[Siri Ayuh Umat Bangkit] Faktor yang Menyebabkan Seseorang Mendapat Manfaat daripada Al-Quran
1. Kemahuan (Kehendak)
Perkara pertama yang diperlukan agar kita dapat memetik manfaat daripada Al-Quran adalah kehendak. Seseorang yang tidak mempunyai kehendak untuk belajar tidak akan mendapat pertolongan Al-Quran. Allah akan memberikan kepada mereka yang mahu sahaja.
Kehendak mempunyai nilai yang besar di sisi Allah. Kehendak untuk memperbaiki diri, rasa tidak suka dengan keadaan buruk yang menimpanya dan kehendak menuju pada kebenaran adalah prasyarat menuju jalan yang benar. Kita bertaubat kepada Allah dan menumbuhkan keinginan untuk bergerak menuju perubahan positif.
“.. dan (Allah) memberi petunjuk orang yang bertaubat kepada-Nya.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 27]
“.. dan (Allah) memberi petunjuk buat orang yang kembali (kepada-Nya).” [TMQ Asy-Syūra (42): 13]
2. Dengar dan Taat
Al-Quran adalah petunjuk dan perkara seterusnya yang diperlukan adalah mendengar dan memperhatikan. Seseorang yang tidak mendengar tidak akan bertindak sesuai dengannya.
“(iaitu) mereka yang mendengar kata-kata lalu mengikut apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.” [TMQ Az-Zumar (39): 18]
Mendengar tanpa memberikan perhatian sahaja tidak cukup. Praktikal atau latihan sangat berpengaruh dalam hal ini. Pengetahuan tanpa amal adalah kemiskinan rohani, oleh sebab itu, mengikuti apa yang telah dibaca atau didengari adalah keperluan yang mutlak.
3. Takut
Dasar bagi mendapatkan manfaat Al-Quran adalah kesedaran dan rasa takut terhadap Allah. Apabila seseorang tidak mempunyai perasaan tentang apa pun, dia tidak akan sedar ataupun faham. Al-Quran akan memberikan kebaikan kepada mereka yang mempunyai perasaan kepada Allah SWT dan kecintaan yang mendalam di dalam hati mereka. Namun bagi siapa pun yang dingin kepada Al-Quran dan mendengarnya tanpa perhatian, mereka tidak akan mendapatkan kehangatan iman daripada Al-Quran.
“Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan engkau (Muhammad) bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka berilah peringatan dengan Al-Quran kepada sesiapa yang takut kepada ancaman-Ku.” [TMQ Qaf (50): 45]
4. Keyakinan (Beriman) kepada Perkara Ghaib
Perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah, wahyu, malaikat, Hari Kiamat, syurga dan neraka adalah perkara yang berada di luar realiti alam fikiran. Kesemua ini termasuk dalam kategori dunia ghaib di mana orang-orang beriman wajib meyakininya.
Mereka yang terikat dengan persepsinya sendiri dan terjebak dalam materialisme, kemudian menolak apa-apa yang tidak sesuai dengan jangkaan dan logik mereka adalah mereka yang tidak ada kesedaran terhadap hakikat beragama. Bahkan ini menjadikan mereka sangat sukar untuk terikat dengan agama. Mereka tidak akan beruntung dengan Al-Quran, dan akan menemukan kesukaran dalam memahami Al-Quran. Oleh sebab itu, Al-Quran meng-highlight aspek iman pada perkara ghaib ini sebelum berbicara perkara syariat.
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” [TMQ Al-Baqarah (2): 2-3]
5. Renungan Mendalam
Kontemplasi atau renungan mendalam akan membuat pembacanya merenungi ayat-ayat Al-Quran. Al-Quran memuji orang-orang beriman yang membacanya dengan pemahaman dan tidak mengikutinya sebagaimana orang buta dan tuli,
“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” [TMQ Al-Furqan (25): 73]
“Tidakkah mereka menghayati Al-Quran atau apakah hati mereka sudah terkunci?” [TMQ Muhammad (47): 24]
“Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) Al-Quran? sekiranya Al-Quran itu bukan daripada Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.” [TMQ An-Nisa’ (4): 82]
6. Kesungguhan
Kesungguhan (mujahadah) diperlukan dalam merenung dan memahami Al-Quran Al-Karim. Al-Quran bukanlah buatan manusia di mana pembaca dapat memahami maksud teks ya sekadar melalui intelektualitinya semata-mata. Ketika seseorang berusaha keras untuk melaksanakan tuntutan nilai akhlak yang baik dan membersihkan jiwanya (tazkiyah), maka kasih sayang Allah akan menolongnya, dan Allah akan bukakan hatinya serta menanamkan pemahamannya terhadap Al-Quran.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.” [TMQ Al-Ankabüt (29): 69]
Oleh yang demikian, seseorang bersungguh-sungguh untuk mencapai tujuan tertentu dan berkorban untuk mendapatkannya, maka usahanya akan membawanya meraih kebahagiaan daripada membaca Al-Quran.
7. Perhatian
Agar kita dapat mengambil pelajaran, mendapatkan petunjuk, dan manfaat, menerangi hati dan memberi nutrisi bagi jiwa, perlu difahami dalam minda, bahawa Al-Quran bukanlah ensiklopedia atau sekumpulan peraturan yang boleh dibaca dengan cara apa pun (sesuka hati). Al-Quran bukanlah kalam manusia, Al-Quran adalah kalam Allah, raja dari segala raja.
“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” [TMQ Al-Hasyr (59): 23]
Secara fitrahnya, siapapun yang beradaptasi dengan Al-Quran dan mengenal Allah yang telah menurunkannya, tidak mungkin tidak melainkan pasti akan terkesan dengannya (Al-Quran).
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” [TMQ Al-Anfal (8): 2]
Mereka membacanya dengan penuh khidmat di mana mereka menyedari bahawa penulisnya adalah Sang Raja Diraja. Mereka membacanya sebagaimana mereka sedang membaca pesan yang berasal daripada orang yang paling mereka cintai, mereka yang selalu rindu dan sentiasa ingin dekat dengannya. Mereka yang membacanya sebagaimana orang yang kehausan dan menemukan mata air, begitu sejuk setiap kali meneguknya.
Sumber: Revive your Dakwah (Ayu Paranitha)
#muhasabahdakwah #DakwahIslamKaffah #ReviveYourDakwah