Merawat Ketakwaan Pasca Ramadhan
Ramadhan telah berlalu. Pelbagai kenikmatan dan kebaikan yang Allah berikan sepanjang bulan itu kini telah terhenti. Tinggal bagaimana umat Islam menghadapi sebelas bulan akan datang sambil berharap Ramadhan berikutnya akan tiba.
Walaupun Ramadhan telah berakhir, ketakwaan mesti terus disemai. Bukankah tujuan ibadah puasa sepanjang Ramadhan lalu adalah untuk melahirkan peribadi-peribadi yang bertakwa? Ia bukanlah ketakwaan bermusim yang hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Sebaliknya, ketakwaan yang terus mengisi kehidupan umat sepanjang zaman.
Tiga Golongan Manusia
Berkaitan dengan Ramadhan, terdapat tiga golongan manusia:
Pertama: Golongan Muslim yang sebelum dan selepas Ramadhan sama sahaja. Kedua-duanya mengabaikan ketaatan kepada Allah SWT. Ada atau tiadanya Ramadhan tidak memberi kesan apa pun kepada mereka. Manusia dalam kelompok ini adalah yang paling celaka. Hati mereka telah terkunci akibat banyaknya perbuatan dosa yang mereka lakukan. Panggilan agung menuju ketakwaan tidak memberi kesan kepada mereka. Inilah yang disebut oleh Allah SWT sebagai kelompok haiwan ternakan:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيْرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْاِنْسِۖ لَهُمْ قُلُوْبٌ لَّا يَفْقَهُوْنَ بِهَاۖ وَلَهُمْ اَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُوْنَ بِهَاۖ وَلَهُمْ اٰذَانٌ لَّا يَسْمَعُوْنَ بِهَاۗ اُولٰۤىِٕكَ كَالْاَنْعَامِ بَلْ هُمْ اَضَلُّۗ اُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْغٰفِلُو
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (TMQ al-A’raf [7]: 179). [surah.my]
Kedua: Golongan Muslim yang sebelum Ramadhan jauh dari Allah SWT dan sering mengabaikan ibadah. Namun, ketika Ramadhan tiba mereka bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah (puasa, tadarus dan tarawih sepanjang Ramadhan). Kemudian apabila bulan mulia itu berlalu, rangkaian amalan soleh itu kembali menghilang. Mereka yang tergolong dalam golongan ini adalah apa yang disebut oleh ulama salafus-soleh sebagai “Hamba Ramadhan”. Mereka hanya mahu mendekati Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahulLaah berkata, “Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal hak Allah, kecuali hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Sesungguhnya orang yang benar-benar soleh itu adalah orang yang istiqamah beribadah dan bersungguh-sungguh (taat kepada Allah SWT) sepanjang tahun.” (Ibnu Rajab, Lathaa’if al-Ma’aarif, hlm. 222).
Ketiga: Golongan Muslim yang sebelum Ramadhan memang sudah dekat dengan Allah SWT. Mereka sentiasa bersungguh-sungguh mematuhi peraturan Allah. Apabila datang bulan Ramadhan ketaatan mereka semakin bertambah. Setelah Ramadhan pun mereka tetap berusaha keras menjaga ketaatan tersebut. Inilah golongan yang beruntung kerana mereka terus-menerus memelihara ketakwaan mereka sepanjang tahun. Malah setiap kali Ramadhan datang, bertambah lagi ketakwaan mereka.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًۭا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kalian bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqān (kemampuan membezakan antara yang haq dan yang batil) kepada kalian, menghapus segala kesalahan kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Allah memiliki kurnia yang besar.” (TMQ al-Anfal [8]: 29).
Tanda Kejayaan Ramadhan
Seorang Muslim yang kekal khusyuk selepas Ramadan menunjukkan bahawa ibadahnya sepanjang bulan itu telah diterima. Sebaliknya, jika ketakwaan ikut pudar bersama berakhirnya Ramadhan, itu tanda amal-amalnya selama bulan Ramadhan ditolak. Sekurang-kurangnya, itulah yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, “Kembali berpuasa (iaitu berpuasa sunat pada bulan Syawal) selepas selesai menunaikan puasa Ramadhan adalah salah satu tanda amalan puasa Ramadhan itu diterima oleh Allah SWT. Ini kerana, jika Allah menerima amalan seorang hamba, Allah akan memberikan dia taufik untuk melakukan amalan soleh seterusnya selepas itu. Seperti yang dikatakan oleh sebahagian ulama, ‘Imbalan (pahala) atas kebaikan adalah kebaikan berikutnya.’ Oleh kerana itu, sesiapa yang melakukan kebaikan, kemudian dia mengikutinya dengan kebaikan selanjutnya, maka itu tanda amalan kebaikan sebelumnya diterima oleh Allah SWT. Sebaliknya, sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan, lalu setelahnya dia mengikutinya dengan amalan jahat, maka itu adalah tanda kebaikan tersebut telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.” (Ibnu Rajab, Lathaa-if al-Ma’aarif, hlm. 388).
