Kezaliman adalah hutang
Manusia selalu melakukan keazaliman kecuali orang-orang yang diberikan rahmat oleh Allah SWT sehingga dia menyelesaikan masalahnya sesuai dengan syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam [TMQ al-Ahzab (33): 72] “Sesungguhnya kami telah memberi amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, tetapi semuanya tidak ingin untuk memikul amanah itu dan mereka takut tidak akan melaksanakannya kerana berat, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”
Kezaliman yang dilakukan oleh manusia menjadikan kualiti dirinya berkurang dan dapat menjadikan dirinya tidak hebat atau biasa-biasa sahaja. Kejayaan seseorang juga akan terhambat kerana kezaliman yang dilakukannya. Sesiapa yang melakukan kezaliman, dia akan mendapat balasan.
Kezaliman diibaratkan seperti sebuah perangkap yang disebabkan oleh seseorang yang sedang berjalan tidak menyedari perangkap tersebut. Sehingga akhirnya, dia akan terperangkap kerana tidak berhati-hati. Kezaliman juga boleh merosakkan kehidupan manusia serta membuatkan seseorang itu menjadi tidak tenang dalam menjalani hidupnya.
Ketahuilah bahawa kezaliman itu adalah hutang yang mesti dibayar oleh pelakunya kepada yang dizaliminya. Kadang-kadang bayarannya lebih mahal dari kezaliman yang dilakukan oleh pelakunya.
Menurut istilah, zalim ialah perbuatan yang keluar dari syariat kebenaran, baik kerana kurang atau melebihi batasan. Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata, “Ketahuilah bahawa zalim itu adalah an naqsh iaitu bersikap kurang. Bersikap kurang itu boleh jadi melakukan perkara yang tidak dibolehkan bagi seseorang, atau melalaikan apa yang diwajibkan baginya. Zalim terbahagi kepada dua bahagian, iaitu meninggalkan kewajipan dan melakukan yang haram.” [Syarah Riyadush Shalihin, 2/486].
Selain dari kezaliman merupakan hutang yang mesti dibayar oleh pelakunya, perbuatan zalim turut dilarang dalam Islam. Allah SWT telah berfirman, “Ingatlah, laknat Allah SWT yang ditimpakan atas orang-orang yang zalim.” [TMQ Hud (11): 18]
Allah SWT juga berfirman, “Wahai hambaku, sesungguhnya Aku haramkan kezaliman atas Diriku, dan Aku haramkan juga kezaliman bagi kalian, maka janganlah saling berbuat zalim.” [HR Muslim]
Dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah SWT, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” [TMQ al-Maidah (5): 8]
Maka, bagaimana dengan fitnah yang diberikan kepada suatu gerakan Islam tanpa asal usul, bukti, dan tanpa tabayyun? Adakah termasuk dalam kezaliman? Jawapannya ialah ya. Hal ini termasuk dalam kezaliman kerana fitnah merupakan perkara yang tidak dibenarkan oleh syariat kerana ia merupakan sesuatu yang di luar ajaran Islam. Sehinggakan, fitnah itu akan beredar melalui pelbagai media. Sesungguhnya kita berlepas diri dan menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT.
Ingatlah wahai para pelaku kezaliman terhadap sabda Rasulullah SAW, “Tahukan kalian siapakah orang yang rugi?” Para sahabat pun menjawab, “Orang yang rugi menurut kami adalah orang yang tidak memiliki wang dirham atau harta benda.” Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang rugi di kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, dan zakat, tetapi ia juga datang membawa dosa berupa perbuatan mencela, menuduh, memakan harta, menumpahkan darah, dan memukul orang lain. Kelak kebaikan-kebaikannya akan diberikan kepada orang yang terzalimi. Apabila amalan kebaikannya sudah habis diberikan, sementara pembalasan kezalimannya belum selesai, diambillah dosa-dosa orang yang terzalimi itu, lalu diberikan kepadanya. Kemudian dia pun dicampakkan ke dalam neraka.” [HR Muslim]
Hadis di atas juga ditujukan kepada para penguasa yang melakukan kezaliman pada rakyatnya. Penguasa yang memberikan sumber alam kepada kafir penjajah, menganiaya para alim ulama, dan membekukan gerakan Islam yang memperjuangkan syariat-Nya. Tahukah mereka tentang firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan mendapatkan al falah.” [TMQ al-An’am (6): 21]. Al falah bermakna mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.
Lalu, Rasulullah SAW bersabda, “Dan berhati-hatilah terhadap doa orang yang dizalimi, kerana tiada penghalang antara doanya dengan Allah.” [HR Bukhari dan Muslim]
Saudaraku, berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu dan teruslah berada di dalam naungan syariah. Kerana perkara zalim itulah yang akan merumitkan kehidupan kita. Apalagi kezaliman merupakan hutang yang kita mesti bayar, jika tidak di dunia, maka kita akan dituntut oleh Allah SWT untuk membayarnya di akhirat. Allah SWT akan menjalankan pengadilan terbuka untuk para pelaku kezaliman. Astaghfirullahalazhim, wallahul musta’an.
Sumber: muslimahnewsid