[FOKUS TSAQAFAH] Tajdid Agama (Bahagian 3)
Penulis: Prof. Yusuf Al-Sarisi (Palestin)
Penyebaran pandangan positif terhadap istilah “evolusi” dalam ruang lingkup global -termasuk kaum muslim- merupakan perkara yang sangat berbahaya. Kerana itu, kita perlu meluruskan segala penyimpangan terhadap istilah ini, menggantikannya dengan istilah lain yang lebih tepat dan bersesuaian dengan hakikatnya serta tidak lagi menggunakan istilah yang keliru.
Evolusi adalah berpindahnya sesuatu dari satu fasa ke fasa lain yang bermaksud perubahan sesuatu menuju keadaan yang lebih baik dalam bentuk yang bertahap. Evolusi menurut pandangan Barat berkaitan dengan pemodenan, peradaban dan kemajuan.
Pemodenan dan peradaban pada hakikatnya adalah perkataan yang dekat dengan makna evolusi, jika tidak ditetapkan atas suatu makna. Bagi Barat, kedua kata tersebut termasuk dari sinonim evolusi.
Melakukan evolusi terhadap agama bermaksud mengubahnya agar dapat mengiringi peradaban dan kemodenan serta menghilangkan segala hal yang menghalangi evolusi agama ke arah yang lebih baik.
Adapun tajdid (pembaharuan) adalah menjadikan sesuatu seperti sebuah perkara yang baru atau mengembalikannya kepada gambaran asal. Memperbaharui baju contohnya, adalah memperbaiki dan menghilangkan segala hal yang melekat padanya agar baju itu boleh kembali seperti baru.
Begitu juga dengan pembaharuan alat. Memperbaharuinya adalah dengan membersihkan dan memperbaikinya agar kembali seperti semula agar boleh digunakan sesuatu kegunaan alat tersebut dan menjadikannya seolah-olah baru digunakan.
Kesimpulannya, tajdid adalah mengembalikan sesuatu kepada asalnya dan keadaan awalnya agar boleh digunakan sesuai dengan fungsi penciptaannya.
Mengenai perbezaan antara evolusi dan tajdid dari sudut pemikiran, maksud evolusi bukanlah melestarikan intipati sesuatu dan mengembalikan sebagaimana asalnya.
Makna evolusi sebenarnya adalah mengubah sesuatu agar dapat mengiringi peradaban moden dan menghilangkan pemikiran-pemikiran (yang menghalang perubahan dan perpindahan) kepada moderniti yang terus berkembang walaupun hal itu perlu mengubah intipati dan keadaan asal sesuatu perkara tersebut.
Adapun tajdid, maknanya adalah memperbaiki sesuatu dan menghilangkan segala yang asing dengan tetap menjaga intipati dan keasliannya.
Kerana itu, maksud “melakukan evolusi terhadap agama” adalah mengubah pemikiran-pemikiran miliknya kepada bentuk yang mengiringi peradaban moden serta menghilangkan penghalang pergerakannya menuju keadaan yang lebih utama.
Kesannya, akan terjadi kemasukan beberapa pemikiran asing ke dalam agama termasuk pemikiran yang bertentangan dengan asas agama dengan alasan bahawa pemikiran tersebut berperadaban dan moden sehingga agama dapat berevolusi dengannya.
Sedangkan tajdid agama, maknanya adalah memperbaiki pemahaman agama, mengembalikannya seperti ketika wahyu turun dengan cara memahami fakta nas-nas syarie dengan bentuk yang benar dan menghilangkan hal-hal yang melemahkan pemahaman dan apa jua yang asing yang melekat dengannya.
Dengan demikian, “tajdid agama” merupakan proses memurnikan pemikiran juga proses memperjelas dan menyucikan agama dari faktor-faktor pengaburan, penyesatan dan penyimpangan.
Istilah “evolusi” digunakan oleh sebahagian pihak dengan maksud suatu hal yang memiliki kualiti terbaik (al-ihsan) dan perbaikan (al-tahsin) yang bermakna mengemukakan yang terbaik dalam pemahaman terhadap sesuatu dan fenomena dan bermakna kualiti yang tinggi dalam ketelitian industri.
Akan tetapi, makna seperti ini sama saja seperti mencampuradukkan konsep al-ihsan dan evolusi. Sedangkan, sesuatu yang memiliki kualiti terbaik (al-ihsan) boleh terdapat pada hal-hal yang bersifat lama, juga boleh ada pada hal-hal baru. Tetapi dalam evolusi, hal yang baru perlulah lebih baik dan lebih bagus dari yang lama. Ini kerana evolusi adalah perpindahan dari satu keadaan ke keadaan yang lebih baik.