Apatah lagi, jika seorang hamba justeru merancang kembali pelbagai kemaksiatan selepas Ramadhan berakhir. Itu adalah keburukan yang luar biasa. Imam Ibnu Rajab an-Hanbali mengingatkan, “Sesiapa yang memohon ampun secara lisan, tetapi hatinya terikat pada kemaksiatan, dan merancang untuk kembali melakukan maksiat selepas bulan puasa, maka puasanya ditolak dan pintu penerimaan taubat ditutup.” (Ibnu Rajab, Lathaa-if al-Ma’aarif, hlm. 484).
Merawat Ketakwaan
Oleh itu, sesiapa sahaja yang ingin amalan-amalan baik mereka sepanjang Ramadhan diterima oleh Allah SWT, dia hendaklah merawat dan mewujudkan ketakwaan hakiki dalam dirinya. Terdapat beberapa langkah yang mesti dilakukan.
Pertama: Menjadikan redha Allah sebagai tujuan tertinggi dalam hidup. Orang yang bertakwa akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan redha Allah walaupun dia harus mengorbankan dunianya dan mendapatkan celaan dari manusia. Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
“Sesiapa sahaja yang mencari redha Allah meski dia harus dimurkai oleh manusia, maka Allah akan menjaga dirinya dari gangguan manusia. Sesiapa sahaja yang mencari redha manusia, tetapi dengan membuat Allah murka, maka555l; Allah akan menyerahkan dirinya kepada manusia.” (HR at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban).
Kedua: Mewujudkan rasa takut hanya kepada Allah SWT. Dengan memiliki rasa takut kepada Allah SWT maka seorang Muslim akan terjaga dari perbuatan maksiat. Seterusnya, dia akan bersungguh-sungguh menjalankan perintah-Nya. Allah SWT berfirman:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
“Lambung mereka jauh dari tempat tidur mereka. Mereka selalu berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut dan harap. Mereka pun menafkahkan rezeki yang Kami berikan (di jalan Allah).” (TMQ as-Sajdah [32]:16).
Ketiga: Menerima Islam secara kaffah dan tidak memilih-milih peraturan Allah SWT. Dia akan sentiasa berusaha khusyuk dalam beribadah, sekaligus berusaha bersungguh-sungguh menjalankan hukum-hukum Islam dalam bidang sosial, ekonomi, ketenteraan, politik dan pemerintahan, dan sebagainya. Allah SWT berfirman:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْىٌ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلْعَذَابِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (TMQ al-Baqarah [2]: 85). [Surah.my]
Keempat: Tidak menunda-nunda dalam melakukan amal soleh, terutama amal-amal yang wajib. Nabi SAW memerintahkan kita agar bersegera dalam mengerjakan amal soleh sebelum datang fitnah yang menyulitkan kehidupan. Sabda baginda:
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ
“Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (kesulitan) seperti potongan malam yang gelap.” (HR Muslim).
Kelima: Memberikan al-walaa’ (kesetiaan) hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, serta al-baraa’ (berlepas diri) daripada orang-orang kafir. Ketakwaan menuntut dua perkara ini. Mustahil untuk mencapai darjat takwa, sementara masih setia bersekutu/terikat dengan kaum kufur, seperti Amerika Syarikat dan zionis Yahudi. Padahal Allah SWT telah berfirman:
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat itu saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya” (TMQ al-Mujadilah [58]: 22).
Keenam: Bersabar dalam ketaatan. Sesungguhnya menjadi hamba Allah yang bertakwa akan menghadapi pelbagai ujian. Termasuk cemuhan dan permusuhan daripada orang-orang kafir dan orang-orang fasik. Setiap Muslim yang ingin mewujudkan ketakwaan selepas Ramadhan mestilah bersabar menghadapi semua cabaran tersebut. Nabi SAW bersabda:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ القَابِضُ عَلَى دِيْنِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْر
“Akan datang kepada manusia suatu zaman saat orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.” (HR at-Tirmidzi).
Syeikh Al-Mubarakfuri memetik kata-kata Al-Qari, “Tidak mungkin menggenggam bara api kecuali dengan kesabaran yang luar biasa dan menanggung kesusahan yang sangat berat. Ini boleh berlaku pada zaman di mana tidak lagi mungkin untuk membayangkan bagaimana untuk menjaga agama, kecuali dengan kesabaran yang tinggi.” (Al-Mubarakfuri,Tuhfah al-Ahwadzi, 6/444, Maktabah Syamilah).
Penutup
Semoga Allah SWT menguatkan iman dan takwa kita selepas Ramadhan. Semoga Allah SWT juga menguatkan diri kita dalam perjuangan menegakkan syariat Islam secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan, dalam institusi pemerintahan Islam (Khilafah). Hanya dengan itulah kehidupan Islami kembali dilaksanakan dan kita pun kembali meraih kemuliaan.
—*—
Hikmah:
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ لِلْمُتَمَسِّكِ فِيهِنَّ يَوْمَئِذٍ بِمَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ
“Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran. Orang yang tetap berpegang teguh pada ajaran agamanya di zaman itu akan mendapatkan pahala yang setara dengan amal-amal 50 orang dari kalian (para sahabat Nabi SAW). (HR Abu Dawud).
#Ramadhan #Syawal #Takwa #istiqamah #AmalSoleh