[Tafsir al-Quran] Tuntunan untuk Para Dai
Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
رَّبُّ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَٱتَّخِذۡهُ وَكِيلٗا ٩ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱهۡجُرۡهُمۡ هَجۡرٗا جَمِيلٗا ١٠
“Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” [TMQ Al-Muzzammil (73): 9-10]
Beberapa Pengajaran Penting
Dalam ayat ini terdapat banyak pengajaran penting.
Pertama: Penegasan tentang tauhid.
Dalam ayat ini Allah SWT berfirman,
رَّبُّ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ
“Dia-lah Tuhan yang menguasai timur dan barat”
Maksudnya adalah, Dialah Tuhan Pencipta, Pemilik dan Pengatur timur dan barat beserta semua yang ada di antara keduanya. Dengan kata lain, Dia-lah Tuhan alam semesta. Hal yang sama juga disebutkan dalam firman Allah SWT yang lain [Surah Ar-Rahman (55) :17; surah Al-Ma’arij (70): 40]
Dalam ayat ini juga ditegaskan bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan Yang Hak dan wajib disembah. Allah SWT berfirman,
لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
“Tidak tidak ada Tuhan [yang layak disembah] kecuali Dia.”
Ayat ini seolah-olah menegaskan bahawa Zat yang menjadi Pencipta, Pemilik dan Pengatur alam adalah Zat yang berhak dan layak untuk disembah dan ditaati atas semua perintah-Nya (Contohnya seperti dalam surah Maryam (18) :65 dan penjelasannya oleh Wahb Ah az-Zuhaili).
Kedua: Perintah menjadikan Allah SWT sebagai Wakil.
Perintah tersebut dengan jelas disebutkan dalam firman-Nya,
فَٱتَّخِذۡهُ وَكِيلٗا
“Kerana itu jadikanlah Dia sebagai Pelindung.”
Maksudnya, menjadikan Allah sebagai Hâfizh wa Mudabbir (Penjaga dan Pengatur) segala sesuatu.
Perlu ditegaskan bahawa Allah SWT adalah Al-Wakil. Menurut Ibnu Manzhur, الوَكِيل adalah المقيم الكفيل بأَرزاق العباد Penanggungjawab dan Penjamin Rezeki hamba. Sangat banyak ayat yang menegaskan bahawa Allah adalah Al-Wakîl segala sesuatu (contohnya, surah Al-Zumar (39) :62).
Sikap menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT. dan bersandar hanya kepada-Nya itu disebut sebagai at-tawakkul. Ibnu Rajab berkata,
وَحَقِيقَةٌ التَّوَكُّلِ: هُوَ صِدْقُ اعْتِمَادِ الْقَلْب عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي اسْتِجْلَابِ الْمَصَالِحِ، وَدَفْعِ الْمَضَارِّ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ كُلِّهَا، وَكِلَة اْلأُمُورِ كُلِّهَا إِلَيْهِ، وَتَحْقِيقُ اْلإِيمَانِ بِأَنَّهُ لاَ يُعْطِي وَلاَ يَمْنَعُ وَلاَ يَضُرُّ وَلاَ يَنْفَعُ سِوَاهُ.
“Hakikat tawakal adalah menyandarkan hati kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan benar untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya, baik dalam urusan dunia mahupun akhirat; menyerahkan semua urusan kepada-Nya; serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang boleh memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.
Sangat banyak ayat yang memerintahkan orang-orang mukmin untuk bertawakal kepada-Nya (contohnya : surah Al-ahzab (33) :3, dan penjelasannya)
Sikap tawakal juga menjadi di antara ciri-ciri orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman,
وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٢٣
“dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah, jika benar kamu orang-orang yang beriman”. [TMQ Al-Maidah (5): 23].