Teori evolusi di Barat menuntut segala sesuatu yang baru untuk lebih maju dan lebih baik daripada yang lama serta mengharuskan tidak terjadinya suatu kemunduran dalam sejarah. Namun, sejarah membuktikan bahawa kualiti terbaik dan perbaikan boleh terdapat pada hal lama dan juga hal yang baru.
Kualiti terbaik tidak ada hubungannya dengan zaman dahulu dan sekarang. Kualiti terbaik berhubungan dengan tata cara pemahaman dan pelaksanaan sesebuah perkara. Sebagai contoh, ilmu bahasa, usuluddin dan fikih merupakan ilmu zaman dahulu, tidak didapati dari ulama-ulama sekarang yang mendekati (kemampuan) ulama-ulama zaman dahulu yang menemukan ilmu-ilmu itu, memahaminya dengan baik dan mengarang kitab dalam berbagai disiplin ilmu.
Adapun mengenai kekeliruan hubungan evolusi dengan industri moden, pada hakikatnya, evolusi industri lahir dari keberadaan ideologi baru di Eropah yang menghasilkan kebangkitan dalam segala bidang termasuk bidang sains dan industri. Semua ini tidak ada sangkut pautnya dengan pemutaran waktu. Buktinya, ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam dahulu telah maju dan canggih tetapi mengalami kemunduran dan ketertinggalan seiring kemerosotan pemikiran di kalangan umat Islam.
Oleh sebab itu, kita perlu meninggalkan penggunaan istilah “evolusi” dan menggunakan istilah yang lebih baik, lebih tepat dan lebih benar iaitu istilah “kualiti terbaik.”
Bila tajdid atau evolusi diperlukan?
Ketika masalah suatu masyarakat semakin menambah sementara sistem dan undang-undang gagal menyelesaikannya ataupun masalah menimbun antara satu sama lain tanpa ada jalan keluar, tentu masyarakat akan mencari punca kerumitan masalah tersebut, kemudian mencari jalan keluarnya dengan memperbaharui atau melakukan evolusi terhadap sistem hukum ini. Ini juga dilakukan dalam hal-hal terkait pemikiran dan konsep kemasyarakatan.
Penyelesaian ini mungkin merupakan langkah yang benar apabila sistem, undang-undang dan konsep itu tidak bersumber dari landasan berfikir yang sahih dan pasti seperti sistem, undang-undang dan konsep buatan manusia.
Dalam keadaan seperti ini, terdapat justifikasi untuk melakukan evolusi serta pemodenan pemikiran dan undang-undang dengan tujuan mencari penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi masalah manusia, mencari konsep yang lebih baik yang dapat mengiringi peradaban, pemodenan dan kemajuan.
Akan tetapi, apabila pemikiran dan undang-undang ini berasal dari kaedah berfikir yang sahih dan pasti (agama Illahi) yang berasal dari Sang Pencipta manusia, hanya tajdidlah yang boleh digunakan, evolusi dan modernisasi tidak boleh digunakan sama sekali.
Islam adalah agama Allah dimana kebatilan tidak datang kepadanya, baik dari depan mahupun belakang. Islam berasal dari Sang Pencipta manusia dan Dia lebih mengetahui terhadap apa saja yang sesuai untuk manusia dari segi idea, peraturan dan undang-undang.
Kerana itu, manusia tidak boleh menyentuh dasar dan intipati agama ini mahupun apa saja yang dibawanya dari hukum-hukum syariat kerana semua itu merupakan bahagian dari wahyu Illahi.
Walhasil, tidak ada ruang bagi evolusi dan pemodenan dalam agama Islam kerana Islam adalah agama Illahi dari Yang Maha Bijaksana.
Tujuan dibuatnya idea evolusi adalah untuk memasukkan idea-idea dari peradaban kapitalisme Barat ke dalam Islam di bawah slogan peradaban, medernisasi dan perkembangan. Inilah alasan tambahan yang menjadikan kami berkeras mengatakan bahawa agama Islam tidak memerlukan evolusi.
