MENEMPATKAN SEMULA KAEDAH “AKHAFFU DHARARAYN”
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman, M.A.
Boleh dikatakan, kaedah dharar (kemudaratan) merupakan kaedah ushul yang paling banyak digunakan, baik sebagai justifikasi hukum mahupun untuk mencari rukhsah (keringanan/pengecualian), terutama dalam konteks-konteks tertentu, misalnya ketika dalam situasi yang dipandang berlakunya pertembungan antara dua kemudaratan; mana yang perlu dipilih. Dari sinilah kemudian lahir kaedah yang dikenali sebagai kaedah akhaffu ad-dhararayn (dua di antara kemudaratan yang lebih ringan), atau ahwan as-syarrayn (dua di antara keburukan yang lebih rendah).
Dengan editorial yang berbeza, kaedah seperti ini antara lain ditemukan dalam karya Al-Ghazali, al-Mustashfâ fî’ ‘Ilm al-Ushûl, hal. 178 dan As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir, hal. 87.
Seperti yang diketahui, ulama ushul telah merumuskan kaedah berikut:
إذَا تَعَارَضَ شَرَّانِ أَوْ ضَرَرَانِ دَفَعَ أَشَدَّ الضَّرَرَيْنِ وَأَعْظَمَ الشَّرَّيْن
“Jika ada dua keburukan atau kemudaratan bertembungan, maka yang lebih berat mudaratnya dan lebih besar keburukannya perlu dihilangkan.”
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوْعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَّرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
“Jika ada dua kemafsadatan bertembungan, maka yang mesti diperhatikan ialah yang lebih besar mudaratnya, dengan melaksanakan yang lebih ringan mudaratnya.”
Kaedah inilah yang kemudian dikenal dengan kaedah: akhaffu ad-dhararayn (dua di antara kemudaratan yang lebih ringan), atau ahwan as-syarrayn (dua di antara keburukan yang lebih rendah).
Mengenai dalil yang dijadikan sandaran, antara lain, sabda Nabi SAW:
«إِذَا الْتَقَى ضَرَرَانِ لِلأَصْغَرِ»
“Jika dua bahaya bertemu maka hendaknya dipilih yang paling kecil (bahayanya).”
Namun demikian, dalam implementasinya, penggunaan kaedah dharar sering tergesa-gesa, malah telah keluar dari konteksnya. Padahal, sebagai hukum syariat, kaedah ini bukanlah dalil, walaupun boleh diturunkan dalam kes-kes lain. Kaedah ini diturunkan sebagai hukum syariat pada kes lain, statusnya seperti tahqîq al-manâth, atau pembuktian fakta. Maknanya, jika fakta yang dimaksudkan dalam hukum tersebut sama dengan kes-kes lain, fakta-fakta lain tersebut adalah fakta yang sama dengan fakta hukum asalnya sehingga hukumnya sama. Oleh itu, untuk mengimplementasikan kaedah ini, perkara pertama yang perlu difahami ialah batasan hukum dharar (kemudaratan) itu sendiri.
Batasan Dharar
Secara etimologi, menurut al-Jurjani, dharar ialah kata dasar dari dharûrah, yang boleh berkonotasi sesuatu yang berlaku, yang hakikat faktanya tidak dapat dielakkan (an-nâzil mimmâ lâ madfa‘ lahu). Sedangkan menurut istilah ulama ushul, dharûrah adalah:
- Sampainya pada batas apabila sesuatu yang dilarang itu tidak diperoleh, maka akan celaka atau binasa, atau hampir (binasa atau celaka).
- Keterpaksaan yang sangat mendesak, yang dikhuatiri boleh menyebabkan kebinasaan atau kematian.