Perintah tersebut ditegaskan dengan adanya larangan menjadikan wakîl (penjaga, pengatur) selain Allah SWT. Allah SWT berfirman,
أَلَّا تَتَّخِذُواْ مِن دُونِي وَكِيلٗا ٢
“Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)”. [TMQ Al-Israa’ (17) :2]
Allah SWT menjanjikan untuk mencukupi (segala keperluan) -nya kepada orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. Firman Allah SWT,
وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ ٣
“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” [TMQ Ath-Talaaq (65): 3]
Perlu diingat bahawa tawakal merupakan amalan hati. Jika ada seseorang mengatakan bahawa dia telah bertawakal kepada Allah SWT tetapi hatinya tidak membenarkan, maka tidak dianggap sebagai orang yang bertawakal.
Juga perlu ditegaskan bahawa tawakal bukan bermaksud boleh meninggalkan faktor-faktor yang menjadi sebab musabab. Buktinya, Rasulullah SAW sentiasa bertawakal kepada Allah SWT pada masa yang sama, baginda juga beramal dan berpegang pada hukum penyebaban. Baginda telah memerintahkan para sahabat agar melakukan kedua-dua perkara tersebut, baik yang ada dalam Al-Quran ataupun hadis.
Baginda telah menyiapkan kekuatan yang mampu dilakukan seperti menutup sumur-sumur pada saat Perang Badar dan menggali parit pada saat Perang Khandaq. Baginda menghantar mata-mata, memutuskan air dari Khaibar dan mencari informasi tentang kaum Quraisy ketika melakukan perjalanan untuk mem-futuhat Mekah.
Menurut Ibnu Rajab, mewujudkan tawakal bukan bermaksud menghilangkan usaha yang menjadi sebab-sebab sunnatullah yang telah ditetapkan dan ditakdirkan oleh Allah. Ini kerana, Allah telah memerintahkan kita untuk melakukan usaha sekaligus memerintahkan kita untuk bertawakal. Oleh kerana itu, usaha dengan anggota badan untuk meraih sebab merupakan ketaatan kepada Allah SWT sedangkan tawakal dengan hati pula merupakan bentuk keimanan kepada-Nya (lihat surah An-Nisaa’ (4) :71; surah Al-Anfaal (8) :60; surah Al-Jumu’ah (62) :10)
Gambaran tawakal yang benar juga diterangkan dalam hadis dari Umar bin Khattab ra. bahawa Nabi SAW bersabda,
لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِه لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
“Andai kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, sungguh Allah akan memberikan kalian rezeki sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali pada petang harinya dalam keadaan kenyang.” (HR Ibnu Majah, Ahmad, dan Al-Hakim).
Menurut Al-Mula al-Harawi al-Qari, hadis ini mengingatkan bahawa usaha bukan pemberi rezeki. Ar-Razzâq (Zat Yang Maha Pemberi Rezeki) adalah Allah SWT. Ia bukan bermaksud melarang untuk melakukan usaha. Ini kerana tawakal tempatnya adalah hati sehingga tidak menghilangkan gerakan tubuh (usaha). Meskipun demikian, kadang Allah SWT juga memberikan rezeki tanpa perlu usaha, tetapi dengan menggerakkan pihak lain yang menghantarkan rezeki Allah SWT dengan barakah-Nya. Sebagaimana dapat difahami dari firman-Nya,
۞وَمَا مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا ٦
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan.” [TMQ Hud (11): 6]
Ketiga: Perintah bersabar terhadap berbagai perkataan yang menyakitkan.
Dalam ayat ini Allah SWT berfirman,
وَاصْبِرْ عَلى مَا يَقُوْلُوْنَ
“(dan bersabarlah (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan).”