Mereka menganjurkan evolusi, tetapi pada kenyataannya membuat Islam hanya bertaklid buta pada peradaban yang sedang berkuasa. Peradaban kapitalisme dan ideologinya dibuat oleh manusia, maka pastinya ia akan ada segala macam kesalahan, kecacatan dan kekurangan di samping kerosakan peradaban itu sendiri pada asas dan kaedah berfikirnya. Ditambah lagi kegagalannya dalam penerapan secara praktikal, bencana yang dia berikan pada dunia juga kejahatannya terhadap orang-orang non-Eropah.
Alasan diperlukan adanya tajdid agama, walaupun Islam merupakan agama Illahi yang tidak mengalami perubahan mahupun evolusi adalah kerana sesuatu yang disebut “tajdid” tidak terkait dengan perubahan berbagai nas agama (Al-Quran mahupun hadis), juga tidak terkait perubahan dan perkembangan bahasa Arab. Hal itu kerana -sebagaimana yang telah disebutkan di mukadimah- Islam merupakan agama yang diterapkan oleh manusia di dalam kehidupan sehingga (merupakan sesuatu kenescayaan) jika tercipta saling mendorong antara pemikiran Islam dan pemikiran lainnya, munculnya sikap terlalu ekstrem dan berlakunya penyelewengan dalam penerapan nilai-nilai mahupun peraturan Islam.
Berbagai fakta yang muncul memerlukan adanya penetapan hukum syarak dimana hal tersebut dapat mengakibatkan kemungkinan masuknya pemikiran-pemikiran asing terhadap Islam.
Ekstremisme dan penyelewengan juga dapat menyebabkan lemahnya pemahaman serta terlepasnya hubungan antara fakta-fakta tersebut dengan hukum-hukumnya. Jika berbagai faktor ini terus terjadi, ia boleh mengakibatkan pemisahan antara Islam dan realiti. Semua inilah yang akan menuntut adanya tajdid secara berterusan.
Adapun terkait perubahan bahasa Arab, berdasarkan sunnatullah, sesungguhnya bahasa akan mengalami perbezaan, perubahan dan beraneka ragam bentuknya seiring perkembangan zaman sebagaimana firman-Nya, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu.” [TMQ Ar-Ruum (30) : 22].
Bahasa Arab yang wahyu diturunkan dengannya bukanlah seperti bahasa Arab pada hari ini. Ia telah mengalami banyak perubahan dan perbezaan seiring berjalannya waktu sehingga saat ini menjadi berbagai bahasa dialek daerah.
Yang dimaksudkan dengan tajdid dalam bahasa bukanlah aktiviti untuk menjadikan orang-orang Arab kembali berbicara dengan bahasa Arab fusha (bahasa Quraisy yang mana wahyu diturunkan dengannya), kerana hal tersebut merupakan perkara yang sangat susah. Juga bukan suatu perkara yang dituntut oleh syarak.
Yang dituntut oleh syariat Islam adalah memahami berbagai nas wahyu dengan memahami bahasa Arab pada masa wahyu diturunkan. Adapun bahasa Arab yang wujud setelah wahyu diturunkan, tidak dapat dijadikan hujah dan tidak perlu diperhatikan.
Kesimpulannya, tajdid bahasa dilakukan dengan mengembalikan pemahaman bahasa yang benar tentang nas syarak yang telah mengalami perubahan dan perbezaan di antara orang-orang Arab sejak terputusnya wahyu sehingga ke hari ini.
Ini kerana, khitab syarie (seruan syarie) yang sah adalah seruan yang dengannya wahyu diturunkan dan ditujukan kepada orang-orang Arab sesuai pemahaman mereka sebagai orang Arab terhadap nas tersebut. Pemahaman ini tidak boleh berkembang dan berubah seiring waktu melainkan perlu dilestarikan sebagaimana yang sepatutnya sebelum terputusnya wahyu.
Kerana itu, pada mujadid, mujtahid, pentafsir, fuqaha dan semua ulama syariat perlu menguasai bahasa dan lisan yang digunakan oleh bangsa Quraisy dan Arab pada saat turunnya wahyu sehingga setiap dari mereka mampu memahami dengan benar apa yang dimaksudkan oleh syarak melalui kata-katanya.
Ahli bahasa pada abad-abad awal -bersamaan dengan bermulanya “kerosakan lisan”- telah menelusuri suku-suku Arab Klasik, mengubahsuai dan menulis bahasa serta syair-syair Arab (Diwan Arab), juga menciptakan pengetahuan bahasa yang pasti diperlukan untuk memahami sesuatu seperti balaghah (ilmu retorik), nahu (ilmu tatabahasa), ilmu sorof (morfologi), fikih loghat (filologi), imla’, khat, maajim (leksikologi) dan sebagainya.