Menurut Muhammad Husayn Abdullah, dharar (mudarat) adalah lawan dari naf‘ (manfaat). Menurutnya, yang termasuk dalam takrifan ini ialah apabila seseorang menimpakan kemudaratan, baik kepada dirinya mahupun orang lain. Dua konteks ini, iaitu menimpakan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain, termasuk dalam keumuman hadis: Lâ dharar wa lâ dhirâr (Tidak ada bahaya dan membalas keburukan dengan keburukan). Sebab, kata dharar dalam hadis tersebut berbentuk nâkirah, yang berada dalam kalimat negatif sehingga berkonotasi umum.
Ruang lingkup hukum dharar ini, menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani merangkumi dua perkara:
- Sesuatu itu sendiri memang berbahaya dan membahayakan sekalipun tidak ada seruan Pembuat syariat yang menunjukkan adanya tuntutan untuk melaksanakan, meninggalkan, atau memilihnya. Status yang berbahaya atau membahayakan itu sendiri telah menjadi dalil pengharamannya, kerana Pembuat syariat telah mengharamkan dharar (perkara yang berbahaya dan membahayakan) tersebut, sebagaimana sabda Nabi saw.:
«لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ»
Tidak ada bahaya dan membalas keburukan dengan keburukan [HR Malik dalam al-Muwaththa’].
- Sesuatu yang pada umumnya telah dibolehkan oleh Pembuat syariat, tetapi di antara satu persatu yang dibolehkan tersebut ada yang membahayakan sehingga satu persatu yang membahayakan atau menyebabkan terjadinya bahaya tersebut boleh menjadi dalil bagi keharamannya. Sebab, Pembuat syariat telah mengharamkan satu persatu perkara yang membahayakan atau menyebabkan terjadinya bahaya, sekalipun secara umum perkara tersebut hukumnya tetap mubah.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada para sahabat dalam Perang Tabuk, ketika beliau telah melewati sebongkah batu, lalu singgah di sana, dan orang-orang pun menimba air dari periginya. Ketika mereka berehat, Nabi SAW bersabda:
«لاَ تَشْرَبُوْا مِنْ مَائِهَا وَلاَ تَتَوَضَّؤُوْا مِنْهُ لِلصَّلاَةِ»
“Jangan meminum airnya dan jangan gunakan untuk berwudhuk untuk (mengerjakan) solat” [HR Ibn Wahab].
Padahal, hukum air secara mutlak tetap mubah, tetapi untuk kes air perigi tersebut hukumnya haram, kerana ia berbahaya.
Dua konteks di atas boleh berlaku untuk benda dan perbuatan. Racun, misalnya, adalah benda yang berbahaya jika diminum, dan boleh membahayakan nyawa peminumnya. Sedangkan tindakan seorang matador yang memancing serangan lembu jantan di arena pertunjukan, misalnya, adalah perbuatan yang berbahaya, dan boleh membahayakan keselamatan si matador. Kerana itu, baik racun mahupun tindakan atau aksi matador tersebut sama-sama diharamkan. Dalil keharamannya terletak pada aspek bahaya yang terdapat di dalamnya. Bagi dollar Amerika pula, sebagai salah satu mata wang asing, misalnya, adalah haram diperjual-belikan ketika membahayakan kestabilan kewangan negara, sekalipun hukum mata wang asing lainnya tetap mubah diperjual-belikan. Begitu juga dengan memberikan informasi kepada rejim yang memusuhi Islam, yang menyebabkan dibungkamkan dakwah dan para pengembannya, adalah haram, sekalipun hukum memberikan informasi tentang dakwah secara mutlak tetap mubah. Mengenai dalil pengharamannya boleh dikembalikan pada hadis sebongkah batu di atas. Seperti yang telah dihuraikan di atas, bahawa dharar (kemudaratan) itu boleh menimpa diri sendiri dan boleh juga menimpa orang lain. Dharar yang menimpa orang lain, iaitu ketika seseorang melakukan sesuatu yang membahayakan orang lain, secara mutlak hukumnya haram.
Adapun dharar (kemudaratan) yang menimpa diri sendiri, iaitu apabila seseorang melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri, maka hukumnya boleh jadi makruh, sunnah, atau haram.