Sebagaimana diterangkan, berbagai perkataan yang menyakitkan, baik berupa gangguan, cacian, olok-olokan, dan seumpamanya tidak boleh membuat Baginda merasa cemas dan menghentikan dakwahnya. Perintah senada juga disampaikan dalam firman-Nya dalam ayat yang lain (Lihat surah Qaf (50) :39)
Perlu difahami bahawa sesungguhnya dakwah merupakan keperluan orang yang didakwahi. Ini kerana, orang yang tidak mengetahui jalan yang benar akan menjadi tahu dengan adanya dakwah. Orang yang sebelumnya berada dalam kesesatan akan terselamat dari azab, mendapatkan ampunan dan syurga-Nya melalui dakwah. Kerana itu, ketika mereka berpaling dari seruan dakwah apatah lagi dengan cara yang buruk, secara manusiawi sungguh sangat menjengkelkan bagi penyerunya. Inilah yang diadukan oleh Nabi Nuh AS kepada Allah SWT sebagaimana yang diceritakan dalam firman-Nya (Surah Nuh (71) :10].
Lebih-lebih lagi jika orang yang didakwahi itu justeru memusuhi, melontarkan perkataan yang buruk dan melakukan berbagai tindakan yang menyakitkan. Semua itu jelas akan menyedihkan penyeru dakwah. Ia juga boleh menghilangkan kesabaran dan menghentikan penyampaian dakwah. Jika itu terjadi, maka keadaan masyarakat yang sudah rosak akan semakin rosak dan tersesat. Kekufuran dan kemungkaran akan semakin mendominasi. Kebenaran pula akan tenggelam.
Kerana itu, dakwah tidak boleh berhenti sekalipun mendapat penolakan, permusuhan dan berbagai tindakan menyakitkan. Inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi-Nya iaitu untuk tetap bersabar dan tidak risau terhadap orang yang ingkar [Surah Ar-Rum (30) : 60].
Allah SWT juga mengingatkan bahawa pendustaan dan permusuhan oleh kaumnya sendiri bukan hanya dialami oleh Rasulullah SAW, tetapi juga para Nabi dan Rasul terdahulu [Surah Al-An’am (6): 34; Surah Al-Ahqaaf (46): 35].
Rasulullah SAW juga telah menunjukkan contoh kesabaran yang luar biasa. Berbagai hinaan, celaan, cacian dan ejekan yang Baginda alami. Bahkan juga lemparan batu, kekerasan fizikal dan ancaman jiwa. Semua itu tidak membuahkan Baginda berundur dari melakukan dakwah.
Keempat: Meninggalkan orang-orang yang menentang dakwah dengan cara yang baik.
Dalam ayat ini, Allah SWT berfirman,
وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيْلاً
“dan tinggalkanlah mereka dengan cara yang baik.”
Menurut para mufassir, yang dimaksudkan dengan al-hajr al-jamîl (meninggalkan dengan cara yang baik) adalah meninggalkan mereka dengan tidak mencaci-maki, mencela dan mencerca.
Menurut yang lainnya, al-hajr al-jamîl (meninggalkan dengan baik) adalah dengan menjauhi mereka dengan hati dan kecenderungannya, menyelisihi mereka dalam hal perbuatan dengan diiringi kelembutan, serta tidak melakukan pembalasan. Hal serupa juga disebutkan dalam firman Allah SWT yang lain [Surah An-Nisaa‘ (4) :63; surah Al-A’raf (7): 199; surah An-Najm (53): 29]
Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan meninggalkan dengan baik adalah meninggalkan kerana Allah SWT. Ini sebagaimana diperintahkan dalam firman-Nya yang lain [Surah Al-An’am (6): 68]
Demikianlah berbagai ketentuan dan perintah Rasulullah SAW pada awal dakwahnya. Perintah ini juga berlaku bagi umatnya dan sentiasa relevan di sepanjang zaman. Bagi siapa pun yang menapaki jalan yang Baginda tempuh, terutama dalam mengemban dakwah di tengah umat, hendaklah mengerjakan berbagai ketentuan dan perintah tersebut. Semoga kita diberikan taufik untuk menjalaninya. Wallahualam bissawab.
#TafsirAlQuran