[Nafsiyah] Supaya Istiqamah dalam Kebaikan
Penulis: Faizah Rosyidah
Antara cara agar kita boleh istiqamah di jalan Allah ialah:
Pertama, meluruskan niat untuk sentiasa taat kepadaNya dengan melakukan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan apa yang dilarangNya, semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Maksudnya, jangan mengharapkan perhatian, pujian, ucapan terima kasih, pahala, atau apa pun daripada manusia. Kerana berharap pada manusia hanya akan membawa kita kepada kekecewaan dan membahayakan kesinambungan amal kebaikan yang kita lakukan.
Amalan baik yang kita lakukan pun sia-sia dan tidak bermakna di sisi Allah sebagai sebuah amal soleh. Rugi bukan? Sudahlah di dunia tidak mendapatkan apa yang kita harapan, di akhirat juga tidak bernilai apa-apa.
Sebenarnya, jika kita ikhlas melakukan kebaikan dan mengikut tuntutan syariat maka walaupun tidak difikirkan di hadapan manusia catatan amalan kebaikan ini di sisi Allah tetap bernilai. Ingatlah, pahala yang Allah berikan itu jauh lebih baik untuk setiap perincian kebaikan yang kita lakukan tanpa sedikit pun terlepas dariNya. Kerana Allah adalah sebaik-baik Pemberi Balasan.
هُنَالِكَ ٱلْوَلَٰيَةُ لِلَّهِ ٱلْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا
“Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah , Tuhan yang sebenar-benarnya . Dia lah sebaik-baik pemberi pahala dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).” [TMQ al-Kahfi (18) : 44]
Pahala yang kita dapat dalam beramal akan mengikut apa yang kita niatkan. Sebagaimana disebutkan dalam hadis berikut,
إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap amalan hanyalah tergantung dengan niat-niatnya dan setiap orang hanya akan mendapatkan apa yang dia niatkan, maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang ingin diraihnya atau kerana wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya adalah untuk apa yang dia hijrah.” [HR Bukhari-Muslim dari Umar bin Khattab ra.]
Kedua, untuk tetap istiqamah dalam melakukan kebaikan, maka seorang muslim hendaklah sentiasa menyegarkan kembali pemahamannya, bahawa konsep syahadat adalah mengabdikan setiap episod kehidupan kita hanya untuk beribadah sesuai tuntunanNya. Hal ini adalah konsep keimanan kita dan merupakan kewajipan kerana kita adalah seorang muslim.
Ketiga, mendekatkan diri kepada al-Quran, mentadaburinya, serta banyak mengkaji/menimba ilmu dan tuntunan agama. Ini kerana al-Quran adalah petunjuk.
Mempelajari islam akan menjadikan kita tidak tersilap langkah dan tidak akan terjerumus ke dalam kesesatan. Mempelajari Islam akan menjadi kekuatan dan penjaga yang memotivasikan diri kita untuk istiqamah dalam kebaikan.
Tumbuhkan motivasi dalam diri kita untuk beramal. Malah motivasi yang lahir atas kesedaran tentang hubungan kita dengan Allah akan mendorong kita untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memudahkan kita untuk istiqamah di jalanNya.
Keempat, perbaiki lingkaran persahatan dan pergaulan kita. Pastikan kita hanya rapat dan bergaul dengan orang-orang soleh yang sama-sama sukakan kebaikan, menghargai kebaikan, dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan.
Kerana persekitaran persahabatan/pergaulan kita juga akan mempengaruhi. Banyakkan bergaul hanya dengan orang-orang soleh yang boleh menjadi kawan yang memberi semangat dalam beribadat dan sentiasa menjaga kita dalam kebaikan. Sebagaimana disebutkan dalam hadits berikut:
Dari Abu Musa Al-Asy’ariy RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة
“Perumpamaan teman duduk yang baik dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi dia akan memberi kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli daripadanya atau kamu akan mendapat bau harum daripadanya. Adapun tukang besi, boleh jadi dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau busuk daripadanya.” [HR Bukhari No. 2101, Muslim No. 2628]
Kelima, berdoa dan mohonlah kepada Allah SWT., Sang Pembolak-balik Hati agar menetapkan hati kita dan memudahkan kita untuk tetap istiqamah di jalan yang benar. Di antara doa yang boleh kita panjatkan agar diberi kekuatan untuk istiqamah adalah sebagai berikut,
يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” [HR Tirmidzi 3522, Ahmad 4/302, al-Hakim 1/525]
Semoga Allah SWT membolehkan dan memudahkan kita untuk sentiasa istiqamah di jalan ketaatan dan kebaikan. Wallahualam.
#Nafsiyah #istiqamah #perjuangan #dakwah #dakwahislamkaffah