Larangan Rasul kepada para sahabat untuk tidak memasuki kawasan wabak (ardh thâ‘ûn), misalnya, adalah larangan yang tidak mengikat (ghayr jâzim), atau makruh.
Sikap seorang wanita lebih memilih bersabar dengan imbalan syurga atas kesabarannya berbanding didoakan oleh Nabi SAW supaya Allah menyembuhkan penyakitnya (supaya tidak terdedah aurat kakinya tatkala diserang penyakit), adalah contoh perbuatan mudarat yang sunnah.
Sedangkan dharar yang menjadi implikasi dari perbuatan yang secara syarie dibenarkan, seperti jihad dan dakwah, yang boleh mengakibatkan kematian, hukumnya tetap diperintahkan. Kerana itu, adanya dharar yang menjadi implikasi jihad atau dakwah tersebut tidak boleh mengubah hukum yang asalnya wajib menjadi haram, kerana ada mudaratnya. Sebaliknya, mati syahid—sama ada dalam jihad mahupun dakwah—tersebut adalah perkara yang dinyatakan oleh Allah sebagai kebaikan, bukan dharar. Hal ini dipuji oleh Allah dalam firman-Nya:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً
“Di antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Kemudian ada di antara mereka yang gugur (sebagai syahid) dan ada pula di antara mereka yang menunggu-nunggu (giliran untuk mati syahid); mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya)” (TMQ al-Ahzab [33]: 23).
Aplikasi Kaedah Akhaffu ad-Dhararyn
Di samping hadis yang dikemukakan oleh penulis al-Mawâhib al-Jalîl di atas, ada beberapa hadis lain yang boleh dijadikan hujah bagi kaedah ini, antara lain adalah perbuatan Rasulullah SAW, yang sekaligus menunjukkan bagaimana cara Rasulullah SAW menentukan pilihan, apabila dihadapkan pada dua dharar (kemudaratan) yang bertembungan.
Ini berlaku ketika Rasulullah dan para sahabat berperang dalam bulan Ramadan. Berpuasa dalam keadaan seperti ini boleh menyebabkan stamina pasukan tempur tidak berada pada tahap terbaik (prima) dan mengakibatkan tentera Islam mengalami kekalahan di medan perang. Dalam hal ini, Rasul memerintahkan para sahabat agar membatalkan puasa, supaya stamina pasukannya berada dalam keadaan terbaik, dan pada akhirnya mampu menunaikan jihad dengan baik dan sempurna sehingga kemenangan berpihak kepada mereka. Memang, hukum berbuka puasa pada bulan Ramadan adalah haram, tetapi kalah dalam peperangan akibat kerana kekurangan stamina kerana faktor kesengajaan juga haram, bahkan lebih haram berbanding berbuka pada bulan Ramadan. Ini kerana, kalah dalam pertempuran lebih mudarat dan lebih berbahaya bagi umat Islam. Sebab itu, dalam kes seperti ini, Rasulullah SAW memerintahkan agar pasukan perangnya membatalkan puasa mereka. Ini bermakna, beliau memerintahkan para sahabat untuk melaksanakan perbuatan yang tahap keharamannya lebih ringan. Hal ini berlaku dalam konteks ketika dua hukum yang sama-sama mengakibatkan dharar (kemudaratan) tersebut tidak boleh dikerjakan secara bersama-sama pada masa yang sama. Contoh lain, di medan perang, diharamkan tentera Islam merosakkan senjata yang mereka miliki. Sebab, Allah memerintahkan tentera Islam untuk selalu waspada bahkan hendaklah selalu membawa senjata di wilayah pertempuran hatta ketika sedang solat sekalipun.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa [4]: 102, yang bermaksud : “Hendaklah mereka waspada serta memegang senjatanya. Orang-orang kafir itu bercita-cita agar kamu lengah dari senjata dan harta benda kamu lalu mereka menyerang kamu sekaligus.”
