan yang lebih baik.” Maka Rasulullah SAW marah, seraya berkata, “Sunggguh, demi Allah, Allah tidak menggantikanku dengan yang lebih baik daripadanya. Dia telah beriman kepadaku ketika manusia mengingkariku. Dia menolongku ketika manusia memusuhiku. Aku dikurniakan anak daripadanya, yang Allah tidak memberi melalui selain dia.”
5. Muhammad SAW berkhidmat untuk keluarganya.
Rasulullah SAW sentiasa memberikan khidmatnya ketika di dalam rumah. Baginda selalu bermurah hati menolong isteri-isterinya apabila keadaan menuntutnya. Rasulullah SAW bersabda, “Khidmatmu untuk isterimu adalah sedekah.”
Rasulullah SAW membasuh pakaian, membersihkan sandal dan lain-lain pekerjaan yang diperlukan oleh ahli keluarganya.
Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, Urwah berkata kepada Aisyah, “Wahai Ummul Mukminin, apa yang Rasulullah SAW kerjakan jika baginda bersamamu (di rumahmu)?” Aisyah berkata, “Baginda melakukan (seperti) apa yang dilakukan oleh salah seorang di antara kamu ketika sedang membantu isterinya, baginda memperbaiki sandalnya, menjahit pakaiannya, dan mengangkat air dalam baldi.” [HR Ibnu Hibban]
6. Muhammad SAW sentiasa berhias untuk isterinya.
Rasulullah SAW sangat mengetahui keperluan sorang wanita untuk berdandan di hadapan suaminya, begitu juga dengan seorang lelaki berdandan untuk isterinya. Rasulullah SAW paling kacak dan paling kemas antara manusia lain. Baginda memerintahkan sahabat-sahabatnya untuk berhias untuk isteri-isteri mereka dan menjaga kebersihan dan kekemasan mereka.
Rasulullah SAW bersabda, “Basuhlah pakaian kamu. Sikatlah rambut kamu. Kemaskan penampilanmu, berhiaslah, bersihkanlah diri kamu. Kerana Bani Israil tidak berbuat demikian sehingga wanita-wanita mereka berzina.”
Rasulullah SAW telah mencontohkan bahawa baginda juga suka berhias untuk isteri-isterinya, termasuk memakai minyak wangi pada pakaiannya. Baginda bersabda, “Dua cinta yang ditanamkan kepadaku dari perkara duniawi, (iaitu) wanita dan wangian.”
7. Muhammad SAW kerap bersenda gurau dengan isterinya.
Rasulullah SAW sentiasa menyapa isterinya dengan sapaan yang mesra dan baik. Rasul menyapa Khadijah dengan gelaran “Ya habibi (wahai kekasihku)”. Begitu juga dengan Aisyah yang disapa dengan “Ya humaira‘ (wahai wanita yang pipinya kemerahan)”.
Rasulullah SAW berpesan kepada para suami supaya tetap bersabar dengan sikap wanita yang kurang disenangi.
“Janganlah kamu marah (lelaki muslim/suami) kepada seorang wanita muslimah (isteri). Jika kamu tidak suka peranganinya, maka sukalah dengan perangai yang lain.”
Terdapat juga banyak riwayat yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan sangat baik dengan keluarganya, bergurau senda, dan lemah lembut dengan mereka.
Rasulullah sering berbual sebentar dengan keluarganya selepas solat Isyak, sebelum tidur, dengan perbualan yang menyenangkan. Dari Aisyah RA berkata,“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan.. Kami turun ke suatu tempat. Baginda memanggilku dan berkata, ‘Mari berlumba lari.’”Aisyah berkata, “Kami berdua berlumba lari dan aku menang. Dalam perjalanan lain, Rasulullah SAW mengajak berlumba lari.“ Aisyah berkata, “Pada kali ini baginda mengalahkanku, maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Kemenangan ini untuk membalas kekalahan sebelumnya.’”
Khatimah
Begitulah bagaimana seorang manusia pilihan menjalankan peranannya sebagai seorang suami. Baginda sebagai nabi sekaligus ketua negara dan pada masa yang sama ketua keluarga yang penuh dengan cinta dan kasih sayang mampu memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada isteri-isterinya.
Rasulullah SAW sebagai suami tidak bersikap autoritarian terhadap isteri-isterinya, tetapi bergaul dengan mereka secara makruf. Ini semua menjadi teladan untuk para suami. Semoga Allah memudahkan para suami untuk sentiasa berusaha dan dapat meneladani Rasulullah SAW dalam segala perkara termasuk dalam kedudukannya sebagai ketua rumah tangga, sebagai bukti cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Amin. Wallahua’lam bissawab.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/10/05/12431/