Dengan demikian, para ahli bahasa dan ulama Islam telah menghindarkan kita dari masalah-masalah ini (menemukan disiplin ilmu). Yang dituntut saat ini adalah mempelajari ilmu-ilmu itu dan memfokuskannya dalam memahami nas-nas syarak agar pemahaman kita terhadap nas syarak akan seperti pemahaman sahabat Rasulullah SAW. Inilah “kualiti terbaik” yang diperlukan.
Tajdid juga dilakukan dengan memahami fakta-fakta yang kerananya hukum syarak turun sebelum terputusnya wahyu, dalam erti kata lain, memahami ilat sebuah hukum (Al-Manath).
Pemahaman nas syarak para fuqaha atau mujtahid boleh jadi benar dan tidak perlu dipersoalkan lagi, hal ini sesuai dengan pemahaman bahasa dan syariat dari nas-nas tersebut. Tetapi, masalahnya mungkin terjadi saat memahami dan membezakan fakta yang berkaitan dengan nas tersebut.
Perkara ini menyebabkan berlakunya kekacauan ketika nas-nas itu diberlakukan selain pada fakta dan ilat syarie-nya. Kerana itulah para ulama menulis tentang sebab turunnya Al-Quran (asbabun Nuzul) dan sebab didatangkannya sebuah hadis (asbab al-Wurud).
Para ulama terdahulu juga menulis sirah dan al-maghazi kerana perkara itu membantu dalam memahami fakta nas-nas. Adapun tajdid dalam perkara ini adalah dengan cara mengamati tempat-tempat, peninggalan-peninggalan, keadaan iklim dan keadaan alam yang mendominasi pada zaman turunnya wahyu. Usaha inilah yang sangat berpotensi untuk diperbaharui. Manfaatnya adalah seperti mengetahui alat ukur dan alat timbang yang sah seperti satuan ukur sha’, dinar yang sah, dziraa’, kulah dan sebagainya.
Selain itu, dapat juga mengetahui peralatan perang, peralatan tempur, pakaian dan perkakas makan yang digunakan dahulu, mengetahui mekanisme pembangunan kota dan wilayah, pembangunan sumur air serta berbagai kaedah pertanian serta industri.
Contoh-contoh ini dapat membantu memahami banyak perkara seperti safar yang sesuai dengan syariat, hukum air, jalan dan bangunan, hak syuf’ah serta lain-lain. Semua ini telah diperincikan oleh para mujtahid dan fuqaha dalam menetapkan ilat dan memahami fakta yang terjadi saat diturunkan nas-nas syarie.
Terkait tindakan jenayah yang berlaku di Haramain seperti penghancuran peninggalan Islam dengan alasan yang lemah, mereka menghancurkan peninggalan-peninggalan penting seperti rumah Nabi SAW, rumah para sahabat, masjid-masjid bersejarah dan lainnya.
Hakikatnya, ini adalah satu tindakan kejahatan terhadap hak kaum Muslim dan sejarah mereka. Sepatutnya yang dilakukan adalah memelihara semua peninggalan Islam, lebih-lebih lagi peninggalan yang ada pada zaman turunnya wahyu kerana keterikatannya dengan fakta-fakta yang diwahyukan oleh nas-nas syarie, juga peninggalan yang membantu kita untuk memahami ilat hukum syarak, sirah Nabi SAW dan sejarah umat Islam.
Kerana itu, tajdid yang sebenarnya dituntut dari kaum Muslim saat ini adalah pemahaman Islam sebagaimana pemahaman yang murni pada zaman turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW. Tajdid pemahaman ini dilakukan dengan berpegang teguh dengan aturan syarie dan aqli yang spesifik dengan tujuan untuk memperbaiki pemahaman atas nas-nas syarak dan pemahaman ilat hukum yang nas-nas syarak tadi terikat dengannya serta penyerapannya pada fakta-fakta baru yang sesuai dengan fakta yang sama ketika nas tersebut diturunkan atasnya.
Ketika ada fakta baru yang belum memiliki hukum syarak yang telah ditetapkan oleh fuqaha terdahulu, para mujtahid dan fuqaha akan melakukan ijtihad untuk menggali hukum syarak bagi perkara tersebut sesuai standard ilmu usul fikih.
#Fokus #Tsaqafah