Ayat ini menunjukkan bahawa memusnahkan senjata adalah haram kerana ia lebih berbahaya daripada meletakkan senjata. Namun, jika senjata tersebut tidak dimusnahkan diduga kuat akan dikuasai oleh musuh, maka senjata tersebut memang perlu dimusnahkan agar musuh tidak menjadi lebih kuat berbanding umat Islam. Bahkan Rasulullah SAW telah mengharamkan segala sesuatu yang menimbulkan bahaya (dharar) atas umat Islam. Beliau bersabda:
”Tidak ada bahaya dan membalas keburukan dengan keburukan” [HR Ahmad dan Ibnu Majah].
Oleha itu, memusnahkan senjata umat Islam adalah haram dan penguasaan musuh ke atas senjata tersebut juga haram, tetapi memusnahkan senjata tersebut akan menjadi lebih ringan bahayanya. Kerana itu, berlakulah kaedah akhaffu ad-dhararayn.
Namun, jika kedua-dua hukum yang mengakibatkan dharar (kemudaratan) tersebut boleh dilaksanakan serentak, maka hukum mengerjakan kedua-duanya adalah sama-sama wajib. Tidak ada lagi pilihan; yang manakah di antara keduanya yang lebih ringan dharar (mudarat)-nya.
Sebab, dalam kes lain, seperti dalam kes Perang Badar, Rasul tidak memerintahkan pasukan perangnya untuk membatalkan puasa mereka, tatkala puasa mereka itu tidak mengakibatkan kehilangan stamina terbaik mereka. Namun demikian, ketika seseorang tidak berada dalam konteks untuk memilih salah satu di antara dua dharar tersebut, maka dalam konteks seperti ini juga tidak ada pilihan; manakah antara keduanya yang paling ringan dharar-nya.
Misalnya, penyetempatan/lokalisasi (menghadkan pada suatu tempat atau persekitaran) pelacuran yang jelas-jelas dharar itu dihukumi jâiz (tidak haram) dengan alasan mengelakkan dharar yang lebih besar, iaitu berkembangnya transaksi seks liar. Ini adalah contoh penggunaan kaedah akhaffu ad-dhararyn yang salah. Sebab, kedua-dua bentuk dharar tersebut merupakan pelanggaran hukum syariat yang boleh dihindari dan dicegah, dan tidak memerlukan masyarakat untuk memilih salah satu antara keduanya.
Kesimpulan
Dari huraian di atas boleh disimpulkan, bahawa penggunaan kaedah Akhaffu ad-Dhararyn tersebut mestilah memperhatikan ketentuan-ketentuan berikut:
- Jika setiap dharar tersebut mempunyai kedudukan yang sama—sama-sama berbahaya dan membahayakan, sedangkan masing-masing tidak boleh dielakkan (sama ada dengan meninggalkan perintah atau melaksanakan larangan)—maka yang perlu dipilih ialah yang manakah di antara dua dharar tersebut paling ringan. Di sinilah, kaedah akhaffu ad-dhararayn tersebut terpakai.
- Jika setiap dharar tersebut mempunyai kedudukan yang sama—sama-sama berbahaya dan membahayakan, sedangkan masing-masing boleh dielakkan (sama ada dengan melaksanakan perintah ataupun meninggalkan larangan)—maka tidak boleh memilih yang mana di antara dua dharar tersebut paling ringan. Dalam hal ini, kaedah akhaffu ad-dhararayn tersebut jelas tidak terpakai.
- Ketika seseorang tidak berada dalam konteks untuk memilih salah satu daripada dua dharar tersebut, maka dalam konteks seperti ini juga tidak ada pilihan; manakah antara keduanya yang paling ringan dharar-nya. Dalam hal ini, kaedah akhaffu ad-dhararayn tersebut jelas tidak boleh digunakan.
Wallaahu a’lam.